Skip to main content

Singapura

Penguatkuasaan 'keterlaluan' terhadap warga asing dalam bidang penghantaran makanan jejas pekerja, pengguna: Koh Poh Koon

Tindakan penguatkuasaan yang terlalu ketat untuk menghalang warga asing daripada bekerja secara haram menerusi platform penghantaran boleh menjejas mata pencarian pekerja platform yang sah dan para pelanggan yang menunggu makanan, kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia, Dr Koh Poh Koon, pada Jumaat (26 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Sep 2025 06:59PM Dikemas Kini : 29 Sep 2025 11:39AM
SINGAPURA: Tindakan penguatkuasaan yang terlalu ketat untuk menghalang warga asing daripada bekerja secara haram menerusi platform penghantaran boleh menjejas mata pencarian pekerja platform yang sah dan para pelanggan yang menunggu makanan, kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia, Dr Koh Poh Koon, pada Jumaat (26 Sep).

Sebaliknya, langkah yang lebih mampan adalah untuk para pengendali platform mengambil langkah "di peringkat awal” dengan menjalankan pemeriksaan pengecaman wajah secara kerap ke atas para pekerja sepanjang hari, kata beliau. Ini sebagai tambahan kepada pengesahan wajah yang dilakukan semasa proses pengambilan pekerja.

Jika penyalahgunaan akaun berlaku dengan kerap, ini akan menimbulkan “petanda amaran” dan membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan yang lebih bersasar untuk menyiasat akaun tersebut dan mengenakan tindakan terhadap individu berkenaan, tambah Dr Koh.

Beliau menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Pritam Singh yang meminta penjelasan sama ada kapasiti penguatkuasaan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) perlu ditingkatkan untuk “melindungi” pekerja platform tempatan.

Encik Pritam juga bertanya sama ada saranan perikatan tiga pihak supaya pengendali platform menjalankan audit ke atas semua pekerja yang diberikan kepada sumber luar dan mengemukakan dokumen pas kerja mereka kepada kementerian apabila diminta mungkin “terlalu pasif” dan memberi “terlalu banyak kelonggaran” kepada pengendali platform.

Kumpulan kerja tersebut melibatkan Grab Singapore, MOM dan Kementerian Pengangkutan (MOT), dengan kerjasama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan persatuan-persatuan yang berkaitan dengannya.

Dr Koh menegaskan bahawa terdapat pelbagai cara untuk menghalang warga asing daripada bekerja secara haram menerusi platform penghantaran.

“Kita boleh lakukannya dengan cara yang meletakkan banyak beban kepada syarikat dan pekerja. Atau kita boleh lakukannya dengan cara yang benar-benar menyelesaikan masalah tanpa menambah beban kepada pihak berkepentingan,” kata beliau.

Hanya rakyat Singapura dan Penduduk Tetap dibenarkan melakukan kerja platform. Walau bagaimanapun, pengendali platform boleh secara sah menyerahkan tugas penghantaran kepada syarikat logistik pihak ketiga. Syarikat-syarikat itu boleh menggajikan warga asing yang mempunyai pas kerja yang sah, dengan bilangan pekerja asing dihadkan pada paras siling nisbah tanggungan industri.

"KESAN SAMPINGAN"

Menjawab soalan Parlimen yang dikemukakan oleh Encik Pritam dan Anggota Parlimen PAP (Punggol) Cik Yeo Wan Ling, Dr Koh berkata MOM sudah menjalankan operasi penguatkuasaan di “kawasan tumpuan” di seluruh pulau sepanjang beberapa bulan lalu untuk mengesan dan menghalang warga asing daripada melakukan kerja platform secara haram.

Sebanyak 644 pekerja penghantaran diperiksa semasa operasi tersebut, dengan empat didapati bekerja secara haram. Lagi 22 warga asing merupakan pemegang pas kerja yang sah, tambah beliau.

“Tindakan intensif yang kita ambil dalam beberapa bulan kebelakangan ini ... mungkin memberi gambaran yang lebih tepat tentang realiti di lapangan kerana kawasan tumpuan itu dikenal pasti sendiri oleh pekerja platform, yang melalui pemerhatian mereka, melihat lebih ramai warga asing di kawasan tersebut,” kata Dr Koh.

“Dan walaupun dengan operasi intensif di kawasan tumpuan yang dikenal pasti oleh pekerja di lapangan, jumlahnya seperti yang saya tunjukkan tadi hanyalah empat daripada 644.”

Tindakan penguatkuasaan yang “berlebihan” juga mempunyai “kesan sampingan”, tambah Dr Koh.

Sebagai contoh, beliau berkata setiap pemeriksaan boleh mengambil masa hampir 10 minit.

“Dalam proses itu, terbentuknya halangan. Pekerja lain tidak boleh bergerak, mereka perlu menunggu sehingga kami selesai memeriksa kesemuanya sebelum mereka boleh meneruskan penghantaran,” tambah beliau.

“Jadi ini menimbulkan masalah untuk mereka memenuhi masa penghantaran, dan pelanggan, yang menunggu makanan, juga akan mengalami kelewatan dalam menerima makanan mereka. Jadi ada kos yang perlu ditanggung sistem, dan banyak kesulitan kepada pekerja itu sendiri dan juga pengguna. Justeru kita perlu mengambil pendekatan yang seimbang dan dinilai dengan teliti.”

Encik Pritam juga bertanya sama ada MOM berhasrat untuk menjejak bilangan warga asing daripada syarikat ketiga yang terlibat dalam sektor penghantaran makanan.

Sebagai maklum balas, Dr Koh berkata terdapat pertimbangan operasi yang menjadikannya “sukar” untuk dilakukan.

“Pemberian kerja dari pengendali platform kepada syarikat logistik pihak ketiga ialah satu aturan B-2-B (perniagaan-ke-perniagaan) dan ia boleh bersifat dinamik,” kata beliau.

“Mereka boleh menukar rakan kongsi, cara mereka memberikan kerja ke pihak ketiga... dari bulan ke bulan, malah mungkin dari tahun ke tahun, jadi mungkin sukar pada bila-bila masa untuk mempunyai gambaran saiz yang sangat tepat. Dan ini akan meningkatkan banyak beban pentadbiran kepada syarikat-syarikat dalam melaporkan sebarang perubahan dalam perjanjian kontrak semasa mereka menjalankan kerja.”

Beliau menambah bahawa dalam sektor itu, terdapat juga restoran yang secara sah menggajikan warga asing di bawah kuota kerja mereka untuk melaksanakan kerja-kerja penghantaran.

“Landskap ini mempunyai pelbagai ragam. Apa yang perlu dilakukan adalah membolehkan syarikat membuat beberapa keputusan yang membolehkan perkhidmatan disediakan dengan cekap, yang memberi manfaat kepada syarikat dan juga pengguna supaya penghantaran dapat dibuat dengan tepat pada masanya, sejauh yang berkaitan dengan pesanan makanan.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita