Skip to main content

Singapura

Pengurusan data pemerintah disemak susulan kesilapan CHAS, data penderma darah bocor

Pengurusan data Pemerintah sedang disemak ekoran beberapa kes pengendalian maklumat yang tidak selamat oleh penyedia khidmat IT.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Mar 2019 05:01PM Dikemas Kini : 22 Mar 2019 10:43PM

SINGAPURA: Pengurusan data Pemerintah sedang disemak ekoran beberapa kes pengendalian maklumat yang tidak selamat oleh penyedia khidmat IT.

Butiran lanjut berhubung semakan ini akan dikongsi apabila tiba masanya, menurut Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) pada Jumaat (22 Mac) sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital kini sedang menyemak pengurusan data Pemerintah dan akan berkongsi lebih maklumat apabila tiba masanya," menurut SNDGG lagi.

Sepanjang tiga bulan lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) mendedahkan dua kes melibatkan maklumat yang tidak dikendali secara selamat oleh penyedia khidmat IT.

Sekitar 7,700 individu mendapat subsidi jagaan kesihatan yang tidak tepat di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) akibat kesilapan sistem komputer kendalian NCS, sebuah syarikat kejuruteraan teknologi dan perhubungan yang juga merupakan anak syarikat Singtel Group.

Dalam satu kes berasingan, maklumat peribadi lebih 800,000 penderma darah di Singapura terdedah di internet selama lebih sembilan minggu sebelum pihak pemerintah dimaklumkan oleh pakar keselamatan siber. Penyedia khidmat Secur Solutions Group - yang ditugaskan untuk mengemaskini rekod penderma darah - gagal untuk memastikan langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya apabila meletakkan maklumat dalam pangkalan data yang tidak terlindung.

Menurut SNDGG, pihaknya sedang menjalankan "siasatan terperinci" terhadap insiden kebocoran data penderma darah.

"Dapatan siasatan akan menjelaskan lagi langkah-langkah yang perlu diambil dan bantuan yang diperlukan Penguasa Sains Kesihatan untuk membetulkan keadaan," tambah kumpulan itu.

Sektor kesihatan Singapura turut dilanda dua kejadian kebocoran data sepanjang sembilan bulan lalu.

Serangan siber ke atas SingHealth pada Jun 2018 menjejas maklumat peribadi 1.5 juta pesakit, termasuk data Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Satu lagi kebocoran data menjejas 14,200 pesakit HIV setelah maklumat sulit - termasuk nombor pengenalan dan maklumat hubungan - dibocorkan secara online oleh warga Amerika Mikhy K Farrera Brochez.

Dia adalah pasangan Ler Teck Siang, iaitu bekas ketua Unit Kesihatan Awam Nasional MOH.

Pada minggu lalu, syarikat keselamatan siber Group-IB yang berpangkalan di Rusia mendedahkan dalam satu kenyataan media bahawa maklumat log masuk emel kakitangan beberapa agensi pemerintah Singapura dijual dalam talian oleh penggodam dalam jaringan gelap "dark web".

Pada Khamis (21 Mac), SNDGG menyatakan bahawa hanya 119 daripada sekitar 50,000 maklumat yang terjejas masih lagi digunakan, manakala yang lain sama ada tidak lagi digunakan atau adalah palsu.

Menurutnya lagi, maklumat itu tidak diperolehi akibat pencerobohan sistem pemerintah, namun berpunca daripada penggunaan bagi tujuan peribadi ataupun bukan rasmi.

Para pegawai yang terjejas sudahpun mengubah kata laluan mereka, tambah SNDGG.

Sumber : CNA/TQ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita