Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengumuman Pemerintah tentang tudung diharap galak lebih ramai Muslimah jadi jururawat

Lakukannya "tanpa menjejas tatalaku di tempat kerja dan mematuhi protokol kawalan jangkitan serta mengutamakan keselamatan diri dan orang sekeliling mereka".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para jururawat Muslim yang memilih untuk memakai tudung bersama pakaian seragam mereka, digesa supaya melakukannya "tanpa menjejas tatalaku di tempat kerja dan mematuhi protokol kawalan jangkitan serta mengutamakan keselamatan diri dan orang sekeliling mereka".

Demikian menurut Kesatuan Kakitangan Khidmat Jagaan Kesihatan (HSEU) dalam catatan di laman Facebooknya pada Ahad (29 Ogos).

"Sekiranya berlaku situasi di mana tudung menyulitkan mereka melakukan demikian, kami berharap para jururawat akan mengamalkan kepekaan profesional dan mengutamakan para pesakit," menurut HSEU.

HSEU merupakan salah satu wakil sektor jagaan kesihatan awam dalam Jawatankuasa Panduan Pelaksanaan (ISC) dan Panel Penasihat Klinikal (CAP) yang dilantik MOH bagi membangunkan peraturan berhubung pemakaian tudung berdasarkan garis panduan pelaksanaan dan klinikal.

Menerusi catatannya, HSEU menzahirkan sokongannya kepada perkembangan terbaru itu dan gembira kini terdapat lebih banyak pilihan untuk para jururawat dalam sektor jagaan kesihatan, termasuk memakai tudung bersama pakaian seragam mereka.

"Dengan membenarkan para jururawat memilih sama ada untuk memakai tudung, jika mereka mahu, kami berharap ini akan membantu mengurangkan hambatan ke atas mereka yang sebelum ini berminat untuk menyertai sektor tersebut namun teragak-agak disebabkan peraturan sedia ada," menurut HSEU.

HSEU menyatakan, ia menghargai usaha Pemerintah mengadakan rundingan dengan para pemimpin kesatuan dan menimbangkan maklum balas yang diberikan.

"HSEU akan terus memperjuangkan hak-hak dan kesejahteraan kakitangan jagaan kesihatan, secara konsisten mendapatkan maklum balas daripada peringkat bawah dan bekerjasama dengan rakan-rakan perikatan tiga pihak demi kebaikan para petugas jagaan kesihatan," tambahnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan