Pengumpulan Berdasarkan Subjek pupuk rasa hormat terhadap keupayaan berbeza dalam kalangan pelajar
Setahun selepas Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh dilaksanakan, Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata inisiatif itu berhasil membantu pelajar belajar mengikut rentak mereka sendiri sambil menyemai rasa hormat terhadap keupayaan yang pelbagai.

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing dalam temu bual meluas CNA mengenai dasar-dasar pendidikan Singapura pada 23 Jan 2025. (Gambar: CNA)
Bercakap kepada Mediacorp dalam temu bual CNA yang mengkaji dasar-dasar pendidikan daripada penggal semasa pemerintah, Encik Chan menekankan bahawa kementeriannya memantau hasil utama Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh, seperti mengubah minda dan memupuk minat belajar - menjangkaui prestasi akademik sahaja.
Dalam temu bual yang meluas itu, Encik Chan turut menyentuh tentang industri tuisyen, hubungan antara guru dan ibu bapa dan bagaimana landskap pengajian tinggi Singapura perlu berkembang untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
Pengumpulan Berdasarkan Subjek merupakan salah satu dasar utama yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dalam tempoh lima tahun lalu. Lain-lain termasuk perubahan pada sistem pemarkahan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan Sijil Pendidikan Menengah Singapura-Cambridge yang baharu, yang akan diduduki oleh para pelajar mulai 2027, bagi menggantikan Peperiksaan Peringkat GCE O dan N.
Mengenai sama ada manfaat tidak ketara itu dapat dilihat pada keputusan akademik, Encik Chan menegaskan bahawa "bukannya akademik tidak penting", tetapi MOE mahu menjangkaui lebih dari itu.
Beliau menegaskan bahawa kemahiran insaniah, seperti keupayaan untuk berhubung dengan orang ramai, juga penting. Tidak semua perkara yang penting dalam hidup boleh diukur, dan hanya kerana sesuatu boleh diukur, ia tidak bermakna ia adalah yang paling penting, tegas Encik Chan.
Matlamatnya adalah untuk menjauhi budaya "membandingkan diri antara satu sama lain", katanya.
"Natijahnya bukan untuk membuat perbandingan. Hasilnya lebih kepada kita untuk lebih memahami diri kita sendiri, supaya langkah seterusnya dalam perjalanan pembelajaran kita, kita ditempatkan dalam persekitaran yang lebih sesuai."
MOE memperkenalkan Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh untuk memupuk rasa hormat terhadap keupayaan yang pelbagai dan bukan untuk menjerumuskan pelajar ke dalam "matriks yang sangat mudah", kata Encik Chan.
"Setiap kanak-kanak mempunyai profil berbeza, kelebihan berbeza, kebolehan berbeza... Kami mahu orang ramai menghormati kepelbagaian ini."
Skim itu juga membantu pelajar mengenali kekuatan dan kelemahan mereka sendiri, dan mengembangkan diri mengikut kekuatan mereka, kata Encik Chan. Ini, seterusnya, akan membantu mengubah sikap dan menggalakkan minat dan keinginan untuk belajar.
SIKAP ELITIS DAN SISTEM ALUMNI
Encik Chan juga menjawab soalan mengenai elitisme di sekolah dan sama ada sistem alumni menyumbang kepada pemikiran sedemikian.
Elitisme boleh wujud di sekolah sama ada mereka mempunyai sistem alumni yang kukuh, katanya. "Walaupun anda berada di sekolah yang disifatkan sebagai sebuah sekolah yang hebat ... tetapi jika anda berusaha untuk membuktikan mereka di luar sana bahawa tanggapan mereka salah, maka anda berhak untuk memberitahu mereka bahawa anda bukan bersikap elitis."
Masyarakat "tidak akan pernah sama rata sepenuhnya" tetapi Singapura akan terus memastikan semua rakyat mestilah mendapat hak dan peluang yang sama," katanya lagi.
“Selagi anda dilahirkan di Singapura – anda mungkin tidak mempunyai peluang yang sama, dan mungkin tidak pernah ada situasi di mana semua orang mempunyai peluang yang sama untuk berjaya – tetapi anda akan sentiasa mempunyai peluang terbaik.”
Rangkaian alumni memainkan peranan dalam memupuk semangat sekolah dan hubungan dengan masyarakat, tetapi ini tidak sepatutnya menjejas sikap inklusif, kata Encik Chan.
Beliau merujuk kepada pemindahan Sekolah Anglo-Chinese (Rendah) ke Tengah sebagai contoh untuk memperluaskan akses. MOE terbuka untuk bekerjasama dengan sekolah-sekolah lain yang ingin menyumbang kepada masyarakat yang lebih luas atau lebih mencabar, tambahnya.
"Sungguhpun demikian, kita juga perlu bersikap realistik bahawa walaupun kita memindahkan sekolah, maka selepas beberapa ketika ... masyarakat di sekelilingnya mungkin berubah, dan kemudian anda mempunyai satu lagi cabaran yang berbeza sama sekali."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.