Pengurus kejuruteraan meninggal dunia 3 hari selepas letupan di bilik suis loji pembakaran Tuas
Seorang pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) meninggal dunia pagi tadi (26 Sep), disebabkan kecederaan yang dialami akibat letupan di bilik suis elektrik di loji pembakaran Tuas pada Khamis. Beliau adalah korban kedua letupan tersebut.
SINGAPORE: Seorang pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) meninggal dunia pagi tadi (26 Sep), disebabkan kecederaan yang dialami akibat letupan di bilik suis elektrik di loji pembakaran Tuas pada Khamis.
Pegawai itu, seorang pengurus eksekutif kejuruteraan, berada di bilik suis bersama dua yang lain ketika letupan itu berlaku.
Beliau adalah pegawai kedua yang meninggal dunia selepas letupan itu. Pegawai pertama, seorang pengurus kanan kejuruteraan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada Khamis oleh anggota paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
"Pegawai ketiga, pengurus kejuruteraan kami, terus menerima rawatan perubatan di unit jagaan rapi hospital," kata NEA, yang mengendalikan loji pembakaran itu.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Khamis berkata bahawa ketiga-tiga pegawai tersebut adalah warga Singapura.
Agensi itu menyatakan pihaknya "berhubungan setiap hari" dengan keluarga pegawai berkenaan untuk memberikan segala bantuan yang diperlukan.
"Ketiga-tiga pegawai NEA yang berada di bilik suis itu adalah anggota kanan cawangan penyenggaraan elektrik loji tersebut, masing-masing telah berkhidmat lebih 35 tahun, dan menyumbang jasa di (loji pembakaran Tuas) selama bertahun-tahun," kata NEA dalam kemaskininya pada Ahad.
Operasi loji itu "dihentikan secara bertahap-tahap" sejak Khamis selepas kejadian itu.
NEA menyatakan ia sedang bekerja rapat dengan Kementerian Tenaga Manusia, SCDF, agensi teknikal lain, dan juga pakar kejuruteraan untuk menyiasat punca letupan itu.
"Siasatan masih dijalankan dan lebih banyak maklumat akan diumumkan setelah selesai siasatan," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.