Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengunjung ke pantai Sentosa tidak lagi perlu buat tempahan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pengunjung yang ingin ke pantai Sentosa pada hujung minggu dan cuti umum tidak lagi perlu membuat tempahan berkuat kuasa "serta-merta".

Ini selaras dengan langkah pengurusan selamat COVID-19 yang dipermudahkan.

Pengunjung boleh pergi ke pantai Tanjong, Palawan dan Siloso tanpa perlu membuat tempahan, kata Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) dalam satu kenyataan media pada Isnin (14 Mac).

Sebelum ini, pengunjung yang menuju ke pantai Sentosa pada waktu sibuk seperti hujung minggu dan cuti umum dikehendaki menempah slot online.

Tempahan untuk menggunakan gelanggang pantai pada hujung minggu dan cuti umum juga tidak diperlukan lagi.

Sesiapa sahaja boleh berjalan masuk untuk melihat Magical Shores di Siloso secara percuma. Daya tarikan berbilang deria itu akan dibuka pada Jumaat, hujung minggu, malam hari cuti umum dan cuti umum. Ini akan tertakluk kepada had kapasiti daya tarikan itu, kata SDC.

"Untuk keselamatan semua orang  pengunjung di Sentosa  diingatkan untuk terus mematuhi langkah pengurusan selamat sedia ada," kata SDC. Ini termasuk memakai pelitup, had kumpulan lima orang, serta langkah pengurusan selamat bagi aktiviti sukan.

Hadangan keselamatan, yang akan menunjukkan tempat di mana kumpulan sehingga lima orang boleh berkumpul, juga akan terus dipasang di pantai Sentosa.

Pengunjung ke pantai juga boleh diarahkan ke kawasan lain jika perlu, untuk mengelakkan kesesakan di mana-mana kawasan pantai. Atas sebab keselamatan, mereka juga tidak dibenarkan berenang di pantai Sentosa selepas jam 7 malam.

"Duta-duta jarak selamat SDC dan pegawai penguatkuasa akan terus melakukan rondaan berkala dan mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan," katanya.

“Dengan pembukaan semula Singapura bertahap-tahap, sudah tiba masanya untuk kami menyemak langkah-langkah kemasukan di pantai Sentosa.

"Kami berbesar hati bahawa sebahagian besar pengunjung mengamalkan tanggungjawab sosial, dan oleh itu kami menggugurkan keperluan untuk membuat tempahan ke pantai semasa tempoh sibuk," kata Cik Thien Kwee Eng, ketua pegawai eksekutif SDC.

Dengan Sentosa meraikan ulang tahunnya yang ke-50 tahun ini, Cik Thien menambah bahawa SDC tidak sabar untuk mengalu-alukan lebih ramai warga Singapura dan pengunjung ke pantai dan menikmati  pelbagai pengalaman sempena Jubli Emas akan datang.

Minggu lalu, pengerusi bersama pasukan bertindak pelbagai kementerian COVID-19 Gan Kim Yong mengumumkan bahawa Singapura akan melaksanakan langkah pengurusan selamat yang diperkemas pada 15 Mac ketika gelombang Omicron sudah mencapai paras  kemuncak.

Langkah-langkah itu termasuk menjaga jarak selamat, jumlah pelawat isi rumah yang dibenarkan dan had kapasiti bagi acara.

Diumumkan bulan lalu, ia terpaksa ditangguhkan kerana lonjakan kes COVID-19.

Sumber : CNA/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan