Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengurus dijel 12 bulan; guna mesin cetak majikan untuk perniagaan sendiri, raih untung S$57,000

Merasakan dia tidak diberikan peluang yang secukupnya untuk maju dalam kerjayanya, seorang pengurus pengeluaran di sebuah syarikat percetakan mula mencetak barang untuk pelanggannya sendiri menggunakan peralatan majikannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengurus dijel 12 bulan; guna mesin cetak majikan untuk perniagaan sendiri, raih untung S$57,000

Gambar fail sebuah mesin cetak.

Diterbitkan : 29 Jul 2021 03:14PM Dikemas Kini : 29 Jul 2021 03:17PM

SINGAPURA: Merasakan dia tidak diberikan peluang yang secukupnya untuk maju dalam kerjayanya, seorang pengurus pengeluaran di sebuah syarikat percetakan mula mencetak barang untuk pelanggannya sendiri menggunakan peralatan majikannya.

Dia menggunakan sumber-sumber majikannya untuk memenuhi tempahan para pelanggannya dan kemudian membuka syarikat percetakannya sendiri sehingga meraih keuntungan lebih S$57,000, sekali gus menjejas pendapatan majikannya.

Mike Song, 56 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama setahun pada Khamis (29 Jul). Dia mengaku bersalah atas dua tuduhan pecah amanah sebagai seorang pekerja dengan lagi empat tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Song bertugas sebagai pengurus pengeluaran di 8 Ink Media, yang khusus dalam khidmat pencetakan. Syarikat tersebut memindahkan aset-aset dan para pekerjanya termasuk Song ke INX Events & Productions pada Februari 2019.

Song mula bekerja dengan syarikat tersebut pada Oktober 2014, di mana dia awalnya mencetak kain rentang. Sebagai pengurus pengeluaran, dia memenuhi tempahan percetakan yang dihantar ke syarikat itu dan diamanahkan dengan sumber-sumber percetakan seperti dakwat dan kertas.

Tertuduh bagaimanapun mula menggunakan sumber-sumber syarikat untuk mencetak bahan-bahan percetakan yang dijualnya sendiri sejak November 2015. Dia kerap tidak hadir di tempat kerja sewaktu masa bekerja dan pulang ke tempat kerja pada lewat malam.

Song mula bekerja sendiri kerana dia berasa bahawa syarikat itu tidak memberikan peluang yang secukupnya untuk dia maju meskipun perniagaan syaraikat itu semakin berkembang.

Dia menubuhkan syarikatnya sendiri untuk menawarkan khidmat percetakan sejak Ogos 2016 dan mencari klien sendiri sedang dia masih bekerja dengan 8 Ink Media.

Dia terus mencetak kain rentang dan bahan-bahan lain untuk klien-klien peribadinya menggunakan sumber-sumber majikan pada 2017 dan 2018. Dia mencetak bahan-bahan menggunakan sumber-sumber majikan sebanyak 70 kali sepanjang dua tahun.

Secara keseluruhannya, dia meraih sekitar S$57,480 daripada klien-klien peribadinya antara November 2015 dengan Disember 2019. Ia dianggap sebagai kerugian yang ditanggung oleh majikannya.

Meskipun aset dan kakitangan syarikat itu dipindahkan ke INX Events & Productions, Song meneruskan perniagaannya sehingga Disember 2019.

Seorang pekerja mendedahkan tindak-tanduk Song kepada pengurus besar syarikat itu pada 1 Februari 2020 dan satu aduan polis dibuat.

Song bersetuju untuk membayar balik S$58,000 kepada syarikat tersebut secara ansuran dan selesai membayar sepenuhnya pada 9 Jun 2020.

Bagi setiap tuduhan pecah amanah sebagai seorang pekerja, dia boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan didenda.  

Sumber : CNA/SM/sm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa