Pengurus kanan Takashimaya dipenjara, denda kerana terima rasuah selindung kekurangan pengawal
Seorang pengurus divisyen kanan di Takashimaya Singapura dijatuhi hukuman penjara 10 bulan pada Selasa (19 Okt) atas kesalahan menerima rasuah bagi menyelindung isu kekurangan pengawal keselamatan.
(Gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Seorang pengurus divisyen kanan di Takashimaya Singapura dijatuhi hukuman penjara 10 bulan pada Selasa (19 Okt) atas kesalahan menerima rasuah bagi menyelindung isu kekurangan pengawal keselamatan.
Chan Kuen Thong, 64 tahun, diarah membayar denda sebanyak S$42,500.
Sepanjang tempoh sekitar tiga tahun, Chan menerima wang sogokan sebanyak S$121,000 daripada seorang pengarah firma keselamatan, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan media.
Ketika kejadian itu, Chan bertanggungjawab ke atas jabatan keselamatan Takashimaya, dan firma keselamatan White Knights diberi tiga kontrak dengan gedung serbaneka berkenaan berdasarkan saranannya.
Di bawah kontrak tersebut, White Knights dikehendaki menugaskan 18 pegawai keselamatan bagi syif siang hari dan enam bagi syif malam.
Jika terdapat sebarang kekurangan pengawal keselamatan di gedung tersebut, Takashimaya berhak menuntut balik kos bagi pengawal keselamatan yang tidak dikerahkan.
Sejak kontrak pertama bermula pada Januari 2017, pengarah White Knights Mandhir Singh Karpal Singh kerap menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja antara tiga hingga lima pegawai keselamatan bagi syif siang hari, kongsi CPIB.
Chan mengadu kepada Singh mengenai perkara itu, yang menyebabkan beberapa lokasi tidak dijaga.
Lewat bulan Januari, Chan meminta Singh memberinya S$4,000 setiap bulan sebagai bayaran untuk tidak mengeluarkan tuntutan bagi kos kekurangan tenaga pengawal.
Menurut CPIB, Singh setuju kerana ia dapat menjimatkan kos antara S$12,300 dengan S$20,500 sebulan untuk firmanya.
Aturan itu turut "mengurangkan beban" Singh untuk mencari lebih ramai pengawal keselamatan dan terus memastikan kontraknya bersama Takashimaya akan diperbaharui, tambah CPIB.
Antara Februari 2017 dengan Mei 2020, Singh memberi Chan wang sogokan tunai sebanyak S$121,000 menerusi lebih 20 bayaran. Chan membalas dengan tidak mengeluarkan tuntutan kos terhadap White Knights.
Singh dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan pada 16 Ogos. Dia mengaku bersalah atas lima tuduhan memberi rasuah, dengan 15 tuduhan lain diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
CPIB menasihatkan syarikat-syarikat agar menetapkan prosedur mantap dalam bidang seperti pemerolehan dan audit dalaman demi mencegah kegiatan rasuah oleh pekerja.
"Singapura mengamalkan pendekatan toleransi sifar terhadap rasuah," kata agensi tersebut. "Sesiapa yang didapati bersalah bagi kesalahan rasuah di bawah Seksyen 6 Akta Pencegahan Rasuah boleh didenda sehingga S$100,000 atau dihukum penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.