Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penguatkuasaan undang-undang tangani isu kaum perlu kerjasama MMO, kata Dr Faishal

Pemerintah akan bekerjasama dengan beberapa agensi serta badan-badan Melayu/Islam (MMO) dalam melakar Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemerintah akan bekerjasama dengan beberapa agensi serta badan-badan Melayu/Islam (MMO) dalam melakar Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata demikian dan berharap ia dapat dilakukan bersama-sama demi kebaikan Singapura.

Undang-undang yang bakal dikuatkuasakan itu akan juga merangkumi ketetapan yang tidak mengenakan hukuman dalam usaha memelihara hubungan antara kaum.

Jika seseorang menyinggung perasaan kaum lain, dia tidak semestinya akan didenda atau dipenjara.

Sebaliknya, mereka akan diberi peluang untuk mengenali kaum yang disinggung dengan lebih dekat lagi sekiranya tindakannya itu disebabkan oleh kurangnya kesedaran tentang cara kehidupan dan budaya kaum lain.

"Mereka yang tidak tahu tentang cara kehidupan rakan-rakan daripada bangsa lain (misalnya), mungkin tidak dapat merasakan impak apa yang mereka katakan, apa yang mereka lakukan. Jadi penting untuk kita memberikan peluang kepada semua individu warga kita untuk mempelajari aspek kehidupan masing-masing," ulas Dr Faishal.

Di sinilah MMO dan badan-badan kaum dan agama lain boleh memainkan peranan untuk melakarkan program-program dan menyumbang dalam proses memelihara kaum di Singapura.

Pemerintah juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan agensi-agensi lain untuk melakarkan ketetapan yang tidak berunsur hukuman itu.

“Apabila kita bekerjasama dengan MCCY, banyak MMO yang bekerjasama dengan MCCY, MHA dan agensi-agensi yang lain. Jadi kami ingin membangunkan landskap di mana semua individu dan organisasi menjadi pihak-pihak berkepentingan dalam proses membangun, menegakkan dan menjalankan proses keharmonian kaum di Singapura ini," tambah Dr Faishal.

Dr Faishal juga melihat kemampuan undang-undang baru itu untuk menangani kejadian-kejadian yang boleh menggugat keharmonian kaum dari pelbagai aspek termasuk pendidikan dan hukuman.

“Ada di kalangan mereka yang melakukan kesalahan di pelbagai ekstrem. Ada yang mungkin kerana tidak sengaja. Ada yang setelah mereka tahu, mereka sengaja lakukan. Justeru penghukuman akan masuk dalam proses ini,” jelas Dr Faishal.

KIAN RAMAI PENDUDUK RUMAH SEWA JADI PEMILIK RUMAH

Dalam wawancara bersama para wartawan, Dr Faishal yang juga Menteri Negara Pembangunan Negara turut menyentuh mengenai kadar keluarga Melayu yang menetap di flat sewa.

(Gambar fail: TODAY) 

Beliau menarik perhatian walaupun kadar keluarga Melayu yang menetap di flat sewa semakin meningkat, terdapat "tanda-tanda positif" yang menunjukkan kian ramai dalam kalangan mereka menjadi pemilik rumah.

Ramai di antara keluarga-keluarga itu sudah meraih manfaat daripada geran-geran Pemerintah dan wadah seperti Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah (HST) untuk memiliki rumah sendiri.

“Kita dapat lihat dalam lima tahun yang lalu, ada tanda-tanda positif. Kalau lima tahun sebelumnya (2010-2014) angkanya cuma 2,600. Jadi ada peningkatan 70 peratus dalam lima tahun yang lalu. Daripada 4,600 keluarga ini, 40 peratus juga adalah keluarga Melayu,” kata Dr Faishal.

Beliau seterusnya menjelaskan ada pelbagai faktor yang menyumbang kepada meningkatnya bilangan keluarga Melayu di rumah sewa.

Antaranya, bekalan rumah sewa yang disediakan juga semakin banyak.

"Dengan penambahan rumah sewa, mereka yang baru berkahwin dan memerlukan masa (membeli rumah sendiri), pilih tinggal di rumah sewa dahulu. Ada juga yang memerlukan pilihan ini setelah menjual rumah," terang Dr Faishal.

Namun, Pemerintah tidak mahu "mereka tinggal lama" di rumah sewa, tambah beliau.

"Kita mahu mereka memiliki rumah sendiri kerana ada pelbagai manfaat apabila seseorang itu tinggal ataupun memiliki rumah sendiri."

“Justeru saya harap dengan adanya lebih pendekatan daripada HST dan juga Projek DIAN di mana sama-sama kita mengukuhkan keluarga Melayu dan juga memberikan ruang bagi mereka untuk mengukuhkan pekerjaan mereka ini boleh memberikan ruang bagi mereka untuk memiliki rumah,” kata Dr Faishal lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan