Skip to main content

Singapura

Pengunjung datang awal, nikmati suasana hari pertama bazar Kampong Gelam jelang Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
 Pengunjung datang awal, nikmati suasana hari pertama bazar Kampong Gelam jelang Ramadan
Suasana semasa malam pertama di bazar Gemilang Kampong Gelam (Gambar: Nurhelmy Hakim)
SINGAPURA: Menjelangnya bulan Ramadan minggu depan, beberapa bazar sekitar Singapura sudah mula rancak dengan pelbagai persiapan.

Antaranya bazar di Kampong Gelam yang bermula pada Rabu (11 Feb) selama 33 hari.

Suasananya agak meriah pada hari pertama di acara tahunan Gemilang Kampong Gelam, yang berlangsung di kawasan Kandahar St, Muscat St dan Taman Sultan Gate.
PARA PEMILIK GERAI CUBA MANFAATKAN PELUANG TARIK PELANGGAN PADA HARI PERTAMA

Sekitar 80 peratus gerai makanan dan minuman di sepanjang Kandahar St sudah mula beroperasi, menjual pelbagai jenis juadah termasuk yang tradisional dan moden.

Ada juga para peniaga yang sibuk menghias gerai, memasang tiang-tiang, tempat menyimpan barang-barang.

Kedai-kedai yang sudah buka termasuk kedai menjual teh hijau, Matcha Klasik.

Pengasas Bersama kedai itu, Encik Radja Tsaqif Helmi berkata: "Kita cuba menjadi eksklusif pada mulanya dan juga cuba untuk menarik para pelanggan tetap kita, dan yang baharu."
Related article image
Para pemilik gerai Matcha Klasik termasuk Radja Tsaqif Helmi (kiri) (Gambar: Nurhelmy Hakim)
"Kita juga ingin memanfaatkan segala masa yang kita ada di sini untuk meningkatkan penjualan dan keuntungan. Lagi pun, kita buka siang supaya kita boleh membuat beberapa percubaan dan betulkan apa-apa silap di peringkat awal," tambah beliau yang berusia 27 tahun itu.

Lebih daripada 10 gerai yang dilihat masih belum dibuka.

Menurut beberapa pegerai di kawasan itu, mereka menjangkakan semua gerai mula beroperasi pada hujung minggu ini.

PARA PENGUNJUNG DATANG AWAL, ELAK SESAK PADA HUJUNG MINGGU

Pada waktu malam orang ramai sudah perlahan-lahan membanjiri kawasan bazar.
Related article image
Suasana semasa malam pertama di bazar Gemilang Kampong Gelam (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Kelihatan keluarga yang membawa anak-anak kecil, kumpulan anak muda yang datang bersama rakan-rakan, serta pelancong yang tidak mahu melepaskan peluang merasai pengalaman bazar Ramadan di kawasan bersejarah itu.

Ini termasuk Cik Dalilah, seorang pengunjung yang datang bersama anak perempuannya.

Beliau berkata: "Kami mengambil keputusan datang ke sini sebab esok anak saya akan pulang ke New Zealand, menyambut Ramadan di sana. Saya rasa baik untuk dia juga merasakan suasana di sini tahun ini meskipun satu hari sahaja."

"Saya juga akan sibuk sewaktu bulan Ramadan, mengerjakan terawih, dan tidak ada masa lagi untuk mengunjungi bazar," tambah beliau lagi.

Memandangkan baru hari pertama, para pengunjung juga masih mengambil kesempatan untuk meninjau terlebih dahulu apa yang ditawarkan tahun ini.

Muhammad Isyraf Hisran, 22 tahun berkata: "Saya di sini sebab bulan Ramadan sudah nak mula, jadi memang nak jalan-jalan, tengok makanan-makanan, kuih-kuih yang ada di sini."

"Selalunya di sini, saya beli air katira, burger Ramly atau sekarang ada makanan yang 'trendy' seperti Tacos. Lagi pun, pada hujung minggu memang selalu ramai orang, jadi susah nak jalan dan kalau nak beratur pun berjam-jam," tambah Isyraf lagi.

Para penjual pula juga berharap lebih ramai akan membanjiri kawasan itu pada hujung minggu nanti, sebelum Ramadan bermula.

Pelbagai program dan persembahan juga telah disusun bagi menarik pengunjung ke bazar ini sekali gus dijangka akan bertambah lebih meriah untuk hari-hari mendatang.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita