Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengurus projek Pipe Works dipenjara beri rasuah S$45,000 kepada pegawai PUB

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang pengurus projek di sebuah firma yang menjalankan kerja-kerja subkontrak seperti memasang paip memberi rasuah kepada seorang pegawai Lembaga Perbekalan Awam (PUB) sebagai tukar ganti bagi perniagaan yang lebih lancar. Ini termasuk mendapat keutamaan untuk memasang paip di tapak kerja.

Penolong jurutera PUB itu menghubungi pengurus projek tersebut di Pipe Works untuk mendapatkan "yuran penyeliaan" dan pengurus projek itu memberinya rasuah S$45,169.

Pekerja Pipe Works Ganisan Suppiah, 52 tahun, hari ini (14 Feb) dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dua minggu.

Dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan rasuah memberi wang sogokan kepada penolong jurutera PUB Jamaludin Mohamed dan pertuduhan kedua bersubahat dengan Jamaludin dalam membuat invois palsu.

Pertuduhan ketiga diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Ganisan adalah pengurus projek kedua-dua Pipe Works dan Krishco Singapore Construction pada masa kesalahan itu dilakukan. Dia menyelia projek, termasuk pembelian bahan dan pengurusan tenaga kerja dan peralatan bagi projek.

Jamaludin, 58 tahun, adalah penolong jurutera di bahagian pembaharuan rangkaian PUB di jabatan bekalan air (rangkaian). Dia menyelia kerja pengalihan air yang dilakukan oleh kontraktor dan subkontraktor penggal PUB di tapak pihak ketiga.

Sekitar November 2017, Jamaludin menyelia kerja-kerja yang dilakukan oleh Pipe Works di tapak kerja PUB, selepas kontraktor utama memberi subkontrak kerja itu kepada syarikat tersebut.

Jamaludin mendekati Ganisan dan meminta apa yang dipanggilnya sebagai "yuran penyeliaan", sebagai tukar ganti untuk mendapatkan bantuan Jamaludin dalam memudahkan dan mempercepatkan urusan Pipe Works.

Ganisan bersetuju bahawa Jamaludin akan dibayar berdasarkan tempoh dan kerumitan kerja, dengan jumlah antara dua peratus hingga lima peratus daripada jumlah invois Pipe Works yang dibilkan kepada kontraktor utama.

Jamaludin memberitahu Ganisan bahawa dia akan menubuhkan sebuah syarikat untuk menerima wang daripada Ganisan melalui invois palsu dan Ganisan bersetuju.

Antara November 2017 dan Ogos 2018, Ganisan memberi Jamaludin S$45,169 sepanjang beberapa kali. Pegawai atasan Ganisan tidak mengetahui tentang invois palsu yang digunakan dalam jenayah itu.

Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menyatakan dalam satu kenyataan selepas perbicaraan itu bahawa Jamaludin juga mencuba pada Julai 2019 untuk mendapatkan rasuah S$500,000 daripada sebuah syarikat yang menyerahkan bidaan bagi tender PUB pada 2019. Syarikat itu menolak permintaan Jamaludin.

Sebagai pertukaran, Jamaludin membantu Pipe Works dengan meminta kontraktor utama menyerahkan dokumen-dokumen dengan cepat supaya pekerja Ganisan boleh memulakan kerjanya awal atau dengan memberi keutamaan kepada pekerja Ganisan untuk memasang paip di tapak.

Selain itu, Jamaludin menubuhkan sebuah syarikat yang dipanggil Daeyul Services atas nama anaknya. Dia menyediakan invois palsu Daeyul Services kepada Pipe Works bagi khidmat pembersihan rekaan di tapak kerja.

Ganisan melakukan jenayah itu dengan bersubahat dengan Jamaludin untuk membuat invois palsu. Jamaludin menyediakan invois Daeyul Services kepada Pipe Works bagi kerja-kerja pembersihan berjumlah S$39,810, sementara tiada kerja sedemikian disediakan.

Jamaludin kemudian menyerahkan invois palsu tersebut kepada Ganisan bagi tujuan menerima "yuran penyeliaan".

Jamaludin dipenjara sembilan bulan 10 minggu dan didenda S$45,169 pada November.

Sumber : CNA/KF/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan