Skip to main content

Singapura

Pengunjung ke Terminal 3 Lapangan Terbang Changi mulai 3 Mei boleh dapatkan ujian COVID-19 percuma: MOH

Orang ramai yang telah mengunjungi Terminal 3 Lapangan Terbang Changi dari 3 Mei akan ditawarkan ujian percuma COVID-19, di tengah-tengah bertambahnya kelompok berkaitan dengan pekerja pembersihan yang ditugaskan di sana.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengunjung ke Terminal 3 Lapangan Terbang Changi mulai 3 Mei boleh dapatkan ujian COVID-19 percuma: MOH

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 13 May 2021 12:28AM Dikemas Kini : 13 May 2021 12:31AM

SINGAPURA: Orang ramai yang telah mengunjungi Terminal 3 Lapangan Terbang Changi dari 3 Mei akan ditawarkan ujian percuma COVID-19, di tengah-tengah bertambahnya kelompok berkaitan dengan pekerja pembersihan yang ditugaskan di sana.

Langkah itu adalah "untuk mengurangkan potensi risiko penularan dalam masyarakat yang lebih luas dan tidak dikesan", kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (12 Mei) malam dalam kemas kini hariannya mengenai keadaan COVID-19 di Singapura.

"MOH secara beransur-ansur akan memaklumkan individu-individu ini melalui pemberitahuan SMS dengan maklumat tentang cara membuat janji temu untuk ujian mereka," kata kementerian itu.

"Semua pengunjung ke Terminal 1 Lapangan Terbang Changi dan Jewel dari 3 Mei dan seterusnya juga disarankan supaya memantau kesihatan mereka dengan rapi selama 14 hari dari tarikh lawatan mereka."

Mereka "sangat digalakkan" untuk datang ke pusat pemeriksaan daerah atau Klinik Kesediaan Kesihatan Awam "Swab and Send Home" untuk menjalani ujian percuma COVID-19 jika mereka merasa tidak sihat, tambah MOH.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam setelah kumpulan syarikat Changi Airport Group (CAG) dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) menyatakan bahawa Jewel Lapangan Terbang Changi dan semua bangunan terminal penumpang akan ditutup untuk umum selama 14 hari dari Khamis (13 Mei) hingga 27 Mei sebagai langkah berjaga-jaga sementara satu operasi ujian khas pekerja di sana sedang dijalankan.

Sejak 8 Mei, semua pekerja di Terminal 1 dan 3 serta di Jewel Lapangan Terbang telah menjalani ujian wajib COVID-19 yang dijalankan oleh MOH.

Sejauh ini terdapat 25 kes dalam masyarakat yang berkaitan dengan pekerja pembersihan berusia 88 tahun, termasuk tujuh kes yang diumumkan pada Rabu.

Dalam kenyataannya, MOH juga mengulangi seruan CAG dan CAAS kepada semua pekerja lapangan terbang serta kakitangan yang bekerja di Jewel supaya jangan keluar kecuali untuk datang kerja atau kegiatan penting selama 14 hari akan datang.

"Mereka juga tidak harus dipindahkan ke tempat kerja atau cawangan lain selama tempoh ini," tambah MOH.

Sumber : BERITA Mediacorp/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita