Skip to main content

Singapura

Pengurus projek BTO Bidadari dijel; kutip wang sogok S$44,000 daripada 3 firma binaan

Anggaran Waktu Membaca:
 Pengurus projek BTO Bidadari dijel; kutip wang sogok S$44,000 daripada 3 firma binaan

Estet Perumahan di Bidadari. Gambar: Facebook/HDB

SINGAPURA: Seorang bekas pengurus projek Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di estet perumahan Bidadari dijatuhi hukuman penjara 22 minggu hari ini (1 April) kerana menerima rasuah daripada tiga firma binaan yang tidak ingin "menjejas hubungan pekerjaan".

Wong Wei Chern, 39 tahun, menerima rasuah berjumlah S$44,000 daripada tiga wakil daripada tiga firma binaan antara November 2016 dengan Ogos 2019.

Dia mengaku bersalah hari ini atas empat tuduhan menerima rasuah. Lagi sembilan tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Wong bekerja di Rich Construction Company yang menerima kontrak untuk membina 1,789 flat di estet perumahan Bidadari oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Sebagai seorang pengurus projek, pengesahan Wong diperlukan untuk semua tuntutan kemajuan yang diserahkan oleh firma binaan yang digunakan untuk memproses bayaran.

Rich Construction Company memberikan kontrak bagi pembinaan estet Bidadari itu kepada tiga firma binaan, Nanjing Minglu Construction Engineering (NJML), Heng Sheng Construction and Engineering (HSCE) dan Heng Dong Construction (HDC) pada Ogos 2016.

Tiga wakil yang bersubahat dengan Wong adalah, Lu Zhibo daripada syarikat NJML, Hua Li daripada syarikat HSCE dan Xu Jie daripada syarikat HDC.

Wong mengaku bersalah mendekati mereka untuk meminta wang rasuah kerana dia tahu mereka tidak ingin "menjejas hubungan pekerjaan" mereka dengan Wong.

Ini disebabkan mereka tahu bahawa industri binaan "kecil" dan Wong boleh membuat "keadaan menjadi rumit" dan "boleh menimbulkan masalah" kepada sub kontraktor, menurut dokumen mahkamah.

DAKWA UNTUK BAYAR ARKITEK

Mahkamah mendapati bahawa pada April 2018, Wong mendekati Lu untuk mendapatkan S$10,000 kerana dia memerlukan duit untuk membayar hutang peribadinya.

Wong memperdaya Lu bahawa arkitek yang dilantik HDB ingin menghukum NJML atas kesilapan yang disebabkan oleh pekerja.

Wong mendakwa bahawa dia sudah membayar S$10,000 kepada pengurus projek arkitek tersebut bagi pihak NJML, untuk menyelesaikan isu tersebut.

Lu kemudian menyalurkan S$5,000 ke akaun perbankan Wong pada bulan itu.

Wong menipu Lu lagi pada Ogos 2018 bahawa pekerja NJML salah memotong besi dan mendakwa sudah membayar pengurus projek arkitek tersebut sebanyak S$10,000.

Pada Disember 2018, Wong sekali lagi memperdaya Lu dengan menghantar mesej kepada Lu dan mengatakan bahawa pihak atasan Wong sudah menyuruhnya untuk memotong S$50,000 daripada tuntutan pembayaran NJML. Ini tidak benar.

Dalam beberapa bulan berikut, Wong mendesak bayaran daripada Lu yang sudah menyalurkan sebanyak S$24,000 kepadanya hingga Ogos 2019.

Wong juga sudah mendekati Hua daripada HSCE dan Xu daripada HDC untuk mendapatkan wang rasuah antara 2017 dengan 2019. Dia menerima S$7,000 dan S$13,000 masing-masing daripada mereka.

Wong sudah membayar balik sepenuhnya kepada tiga lelaki yang tertuduh bersamanya dan kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah.

PEMBANGUNAN "BERMUTU TINGGI".

Timbalan Pendakwa Raya, Kang Jia Hui, mengusulkan sekurang-kurangnya enam bulan penjara untuk Wong dan berhujah bahawa dia menjadi dalang dalam skim itu dan menggunakan "cara yang sangat licik" untuk mendapatkan rasuah.

Peguam bela Wong, Eric Tin, mengusulkan 12 minggu penjara untuk Wong dan berhujah bahawa pihak pendakwa sudah "melebih-lebihkan" risiko keyakinan terhadap pentadbiran awam Singapura.

Beliau juga berkata bahawa estet perumahan BTO Bidadari menerima "markah tinggi mutu" di bawah pengurusan Wong. Wong juga sudah bekerjasama dalam siasatan.

Hakim Daerah, Kamala Ponnampalam, berkata kesalahan Wong mengandungi ancaman, tekanan, penipuan dan paksaan.

Selepas menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah membenarkan dua bulan penangguhan untuk Wong memulakan hukuman kerana menurut majikan Wong, sektor binaan memerlukan tenaga kerja, kata Encik Tin.

Lu dan Hua masing-masing dikenakan denda S$50,000 dan S$18,000 manakala kes Xu belum lagi selesai.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita