Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengunjung ke Kebun Bunga Singapura digigit memerang 26 kali; insiden seumpama itu 'jarang berlaku'

Rutin berjalan pada pagi hari di Kebun Bunga Singapura bagi seorang  penduduk tetap bertukar menjadi pengalaman ngeri Selasa lalu (30 Nov) apabila dia digigit oleh sekumpulan memerang di sana. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pengunjung ke Kebun Bunga Singapura digigit memerang 26 kali; insiden seumpama itu 'jarang berlaku'

Encik Graham George Spencer menerima rawatan di Hospital Gleneagles selepas digigit sekumpulan memerang di Kebun Bunga Singapura pada 30 Nov 2021. (Gambar: Graham George Spencer)

Diterbitkan : 08 Dec 2021 11:31PM Dikemas Kini : 08 Dec 2021 11:33PM

SINGAPURA: Rutin berjalan pada pagi hari di Kebun Bunga Singapura bagi seorang penduduk tetap bertukar menjadi pengalaman ngeri Selasa lalu (30 Nov) apabila dia digigit oleh sekumpulan memerang di sana.

Encik Graham George Spencer, seorang warga Britain digigit oleh sekeluarga memerang dekat pintu masuk Taman Serasi selepas seorang pelari lain berlari di laluan haiwan itu.

Bercakap kepada Mediacorp pada awal minggu ini, Encik Spencer, yang mengendalikan sebuah agensi pembantu rumah, berkata dia ternampak kelibat sekumpulan kira-kira 20 memerang ketika melakukan rutin berjalannya bersama seorang rakan Selalu lalu.

Encik Spencer sedang berjalan di laluan menuju ke pusat pengunjung apabila dia ternampak haiwan itu di laluan sebelah kanan, jarak sekitar 4.5 meter darinya.

Itu adalah kali pertama dia ternampak memerang di Kebun Bunga Singapura sepanjang tempoh lima bulan dia melakukan rutin berjalannya pada setiap pagi.

Ketika menunggu memerang itu melintasinya, seorang pelari lain berlari menonong di laluan haiwan tersebut.

Dengan tidak semena-mena memerang tersebut bertukar "bagaikan anjing gila", kata Encik Spencer yang tidak mahu mendedahkan usianya.

Sementara pelari tersebut berjaya meninggalkan tempat itu, memerang berkenaan tersalah anggap Encik Spencer sebagai pelari tersebut lalu menyerangnya, kata Encik Spencer.

Beliau berkata sekumpulan memerang "memukul buku lali dan menolaknya ke lantai".

Ia kemudian melompat ke atas Encik Spencer dan mula menggigit kasut serta sekitar punggungnya selama kira-kira 10 hingga 12 saat.

Rakan Encik Spencer, yang berada sekitar "15 tapak" di belakangnya, berlari ke arahnya sambil menjerit dan terpekik-pekik untuk menakutkan kumpulan memerang itu.

Dalam keadaan haiwan tersebut kelihatan teragak-agak, Encik Spencer bangun dan melarikan diri.

Rakan Encik Spencer membantunya pergi ke pusat pengunjung untuk mendapatkan bantuan.

“Saya digigt 26 kali dalam masa 10 saat. Jika bukan kerana kawan saya, saya tidak rasa saya masih ada di sini. Saya mungkin sudah mati," ujar Encik Spencer.

Seorang pengawal di pusat pengunjung, yang baru sahaja selesai waktu rehat, kemudian menawarkan Encik Spencer pembalut untuk menghentikan pendarahan.

Encik Spencer menolak tawaran seorang kakitangan di sana untuk menaiki ambulans. Sebaliknya, dia berjalan kaki dengan rakannya itu ke jabatan kecemasan di Hospital Gleneagles.

Dia diberikan suntikan tetanus (untuk penyakit kejang urat atau otot) dan ubat antibiotik pada hari yang sama. Namun sedari itu, dia telah pergi berjumpa doktor sebanyak tiga kali untuk merawat lukanya.

Menurut Encik Spencer, rawatannya menelan belanja sehingga S$1,200.

LAPORAN KEDUA SERANGAN HAIWAN DALAM SEMINGGU

Kejadian itu yang kedua dilaporkan minggu ini melibatkan haiwan menyerang orang ramai.

BACA: Budak 3 tahun luka 'dalam' selepas diserang burung merak; bukan mangsa pertama
https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/budak-3-tahun-luka-dalam-selepas-diserang-burung-merak-bukan/4682460.html

Beberapa insiden lain melibatkan memerang menyerang manusia juga pernah dilaporkan sebelum ini.

Pada 2017, seorang budak perempuan lima tahun digigit seekor memerang di Taman di Pesisiran.

Pada Mei lalu, seorang lelaki 77 tahun digigit seekor memerang di Upper Boon Keng Road dekat Sungai Kallang.

Encik Spencer berkata dia juga mengambil inisiatif untuk jumpa pihak Kebun Bunga Singapura pada Jumaat lalu untuk berkongsi pengalamannya itu serta mencegah insiden serupa daripada berulang.

Seorang wakil kanan Kebun itu mengesahkan siasatan sedang dijalankan. Bagaimanapun, sejak itu, kedua-dua pihak tidak berhubungan lanjut.

Menyusuli pertemuan tersebut, Encik Spencer berkata pihak kebun bunga juga sudah meletakkan papan-papan tanda di sekitar pintu masuk Kebun itu untuk memberi amaran kepada pengunjung tentang memerang.

Encik Spencer menambah dia mahu mencari jalan untuk menghindari insiden serupa daripada berbuah dua kali, sekiranya ia mengakibatkan kecederaan yang lebih serius atau bahkan juga, kematian.

INSIDEN SERANGAN MEMERANG 'JARANG BERLAKU'

Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Rabu, Dr Tan Puay Yok, Pengarah Kumpulan Kebun Bunga Singapura, berkata Lembaga Taman Negara (NParks) yang menyelia Kebun itu, maklum tentang insiden tersebut dan sudah menghubungi Encik Spencer.

Dr Tan menambah insiden serangan memerang di Kebun Bunga Singapura serta di taman jarang berlaku tetapi beliau tetap mengingatkan pengunjung agar berhati-hati apabila pergi ke tempat-tempat tersebut.

Dr Tan menambah relawan dan kakitangan di Kebun itu memantau pergerakan memerang serta mendidik masyarakat tentang cara memerhatikan haiwan itu dari jauh dan tidak berinteraksi dengannya.

Papan tanda diletakkan Kebun Bunga Singapura pada 7 Dis 2021, memberi nasihat kepada pengunjung tentang apa patut mereka lakukan sekiranya terlihat memerang di sana. (Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Papan-papan tanda pendidikan serta nasihat kini diletakkan di merata Kebun itu untuk menasihatkan pengunjung tentang apa yang harus dilakukan sekiranya berdepan dengan memerang, tambah beliau.

NParks menyatakan ia sudah memasang sebuah papan pendidikan mengenai memerang di Tanglin Gate Kebun itu, pada Khamis lalu, iaitu berdekatan dengan tempat serangan tersebut berlaku.

Para pakar haiwan memberitahu Mediacorp memerang tersebut mungkin menyerang Encik Spencer untuk melindungi anak-anaknya.

Cik Anbarasi Boopal, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Persatuan Kajian dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (ACRES), berkata kehadiran anak memerang dalam keluarga memerang boleh mencetuskan "tindak balas mempertahankan diri" daripada haiwan itu.

Tingkah laku seumpama itu biasa bagi haiwan liar lain seperti babi atau kera liar, yang mungkin mengganggap pihak lain sebagai satu ancaman sekiranya mereka menghampiri keluarganya, terang beliau.

Encik Bernard Seah, anggota OtterWatch dan Kumpulan Kerja Memerang yang menjejaki pergerakan memerang di Singapura, berkata ada satu keluarga memerang - dipanggil 'keluarga Zouk' - yang merupakan pengunjung kerap ke Kebun itu saban tahun ini.

Beliau menggambarkan keluarga itu sebagai keluarga memerang di Singapura yang paling bertolak ansur terhadap manusia. Beliau menambah keluarga itu berkemungkinan "terkejut" dengan pelari berkenaan.

Encik Seah berkata beliau belum pernah menyaksikan sebarang serangan memerang sejauh ini tetapi berkata beliau sudah melihat memerang dalam keadaan ketakutan dan menggigit kaki manusia yang berada terlalu dekat dengannya apabila ia rasa terancam.

"Gigitan kilat" ini adalah satu cara bagaimana memerang memberitahu orang ramai supaya menjauhi dirinya, jelas Encik Seah.

Beliau menasihati orang ramai supaya memberikan haiwan ruang apabila terserempak dengannya.

Cik Anbarasi berkata meletakkan lebih banyak papan-papan tanda di sekitar Kebun Bunga dan lebih banyak kesedaran awam tentang apa yang perlu mereka lakukan seandainya berdepan dengan haiwan liar akan membantu mencegah insiden serupa daripada berlaku lagi. 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan