Skip to main content

Singapura

Pengorbanan seorang kakak 22 tahun: Satunya-satunya pencari nafkah, 'ayah' kepada 6 adik

Nur Aqilah Selamat, 22 tahun, memikul tanggungjawab berat menyara kehidupan ibu dan enam adiknya yang berusia 9 sehingga 20 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengorbanan seorang kakak 22 tahun: Satunya-satunya pencari nafkah, 'ayah' kepada 6 adik

Cik Aqilah bersama adiknya, Nur Lutfiani, 9 tahun.

Diterbitkan : 05 Aug 2018 10:14PM Dikemas Kini : 05 Aug 2018 10:53PM

SINGAPURA: Pengorbanan kakak sulung ini tidak ada tolok bandingnya dan sangat besar serta istimewa sekali. Sejak sekitar setahun lalu, Nur Aqilah Selamat, 22 tahun, bertugas sebagai jurutera bersekutu di sebuah syarikat semikonduktor. Beliau memilih syif sembilan jam bermula 10.45 malam kerana ia menawarkan bayaran tambahan yang bermakna lebih banyak wang bagi perbelanjaan keluarganya.

Aqilah memikul tanggungjawab berat menyara kehidupan ibu dan enam adiknya yang berusia 9 sehingga 20 tahun. "Sebagai anak sulung, ini adalah tanggungjawab saya. Saya juga sayang adik-adik saya," kata beliau.

"Dalam apa pun yang saya lakukan, saya selalu memikirkan tentang mereka ... Saya tidak peduli sangat mengenai diri saya sendiri buat masa sekarang. Saya mahu melakukan yang terbaik untuk mereka, sepertimana ayah lakukan bagi diri saya," tambah Aqilah.

Apabila ayahnya bersara sebagai anggota bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura(SCDF) pada 2014, Aqilah yang ketika itu baru mula menuntut di politeknik memutuskan untuk membantu menanggung perbelanjaan keluarga.

Beliau menjadi pencari nafkah keluarganya, meskipun terpaksa menangguhkan cita-citanya.

Meskipun, ayahnya menerima wang pencen berjumlah sekitar S$70,000, beliau sedar pentingnya membuat perancangan kewangan bagi masa depan keluarganya.

"Jika anda hanya ada seorang anak, ia bukan satu masalah. Tetapi, perbelanjaan bagi kami bertujuh? Ia tidak mencukupi," kata Aqilah.

Mujur, beliau tidak perlu bimbangkan tentang perbelanjaan sekolah bagi adik-adiknya. Ini memandangkan duit yuran, baju sekolah dan buku teks semuanya dibiayai penuh di bawah Skim Bantuan Kewangan Kementerian Pendidikan.

Walau bagaimanapun, tanpa pendapatan yang tetap, mereka perlu mencari jalan untuk mengurangkan bil api air dan perbelanjaan keluarga supaya tidak melebihi S$500 sebulan.

Pada 2017, selepas menggenggam diploma dalam jurusan jurutera aeroangkasa dari Polieknik Nanyang, Aqilah membuat permohonan untuk melanjutkan pengajian di universiti-universiti tempatan. Semasa menunggu jawapan bagi permohonanannya itu, beliau cuba mendapatkan kerja untuk "menabung sedikit bagi universiti". Beliau mendapat kerja di sebuah syarikat semikonduktor dan pada mulanya menjangkakan untuk bekerja tidak lebih enam bulan.

Related article image
Cik Aqilah di tempat kerja.

Namun, apabila satu demi satu permohonannya ke universiti ditolak, Aqilah sedar beliau terpaksa menangguhkan dulu hasratnya itu dan sebaliknya perhatian kepada usaha mendapatkan pekerjaan sepenuh masa.

Ayah beliau juga membuat keputusan untuk mendapatkan latihan di luar negara selepas bersara dari SCDF. Maka itu, Aqilah turut mengambil peranan 'ayah' dalam keluarganya. Ini termasuk bertanggungjawab ke atas disiplin adik-adiknya, dan memarahi mereka jika perlu, seperti apabila mereka lambat pulang dari sekolah.

Pada masa yang sama, Aqilah juga menghadiri sesi bertemu guru memandangkan Cik Aktar Banu Mohamed Osman, 54 tahun, tidak berpendidikan tinggi dan bergantung kepada anak sulungnya itu untuk memahami perkembangan anak-anaknya di sekolah.

Cik Aqilah juga menguruskan kesemua hal kewangan di rumah yang lazimnya adalah tanggungjawab ibu bapa.

BANTUAN RINGANKAN KOS PERBELANJAAN KELUARGA

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Meskipun begitu, beban keluarga beliau diringankan dengan adanya bantuan yang diterima.

Perbelanjaan sekolah kelima-lima adiknya, seperti yuran bulanan, buku-buku teks dan baju sekolah, dibiayai di Skim Bantuan Kewangan (FAS) MOE.

Mereka mula menerima bantuan pada 2013 dengan pendapatan bulanan ayah mereka sebanyak S$4,000 melayakkan keluarganya dibantu mengikut kriteria per kapita yang diperkenalkan pada 2012 bagi membantu kumpulan keluarga besar meraih manfaat. (Kini, kelayakan adalah berdasarkan sama ada pendapatan kasar keluarga sebanyak S$2,750 ataupun kurang setiap bulan, atau pendapatan per kapita sebanyak S$690 atau kurang.)

Di bawah Program Makanan Sekolah, pula adik kembar Aqilah yang masih di sekolah rendah menerima subsidi S$2 bagi setiap makanan untuk tujuh kali, setiap minggu. Mereka di sekolah menengah mendapat S$2.50 bagi setiap makanan sebanyak 10 kali. Di bawah FAS juga adik beradik itu mendapat subsidi pengangkutan.

Bagi Aqilah sendiri, apabila beliau menuntut di politeknik pada 2014, yuran tuisyen tahunannya sekitar S$2,400 dibiayai di bawah Skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) MENDAKI. Aqilah juga menerima dermasiswa berjumlah S$3,000 setiap tahun dari Program Pembangunan Masa Depan OrangeAid, NTUC Income sepanjang dua tahun terakhir pendidikannya.

Bantuan kewangan yang diterima bagaimanapun tidak disia-siakan keluarga itu. Sejak kecil, mereka memupuk tabiat menabung sebahagian kecil wang saku mingguan dengan setiap daripada mereka mempunyai sekurang-kurangnya satu tabung pelbagai saiz.

ASPIRASI SEBAGAI SEORANG GURU?

Meski sibuk dengan tugas sepenuh masanya dan tanggungjawab terhadap keluarga beliau, Aqilah tidak pernah lupa akan cita-cita menjadi guru. Beliau sekali lagi menghantar permohonan ke universiti dan berharap dapat menjadikan hasratnya itu, satu kenyataan.

Related article image
Nur Aqilah Selamat.

Sememangnya, kerjaya sebagai seorang guru adalah cinta pertama Aqilah. Racangan asalnya ialah untuk melanjutkan pengajian ke maktab rendah dan kemudian ke Institut Pendidikan Nasional (NIE). Namun, keputusan peperiksaannya tidak cukup untuk melayakkan beliau ke maktab rendah. Apabila diterima masuk ke politeknik, meskipun beliau boleh mendaftar dengan NIE berbekalkan segulung diploma, Aqilah membuat keputusan untuk memilih bidang kejuruteraan kerana subjek kekuatannya adalah matematik.

Di rumah, beliau meluangkan masa untuk mengajar adik-adiknya. Namun, seperti guru-guru lain, beliau pastikan bahawa mereka juga belajar berdikari. "Tidak bagus untuk memberikan semua jawapan," kata Aqilah. "Mereka semua duduk peperiksaan masing-masing. Semasa peperiksaan, anda tidak ditemani ibu bapa."

Matlamat Aqilah adalah untuk melihat adik-adiknya berjaya dan cemerlang di sekolah dan dalam kehidupan.

Sumber : CNA/HS/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita