Pengurus pusat makanan Koufu dipenjara 8 bulan, seleweng baucar CDC bernilai S$39,000
Setelah menyedari penyelianya tidak memeriksa dengan cermat baucar yang diagihkan Pemerintah bagi menyokong kedai-kedai dan pusat penjaja kejiranan dengan hasil kutipan setiap hari, seorang pengurus pusat makanan Koufu bertindak menyeleweng sekitar S$39,000 daripada skim baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) itu.
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Setelah menyedari penyelianya tidak memeriksa dengan cermat baucar yang diagihkan Pemerintah bagi menyokong kedai-kedai dan pusat penjaja kejiranan dengan hasil kutipan setiap hari, seorang pengurus pusat makanan Koufu bertindak menyeleweng sekitar S$39,000 daripada skim baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) itu.
Selain itu, dia juga mengambil lagi S$9,821 dengan menyimpan sebahagian daripada hasil kutipan pusat penjaja tersebut dengan tidak memindahkannya ke dalam akaun bank syarikatnya.
Joel Ang Jun Xian, 35 tahun dihukum penjara lapan bulan pada Isnin (14 Feb) atas satu tuduhan pecah amanah dengan menyeleweng dana syarikat.
Dalam rayuannya, dia berkata "dia melakukannya kerana ketaksuban, namun bukan kerana dia tidak waras". Dia menggunakan wang itu untuk membeli hadiah buat beberapa pempengaruh online, yang mana Ang tertarik terhadap penampilan mereka, menurut dokumen mahkamah.
Mahkamah diberitahu bahawa Ang bekerja sebagai pengurus pusat makanan Koufu di Blok 478 Tampines Street 44. Sebagai sebahagian daripada tugasnya, dia bertanggungjawab mengumpul kutipan harian daripada setiap gerai makanan di cawangannya lalu memindahkannya ke akaun bank Koufu sebelum keesokan hari.
Dia juga ditugaskan untuk mengumpul baucar CDC yang digunakan sebagai bayaran lalu diserahkan kepada pengurus kawasan bagi tujuan perakaunan setiap minggu.
Pada Mei 2021, Ang mendapati bahawa pengurus kawasannya tidak meminta baucar CDC yang dikumpulkan pada setiap minggu.
Dia juga mendapati penyelianya tidak perasan jika ada perbezaan antara jumlah wang tunai hasil penjualan setiap hari berbanding jumlah yang dipindahkan ke akaun bank Koufu.
Ang kemudian mengambil peluang itu untuk menyeleweng dana menerusi dua cara, menurut pihak pendakwa iaitu dengan menyatakan secara berlebihan baucar CDC yang digunakan sebagai bayaran dalam penjualan harian dan juga mengambil wang untuk kegunaan dirinya sendiri.
Antara 1 Mei 2021 dengan 30 Jun 2021, Ang menyeleweng S$38,696 dengan menambah-nambah jumlah baucar CDC yang dikumpul, dan mengambil lagi S$9,821.
Secara keseluruhan, dia menggelapkan S$48,517.
Seorang pengurus kawasan yang memantau beberapa cawangan Koufu membuat aduan polis pada 4 Julai 2021.
Atas kesalahan pecah amanah jenayah, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Memandangkan tuduhannya bertindih, dia boleh dijatuhi hukuman sehingga dua kali ganda yang dikenakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.