Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengunjung ke pantai diingatkan supaya tidak kumpul, sentuh hidupan liar di zon pasang surut: NParks

Lembaga Taman Negara (NParks) pada Rabu (18 Mei) mengingatkan para pengunjung supaya mematuhi etika sewajarnya apabila mengunjungi zon pasang surut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lembaga Taman Negara (NParks) pada Rabu (18 Mei) mengingatkan para pengunjung supaya mematuhi etika sewajarnya apabila mengunjungi zon pasang surut.

Para pengunjung harus mengelakkan daripada menyentuh atau memijak sebarang hidupan liar supaya ia dapat terus hidup subur dalam habitat semula jadi.

"Walaupun segelintir hidupan liar boleh bertahan dengan sentuhan lembut, kebanyakannya agak sensitif apabila ia disentuh," menurut NParks.

Para individu juga harus mengelakkan daripada mengumpul hidupan liar kerana setiap haiwan mempunyai fungsi ekologi tersendiri dan menyumbang kepada kesihatan habitat zon pasang surut.

"Ia kemungkinan juga tidak dapat bertakat buat tempoh yang lama apabila ia dibawa keluar daripada habitat aslinya.

"Individu yang kurang arif mengenai spesies hidupan marin mungkin juga membahayakan keselamatan diri kerana mereka tidak dapat mengecam hidupan marin yang berbisa atau beracun," menurut NParks lagi.

Orang ramai digalakkan untuk memakai kasut yang tertutup kerana mungkin terdapat batu-bata yang tajam atau haiwan berduri di sekitar zon pasang surut.

Kawasan pasang surut merupakan zon perairan antara tanda pasang surut dan terendah. Habitat-habitat yang ditemui di sana termasuk pantai berbatu, pantai berpasir dan padang rumput laut.

NParks mengeluarkan makluman itu menjelang cuti sekolah Jun. Menurut NParks, ramai keluarga bersama anak-anak mereka yang mungkin akan mengunjungi zon pasang surut sepanjang tempoh ini, terutama sekali pada hujung minggu atau cuti umum.

Menurut NParks, kakitangannya dan para sukarelawan juga akan mempertingkatkan usaha untuk mendidik orang awam mengenai kepelbagaian bio yang terdapat di zon pasang surut dan mengingatkan mereka supaya mematuhi etika sewajarnya ketika berada di zon tersebut.

"Habitat di zon pasang surut sangat rapuh dan penting bagi kesihatan ekosistem marin," ia menambah.

Di mana perlu, akses ke pantai-pantai tertentu mungkin akan dikawal semasa waktu sibuk bagi mengelakkan terlalu ramai orang berkumpul dan mengurangkan risiko haiwan-haiwan marin dipijak.

"Kami mohon pemahaman dan sokongan awam dalam melindungi kepelbagaian bio di zon pasang surut kami supaya lebih ramai orang dapat menikmatinya," menurut NParks.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan