Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengurus kedai Genki Sushi dijel, gelapkan lebih S$56,000

Anggaran Waktu Membaca:
Pengurus kedai Genki Sushi dijel, gelapkan lebih S$56,000

Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY

SINGAPURA: Seorang pengurus kedai Genki Sushi yang menggelapkan lebih S$56,000 dalam tempoh enam bulan dijatuhkan hukuman penjara lima bulan pada Isnin (6 Jun).

Cheah Chen Cay, warga Malaysia berusia 27 tahun, mengaku bersalah melakukan jenayah pecah amanah.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Chong Kee En berkata Cheah sebelum ini adalah pengurus kedai di cawangan Orchard Central rangkaian sushi itu, jawatan yang disandangnya sejak Januari 2020.

Tugasnya tetmasuk memasukkan wang tunai hasil penjualan harian ke dalam akaun bank syarikat pada keesokan hari.

Pada 23 insiden berasingan antara Jun dengan Disember 2020, Cheah menggelapkan sejumlah S$56,119.30 wang syarikat.

Kesalahan itu terbongkar pada Januari tahun lalu apabila jabatan kewangan Maxim, syarikat induk Genki, membuat pemeriksaan teliti terhadap akaun rangkaian sushi itu dan mengesan beberapa percanggahan.

Cheah disoal semasa siasatan dalaman tetapi dia berpura-pura tidak ingat tentang apa yang berlaku kepada wang yang dicuri itu.

Bagaimanapun, kerana takut akan siasatan terhadap wang yang hilang itu, Cheah membuat deposit S$32,215 ke dalam akaun syarikat tersebut pada 21 Jun tahun itu.

Namun, memandangkan sumber deposit berkenaan tidak diketahui, siasatan lanjut dijalankan oleh Maxim.

Cheah ditemu bual sekali lagi dan akhirnya dia mengaku mencuri wang itu. Dia juga mengaku menyimpan baki wang yang tidak dimasukkan ke dalam bank di rumahnya.

Apabila polis menyerbu rumahnya, mereka hanya menemui semula S$20,664.60 yang disimpan dalam 23 beg plastik berasingan, kata DPP Chong, yang memohon hukuman penjara antara lima dengan enam bulan.

Cheah membayar balik S$3,239.70 kepada Genki pada Isnin, berbulan-bulan selepas diberhentikan kerja oleh Genki pada 15 September tahun lalu.

Di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan, sesiapa yang melakukan jenayah pecah amanah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan