Skip to main content

Singapura

Pengurus operasi sekolah, pengarah syarikat dituduh atas kesalahan rasuah

Semasa bekerja sebagai pengurus operasi di Sekolah Menengah St Anthony's Canossian (SACSS), seorang wanita didakwa menerima rasuah daripada seorang pengarah syarikat dalam enam kejadian berasingan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengurus operasi sekolah, pengarah syarikat dituduh atas kesalahan rasuah

Goh Jong Lih (kiri) dan Loo Wei Kiat di Mahkamah Negara, pada 26 Mac 2025. (Gambar: CNA/Ili Nadhirah Mansor)

Diterbitkan : 26 Mar 2025 03:21PM Dikemas Kini : 26 Mar 2025 03:22PM
SINGAPURA: Semasa bekerja sebagai pengurus operasi di Sekolah Menengah St Anthony's Canossian (SACSS), seorang wanita didakwa menerima rasuah daripada seorang pengarah syarikat dalam enam kejadian berasingan.

Goh Jong Lih, 61 tahun, didakwa di mahkamah pada Rabu (26 Mac) atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah. Pengarah syarikat, Loo Wei Kiat yang berusia 45 tahun, turut dikenakan beberapa tuduhan di bawah Akta yang sama.

Menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), Goh didakwa menerima rasuah dalam bentuk pinjaman berjumlah S$9,500 daripada Loo sebanyak enam kali antara Februari 2020 dan Disember 2021.

Ketika itu, Loo merupakan pengarah di Advent Solutions & Projects (AS&P), sebuah syarikat yang khusus dalam paparan diod pemancar cahaya (LED). Beliau didakwa menawarkan rasuah tersebut sebagai usaha untuk memajukan kepentingan perniagaan AS&P dengan SACSS.

"Antara 2017 hingga 2021, Loo didakwa memberikan dokumen yang dikeluarkan pelbagai kontraktor dan dirinya kepada Goh, yang kemudian menggunakannya untuk menipu dan mengelirukan SACSS," menurut kenyataan CPIB.

Goh menghadapi enam tuduhan bagi kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(a) Akta Pencegahan Rasuah. Dia juga berdepan dengan 17 tuduhan di bawah Seksyen 6(c) Akta yang sama, dengan 10 daripadanya digabungkan di bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Antara tuduhan yang dikenakannya, Goh didakwa menggunakan dokumen yang mengandungi kenyataan palsu berkaitan pembekalan tenaga kerja, alat dan bahan untuk menggilap semula anak tangga marmar serta bahagian atas dalaman gereja kecil sekolah itu.

Goh juga didakwa menggunakan dokumen dengan kenyataan palsu berhubung pembekalan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan monitor LED, pembekalan telefon bimbit Samsung, serta kerja-kerja di tandas dan tempat letak kereta.

Sementara itu, Loo menghadapi enam tuduhan di bawah Seksyen 6(b) Akta Pencegahan Rasuah, serta 14 tuduhan lain di bawah Seksyen 6(c) Akta tersebut, dengan tujuh daripadanya digabungkan di bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Beberapa tuduhan yang dikenakan terhadapnya – di mana beliau memberikan dokumen yang mengandungi kenyataan palsu kepada Goh – adalah serupa dengan kesalahan yang dihadapi Goh.

Goh diwakili peguam S S Dhillon, yang memohon masa untuk menerima arahan kerana baru sahaja dilantik.

Loo, yang tidak diwakili peguam di mahkamah, meminta penangguhan selama sebulan untuk mendapatkan khidmat guaman. Dia tidak menyatakan sebarang pengakuan. Kedua-duanya akan kembali ke mahkamah pada 23 April.

"Singapura mengamalkan pendekatan toleransi sifar terhadap rasuah," menurut CPIB.

Mereka yang disabit kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Pencegahan Rasuah boleh dikenakan denda sehingga S$100,000, hukuman penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sesiapa yang disabit kesalahan yang digabungkan di bawah Kanun Prosedur Jenayah boleh menghadapi seganda lebih tinggi hukuman yang berkaitan dengan kesalahan tersebut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita