Skip to main content

Singapura

"Pengorbanan kita sejauh ini dikenang": Barisan hadapan terharu diberi penghormatan dalam NDP2020

Seawal jam 8.00 pagi tadi (9 Ogos), Dr Norhisham Main, seorang Konsultan Kanan Perubatan Geriatrik dan Paliatif di Hospital Ng Teng Fong, sudah siap dalam seragam kerjanya - namun, bukan untuk langsung bertugas di barisan hadapan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seawal jam 8.00 pagi tadi (9 Ogos), Dr Norhisham Main, seorang Konsultan Kanan Perubatan Geriatrik dan Paliatif di Hospital Ng Teng Fong, sudah siap dalam seragam kerjanya - namun, bukan untuk langsung bertugas di barisan hadapan.

Dr Norhisham sebaliknya berjalan ke luar pekarangan hospital bersama sekitar 20 kakitangan yang lain, menuju ke padang berdekatan Blk 285C Toh Guan Road.

Semuanya bersemangat untuk melihat dari dekat aksi pasukan payung terjun Red Lions - hanya kurang 500 meter dari tempat kerja mereka!

Dengan bendera dalam tangan, Dr Norhisham dan rakan-rakan bersorak melihat aksi Red Lions pada jarak begitu dekat. Satu tempat dikhususkan buat mereka di padang yang terletak di Jurong itu. 

"Kita rasa istimewa kerana kita mendapat peluang seperti ini di mana Red Lions beraksi begitu dekat sekali dengan kami. Kami juga rasa pengorbanan dan kerja-kerja kami sejauh ini dikenang. Kami rasa amat bangga," luah Dr Norhisham.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini tidak sahaja meraikan kemerdekaan Singapura sejak 1965, tetapi juga memberi penghormatan kepada mereka yang berkorban masa dan tenaga tatkala Singapura berdepan dengan krisis besar.

NDP BOLEH DIRAIKAN "TANPA ADA HALANGAN"

Kehadiran Red Lions yang mendarat kurang 15 meter di depan mata sudah cukup memukau bagi Dr Norhisham dan teman-temannya.

Bayangkan pula apabila Red Lions selanjutnya memberi tabik hormat sejurus mendarat.

Bagi penduduk Jurong, keghairahan itu pasti membangkitkan lagi semangat menyambut Hari Kebangsaan ke-55 Singapura di tengah-tengah masa yang mencabar ini.

"Biarpun dalam keadaan COVID-19 ini, kita masih dapat meraikan Hari Kebangsaan sebagaimana pada tahun-tahun lepas. Tanpa ada halangan. Cabarannya cuma satu, perlu jaga jarak sosial," kata Dr Norhisham.

Mengimbas saat pandemik COVID-19 baru-baru melanda Singapura, beliau menceritakan sememangnya tuntutan kerja menjadi semakin berat dengan perlunya tugas hariannya harus tetap dijalankan.

"Pernah saya perlu bekerja buat tujuh hari berturut-turut."

Bagaimanapun, tambah Dr Norhisham, keadaan semakin baik sekarang ini kerana kakitangan hospital sudah terbiasa dengan "norma baru".

Sempena Hari Kebangsaan, ini Dr Norhisham berkongsi harapan beliau:

"Saya berdoa agar wabak ini akan berakhir secepat mungkin dan saya rasa kalau semua warga Singapura bersatu hati, kita boleh menangani COVID-19 ini. Sementara kita menunggu wabak ini berakhir, kita cuba sedaya upaya untuk meningkatkan ekonomi kita yang sedang sekarang tidak elok." 

PERARAKAN KENDERAAN 'SINGGAH' KE HOSPITAL NG TENG FONG

Pada sekitar 11.00 pagi pula, sekumpulan kakitangan Hospital Ng Teng Fong berkumpul di hadapan Bangunan A hospital untuk menyaksikan Perarakan Kenderaan NDP.

Dengan perarakan kenderaan 'singgah' ke depan pintu tempat kerja mereka, ramai jururawat, doktor dan kakitangan lain, dapat mengambil kesempatan untuk merasakan kemeriahan sempena 9 Ogos.

Salah seorang daripada mereka adalah Muhammad Amin Ahmad Basri, seorang jururawat staf kanan Hospital Besar Ng Teng Fong.

"Sejujurnya saya tidak pernah dan ini kali pertama saya menonton Perarakan Kenderaan NDP secara dekat. Saya amat teruja," ujar Encik Amin.

Beliau bahkan terpilih untuk mewakili pihak hospital untuk menerima plak dari kumpulan seragam pelajar - terdiri daripada sekolah Anglo-Chinese (bebas), Politeknik Ngee Ann dan persatuan Pandu Puteri Singapura.

"Dengan penghargaan ini, saya rasa amat terharu dan kami sangat berterima kasih dapat sokongan dari masyarakat awam. Saya di sini bukan buat diri saya sahaja tetapi bagi semua pekerja barisan hadapan. Penghormatan itu bagi kita semua."

Sebaik sahaja Perarakan Kenderaan berakhir pada 11.50 pagi, Encik Amin dilihat berjalan masuk ke dalam hospital lagi.

"Selepas ini saya kembali bertugas," katanya.

SEPERTI APA PENGHORMATAN BAGI PEKERJA BARISAN HADAPAN?

NDP tahun ini banyak menumpukan penghargaan kepada wira-wira barisan hadapan.

Aksi payung terjun diadakan di dua kawasan kejiranan dan begitu dekat dengan sebuah hospital. Dua kawasan yang dimaksudkan adalah Sengkang dan Jurong.

Dalam segmen Perarakan Kenderaan pula, sekitar 100 pejuang barisan hadapan dan pekerja khidmat penting diajak menyertai pasukan pertahanan Singapura di dalam aset masing-masing.

Perarakan Kenderaan dilakukan di lima kawasan utama dan meliputi sekitar 200 kilometer kesemuanya - jarak perjalanan paling jauh dalam acara NDP sejauh ini.

Selain 'singgah' dan memberikan tabik hormat kepada kakitangan Hospital Besar Ng Teng Fong, kumpulan bagi laluan lain juga singgah seketika di Hospital Besar Sengkang, Hospital Khoo Teck Puat dan juga Singapore EXPO.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita