Skip to main content

Singapura

Pengunjung dijangka membanjiri River Hongbao; kawalan keselamatan diperketat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Jan 2023 03:40PM Dikemas Kini : 06 Jan 2023 10:41PM
SINGAPURA: Jumlah rekod pengunjung dijangka membanjiri acara River Hongbao 2023 di
Taman Di Pesisiran, dengan sekatan COVID-19 dilonggarkan dan masuk percuma.

Acara tahunan sempena Tahun Baru Cina itu berlangsung selama sembilan hari dari 20 Januari hingga 28 Januari, menurut jawatankuasa penganjur pada Jumaat (6 Jan).

Pintu akan dibuka pada 6.30 petang 20 Januari dan 21 Januari, dan pada 2.30 petang pada hari-hari lain.

Ditanya mengenai langkah mengawal orang ramai, pengerusi program River Hongbao Perng Peck Seng berkata Taman Di Pesisiran meliputi kawasan yang sangat besar, dan acara itu akan dibuka bagi tempoh masa yang panjang setiap hari.

"Tidak perlu terlalu bimbang, tidak mungkin kawasan itu mencapai jumlah pengunjung yang melebihi kapasiti... (dan) kawasan sekitar River Hongbao semuanya adalah kawasan lapang," tambahnya dalam bahasa Mandarin.

Polis juga akan berada di kawasan itu untuk memantau keadaan dengan bantuan dron, kata pengarah urusan GP99 Associates Andrew Yap, syarikat yang bertanggungjawab bagi pembuatan dan penyediaan ruang itu.

"Apabila ruang acara sudah penuh, polis akan memberitahu kami," tambah beliau.

Bahagian utama River Hongbao akan diadakan di ruang acara Meadow Taman Di Pesisiran, yang boleh menampung sehingga sekitar 20,000 orang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Taman itu Felix Loh.

Seluruh taman itu juga boleh menampung sehingga 30,000 hingga 50,000 orang, tambahnya.

Pengunjung boleh beratur untuk menonton persembahan, dengan kira-kira 1,200 tempat duduk disediakan serta ruang berdiri berdekatan, kata jawatankuasa penganjur.

Beberapa tempat duduk akan dikhaskan untuk warga emas berumur 60 tahun dan ke atas. Warga emas yang mempunyai tiket tidak perlu beratur untuk masuk.

Warga emas yang ingin mendapatkan tiket perlu menghubungi pejabat Persekutuan Persatuan-persatuan Suku Kaum Cina Singapura (SFCCA) untuk menempah dan mengambilnya sebelum menghadiri acara itu.

River Hongbao akan terus diadakan di Taman di Pesisiran dari 2024 hingga 2026, kata Presiden SFCCA Thomas Chua.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita