Skip to main content

Singapura

Pengurus Starbucks, pekerja Grab antara pemain pasukan futsal tempatan pertama bertanding dalam liga luar negara

Anggaran Waktu Membaca:
Pengurus Starbucks, pekerja Grab antara pemain pasukan futsal tempatan pertama bertanding dalam liga luar negara

(Gambar: kampungbuangkok.fc/Instagram)

Diterbitkan : 21 Jun 2024 08:43AM Dikemas Kini : 21 Jun 2024 08:45AM
SINGAPURA: Menjelang Ogos nanti, pasukan futsal separa profesional Kampung Buangkok bakal mencatat sejarah sebagai pasukan Singapura pertama untuk bermain dalam liga luar negara.

Pasukan itu, yang akan mengambil bahagian dalam musim Liga Futsal Brunei, ditubuhkan pada 2020 oleh sekumpulan rakan-rakan yang sering bermain bola sepak lima-sepasukan di Kampung Buangkok.

Jurulatih mereka, Ahmad Hanif Sarmin, serta barisan kejurulatihannya berasal dari Johor Bahru. Mereka merupakan jurulatih Pahang Rangers, pasukan luar negara pertama yang meraih kemenangan di Liga Futsal Brunei dalam penampilan sulungnya pada 2017.

Penyertaan Kampung Buangkok ke dalam liga itu dijangka menelan perbelanjaan sekitar S$90,000.

Keseluruhan musim itu akan berlangsung sehingga Februari 2025.

Pasukan itu dibiayai sendiri sepenuhnya, dan pemain serta para jurulatih berusaha menampung kos bersama. Ini turut termasuk perbelanjaan perjalanan ke Brunei.

Pasukan itu terdiri daripada pemain dengan pekerjaan seharian yang berbeza, termasuk seorang ahli bomba, seorang teknisyen kawalan serangga perosak, seorang pegawai polis, seorang pengurus kedai Starbucks dan seorang pekerja penghantaran Grab.

Mereka kini bergabung bagi matlamat yang sama - untuk meraih tempat dalam tiga kedudukan teratas dalam liga itu, mempamerkan potensi futsal di Singapura, dan memberi inspirasi kepada rakyat Singapura lain untuk bermain sukan itu.

Dalam satu wawancara dengan media bola sepak Junpiter Futbol tahun lalu, penjaga gawang serta jurucakap pasukan Kenneth Kwang berkata: "Ini mungkin satu langkah kecil buat saya dan rakan sepasukan saya di Kampong Buangkok, tetapi ia mungkin sebuah langkah besar bagi futsal di Singapura."
Pemain Kampung Buangkok, Barista Starbucks Logan Rajah (kiri) dan ahli bomba Muhd Nurul Islam (kanan). (Gambar: kampungbuangkok.fc/Instagram)
Pasukan Kampung Buangkak di sebuah perlawanan mesra di Thailand awal tahun ini. (Gambar: kampungbuangkok.fc/Instagram)
Sumber : Today/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita