Penguasaan bahasa ibunda di SG stabil meski bahasa Inggeris makin meluas digunakan, bahasa Melayu kekal paling dikuasai: Tinjauan IPS
SINGAPURA: Penguasaan bahasa ibunda di Singapura kekal stabil, meskipun penggunaan bahasa Inggeris semakin meluas dan fasih dalam kalangan penduduk setempat.
Ini apatah lagi, sedang penguasaan bahasa Inggeris berada pada tahap tertinggi dalam tempoh sedekad lalu.
Pada masa yang sama, bahasa Melayu kekal sebagai bahasa ibunda yang paling fasih dikuasai, berbanding bahasa Mandarin dan Tamil.
Dapatan tersebut didedahkan pada Isnin (23 Mei) dalam satu tinjauan baharu, yang dijalankan Institut Pengajian Dasar (IPS).
IPS menerbitkan dapatan tinjauan itu dalam satu laporan bertajuk "Identiti Bahasa & Pengurusan di Singapura: Dapatan Yang Dikemas Kini daripada Tinjauan IPS mengenai Kaum, Agama dan Bahasa".
Melibatkan 4,000 penduduk Singapura dari April hingga Ogos 2024, tinjauan itu antara lainnya meneliti tahap penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda, selain Singlish, dalam pelbagai konteks sosial dan pekerjaan, berdasarkan penilaian sendiri peserta.
Lebih 93 peratus penduduk Melayu Singapura, yang ditinjau pada 2024, mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih atau sangat fasih.
Manakala, peratusan bagi mereka yang fasih atau sangat fasih berbahasa Mandarin dan Tamil masing-masing adalah 80.9 peratus dan 92.9 peratus.
Berbanding penutur bahasa Mandarin dan Tamil, penduduk tempatan yang bertutur dalam bahasa Melayu didapati lebih kerap menggunakan bahasa tersebut dalam konteks sosial, termasuk bersama rakan-rakan.
Mereka juga merupakan kumpulan yang paling kurang menunjukkan kebimbangan terhadap kemerosotan standard bahasa ibunda berbanding penutur bahasa lain.
TAHAP PENDIDIKAN PENGARUH TAHAP KEKERAPAN PENGGUNAAN MELAYU DALAM KONTEKS SOSIAL
Khusus bagi penutur bahasa Melayu, dapatan tinjauan itu menunjukkan bahawa tahap pendidikan sebagai faktor utama yang mempengaruhi kekerapan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penuturnya ketika berinteraksi dengan rakan-rakan.
Responden Melayu dengan tahap pendidikan yang lebih rendah didapati lebih kerap menggunakan bahasa Melayu ketika berinteraksi dengan rakan-rakan mereka.
Lebih 73 peratus dalam kalangan responden Melayu berkelayakan ITE atau politeknik sering atau sangat sering menggunakan bahasa Melayu bersama rakan-rakan, dan bagi responden Melayu yang mempunyai pendidikan menengah dan ke bawah, ia merangkumi lebih 74 peratus responden.
Manakala, hampir 53 peratus responden Melayu yang memiliki kelayakan ijazah sarjana muda atau lebih tinggi sering atau sangat sering menggunakan bahasa Melayu.
SINGLISH SEMAKIN DIANGGAP TERAS UTAMA IDENTITI RAKYAT SINGAPURA
Turut mendapat perhatian dalam dapatan tinjauan baharu tersebut ialah peningkatan jumlah penduduk Singapura yang menganggap Singlish sebagai salah satu teras utama identiti kebangsaan.
Hampir enam dalam 10 responden menyatakan bahawa Singlish memberikan rakyat Singapura satu identiti tersendiri.
Selain itu, hampir 58 peratus peserta melaporkan bahawa mereka boleh bertutur dalam Singlish dengan baik atau sangat baik, berbanding hampir 47 peratus pada 2013.
Golongan lebih muda, berkelayakan tinggi dan daripada kelas pertengahan didapati lebih cenderung untuk menyatakan bahawa mereka fasih bertutur dalam Singlish.
LEBIH RAMAI PENDUDUK SG SOKONG PERANAN PEMERINTAH PUPUK PENGUASAAN BAHASA INGGERIS & BAHASA IBUNDA
Terdapat peningkatan hampir tujuh peratus dalam tahap sokongan terhadap peranan pemerintah dalam menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Ibunda, daripada 53.5 peratus pada 2018 kepada 60.3 peratus pada 2024.
Dalam kalangan responden yang ditinjau pada 2024, golongan berusia 65 tahun ke atas mencatat peratusan tertinggi yang berpendapat bahawa pemerintah perlu memainkan peranan aktif dalam menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris serta bahasa ibunda.
Golongan tersebut merangkumi sebanyak 74.4 peratus responden.
Ini diikuti dengan kumpulan umur 51 hingga 65 tahun (66.7 peratus), 36 hingga 50 tahun (57.9 peratus) dan responden berusia18 hingga 36 tahun (48.8 peratus).
Mengulas lanjut mengenai inti pati dapatan tinjuan itu, para penulis kajian - yang terdiri daripada Dr Mathew Mathews, Dr Melvin Tay dan Dr Teo Kay Key - berkata:
"Bahasa Ibunda Singapura kekal dihargai, tetapi identiti kita semakin dicorakkan melalui bahasa Inggeris dan Singlish.
"Ini wajar diberi perhatian kerana bahasa bukan sahaja membentuk identiti peribadi, tetapi juga keterakaran budaya Singapura di Asia dan keupayaannya untuk mengemudi susunan global yang semakin dipertikaikan," jelas mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.