Skip to main content

Singapura

Pengunduran Deliveroo dari SG mungkin sebabkan yuran lebih tinggi, kurang diskaun: Penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
Pengunduran Deliveroo dari SG mungkin sebabkan yuran lebih tinggi, kurang diskaun: Penganalisis
(Gambar: CNA/Calvin Oh)
Diterbitkan : 26 Feb 2026 09:30PM Dikemas Kini : 26 Feb 2026 10:02PM
SINGAPURA: Pengunduran Deliveroo dari Singapura mungkin akan menyebabkan yuran penghantaran yang lebih tinggi, kurang promosi dan komisen lebih tinggi untuk restoran apabila pasaran beralih kepada dua pemain utama, walaupun pengguna mungkin tidak merasakan kesannya serta-merta.

Selepas hari terakhir perkhidmatan Deliveroo pada 4 Mac, Grab dan Foodpanda akan menjadi dua platform penghantaran makanan utama di Singapura.

Penganalisis berkata peralihan itu tidak mungkin menyebabkan gangguan serta-merta, malah boleh mencetuskan lonjakan persaingan sementara apabila platform yang tinggal bersaing untuk mendapatkan peniaga dan pengguna Deliveroo.

Ia boleh membawa kepada harga yang lebih rendah pada peringkat awal, kata Profesor Madya Seshan Ramaswami, yang mengendalikan kursus pemasaran di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Namun, prospek jangka panjang mungkin kurang memihak kepada pengguna. Penganalisis berkata pasaran akan menyerupai duopoli, dengan Grab dijangka menguasai bahagian yang jauh lebih besar.

Penolong Profesor Tiffany Tsai dari Jabatan Ekonomi NUS berkata, jika kedua-dua syarikat itu terus bersaing hebat dari segi kepantasan penghantaran, mutu perkhidmatan, dan pilihan kedai, mereka mungkin akan mengekalkan "promosi yang banyak dan mengawal kadar yuran".

Mengenai kemungkinan berlaku monopoli pada masa depan, Profesor Pemasaran DI Universiti Nasional Singapura (NUS) Jochen Wirtz berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku kecuali berlaku penggabungan, yang akan diteliti oleh pihak berkuasa persaingan.

Namun, Penolong Profesor Tsai berkata monopoli boleh berlaku jika pesaing yang tinggal tidak lagi mampu bersaing "untuk mengawal harga atau kadar komisen, atau tidak mempunyai saiz dan pelbagai perkhidmatan yang cukup kuat untuk mencabar syarikat yang paling besar".

Pemerhati berkata kesan jangka pendek terhadap perniagaan dijangka terhad, tetapi persaingan yang berkurangan boleh melemahkan kuasa tawar-menawar mereka, sekali gus berpotensi membawa kepada kadar komisen lebih tinggi yang diminta platform.

Begitu juga, penghantar yang berpindah platform boleh menyebabkan persaingan lebih sengit untuk mendapatkan pesanan, kata Penolong Profesor Lee Wee Kiat dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Dalam jangka panjang, persaingan platform yang berkurangan boleh melemahkan kuasa tawar-menawar penghantar, dengan kemungkinan peralihan daripada bonus pendaftaran dan insentif lonjakan yang sebelum ini digunakan untuk menarik dan mengekalkan penghantar, kata Penolong Profesor Tsai.

Platform mungkin beralih kepada struktur bayaran lebih berasaskan prestasi, katanya.

MENGAPA DELIVEROO BERDEPAN CABARAN

Deliveroo memasuki Singapura pada 2015 dalam landskap penghantaran makanan yang sangat berdaya saing.

Penganalisis yang ditemu bual Mediacorp menarik perhatian kepada kesukaran pasaran Singapura bagi pesaing berskala kecil seperti Deliveroo.

“Dalam pasaran yang padat secara geografi dan sangat berdaya saing seperti Singapura, di mana dua platform sudah mempunyai skala besar, sukar bagi pemain kecil untuk membina dan mengekalkan kelebihan dalam kawasan yang sama.”

Profesor Wirtz dari NUS berkata pasaran itu sangat sengit persaingannya dan penuh dengan promosi, menyebabkan keuntungan syarikat menjadi sangat kecil.

“Penghantar memilih platform yang menawarkan bayaran lebih tinggi, dan pelanggan memilih platform yang mempunyai kos lebih rendah. Penukaran antara platform hanya sejauh satu klik,” katanya.

Pakar menjelaskan bahawa sistem 'super-app' Grab - yang merangkumi pengangkutan, pembayaran, dan ganjaran - membolehkan mereka mempromosikan pelbagai perkhidmatan sekaligus dan mendapat pendapatan tambahan melalui iklan.

Prof Wirtz berkata walaupun Foodpanda bukan aplikasi super, ia menjana pendapatan melalui iklan dan media runcit, khususnya melalui Pandamart dan kerjasama dengan jenama barangan pengguna bergerak pantas.

Tahun lalu, DoorDash mengambil alih Deliveroo dengan tujuan meningkatkan bahagian pasaran di Eropah.

“Memandangkan trajektori pertumbuhan Deliveroo yang terhad di Singapura, kemungkinan besar pasaran ini tidak dianggap sebagai keutamaan strategik dalam portfolio global DoorDash yang lebih luas,” kata Penolong Profesor Tsai dari NUS.

Profesor Madya Ramaswami turut membangkitkan kemungkinan kemasukan pemain baharu yang mungkin melihat peluang untuk membezakan diri daripada dua pemain yang tinggal.

Perkhidmatan penghantaran lain seperti Lalamove juga berada dalam kedudukan untuk memasuki pasaran penghantaran makanan, memandangkan mereka mempunyai armada penghantaran dan prasarana logistik.

 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita