Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) bakal lantik ketua eksekutif baharu
Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) bakal mempunyai ketua eksekutif baharu apabila Encik Ang Wee Keong daripada Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) mengambil alih jawatan tersebut daripada Encik Teo Eng Dih.
Enck Ang Wee Keong (kiri) akan menggantikan Encik Teo Eng Dih (kanan) sebagai ketua eksekutif Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA). (Gambar: Kementerian Pengangkutan)
Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan media pada Selasa (29 Ap), Encik Ang yang kini merupakan Penolong Ketua Eksekutif (Antarabangsa) IMDA, akan dilantik sebagai Ketua Eksekutif (designate) mulai 1 Mei.
"Beliau akan melepaskan jawatannya di IMDA dan akan dilantik secara rasmi sebagai Ketua Eksekutif MPA mulai 16 Jun," tambah kenyataan itu.
Encik Ang juga akan menjadi anggota lembaga pengarah MPA, menggantikan Encik Teo.
MPA sebelum ini menjalani pertukaran ketua eksekutif pada 2022 apabila Encik Teo mengambil alih jawatan tersebut daripada Cik Quah Ley Hoon pada September tahun itu.
Mengenai pelantikan terbaharu itu, kementerian menyatakan bahawa semasa perkhidmatannya di IMDA, Encik Ang telah "memberikan sumbangan besar dalam memajukan kepentingan digital Singapura".
"Beliau telah mengukuhkan rangkaian kerjasama ekonomi digital Singapura dan memperluaskan kerjasama melalui platform seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN, Forum Negara-Negara Kecil dan Asia Tech x Singapore."
Beliau juga menerajui perumusan "dasar dan peraturan yang berpandangan jauh" dalam teknologi dan perkhidmatan digital bagi memacu pertumbuhan ekonomi digital Singapura, termasuk Akta Infrastruktur Digital yang bakal diperkenalkan untuk meningkatkan daya tahan dan keselamatan "infrastruktur digital sistemik yang penting", tambah kementerian itu.
Encik Teo, Ketua Eksekutif MPA ketika ini, akan dilantik sebagai timbalan setiausaha tugas khas di MOT mulai 16 Jun.
SUMBANGAN KEPADA MPA
MOT turut menyatakan bahawa sepanjang tempoh perkhidmatannya di MPA, Encik Teo memberikan "sumbangan besar" dalam membangunkan Pusat Maritim Antarabangsa Singapura dan ekosistem syarikat pemula PIER71.
Ekosistem syarikat pemula PIER71 menyokong syarikat teknologi maritim yang berpusat di Singapura dengan tujuan menarik pelaburan dan bakat, serta merangsang inovasi.
"Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, Pelabuhan Singapura mencatat rekod baharu dari segi ketibaan kapal, jumlah kontena yang dikendalikan, jualan bunker dan pendaftaran di bawah Pendaftaran Kapal Singapura."
Kementerian tersebut juga menambah bahawa pencapaian tersebut diraih di tengah-tengah "persekitaran operasi global yang kompleks, dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan teknologi yang menjejas aliran barangan dan bekalan di seluruh dunia."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.