Skip to main content

Singapura

Pengorbanan dan sumbangan luar biasa dua ibu ini diiktiraf Anugerah Ibu Teladan dan Ibu Muda Teladan Jamiyah 2025

Bagi ibu tunggal Zarina Jaffar, perjalanan membesarkan tiga anaknya penuh dugaan, mentelah lagi selepas suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengorbanan dan sumbangan luar biasa dua ibu ini diiktiraf Anugerah Ibu Teladan dan Ibu Muda Teladan Jamiyah 2025

Cik Zarina Jaffar (kiri) dan Cik Radhiyah Mohamad Aris. (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Bagi ibu tunggal Zarina Jaffar, perjalanan membesarkan tiga anaknya penuh dugaan, mentelah lagi selepas suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Anak keduanya pernah terjerumus dalam kancah salah laku, namun dengan ketegasan dan kasih sayang, beliau berjaya membimbing anaknya sehingga kini menjadi seorang guru.

Daripada pengalaman itu lahirlah iltizam untuk membantu keluarga lain.

Pada tahun 2012, Cik Zarina menubuhkan kumpulan sukarelawan 3R Recycle, Sharing Is Caring – sebuah inisiatif yang pada mulanya dimulakan di wadah Facebook untuk mengedarkan barangan terpakai yang masih baik agar tidak terbuang.

Selepas 13 tahun, 3R berkembang menjadi jaringan bantuan masyarakat yang luas dengan 32,000 ahli di akaun Facebooknya.

“3R Recycle, Sharing Is Caring telah berfungsi selama 13 tahun. Selama itu, berbagai-bagai keluarga dari latar belakang berbeza telah kami bantu,” kata Cik Zarina.

Sumbangan mereka meliputi bantuan kewangan, barangan makanan serta baucar.

“Setiap keluarga mempunyai keperluan yang berbeza. Banyak keluarga yang telah kami bantu," ujar Cik Zarina.

"Di bulan Ramadan dan hujung tahun misalnya, kami akan agihkan keperluan sesuai waktu itu dengan tajaan daripada ahli-ahli lain,” tambahnya lagi.

Atas sumbangannya inilah, beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ibu Teladan Jamiyah 2025 di majlis penyampaian anugerah yang berlangsung pada 30 Ogos lalu.

Selaras dengan tema tahun ini, "Luminary of Mothers”, anugerah tersebut memberi pengiktirafan kepada individu yang bukan sahaja berjaya mengharungi cabaran kehidupan tetapi melangkah setapak lagi dengan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan dalam masyarakat.

Cik Zarina dipilih daripada lima finalis untuk kategori tersebut.

"Semuanya hebat-hebat belaka dan mereka semua ada, kata orang cabaran- cabaran tersendiri. Jadi apa yang saya dapat ini betul-betul adalah anugerah yang saya amat hargai." kata Cik Zarina.

"Walaupun dengan cabaran anak-anak, tetapi saya rasa mudah dibandingkan dengan keluarga-keluarga yang mempunyai cabaran yang lebih berat, " katanya lagi.

BESARKAN 5 ANAK, ASUH BUDAK 3 TAHUN YANG TIADA TEMPAT PERLINDUNGAN

Kisah Cik Radhiyah Mohamad Aris, pula bermula di sebuah wad hospital, ketika anak lelaki keduanya kerap dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK(KKH).

“Setahun lalu, ketika anak lelaki kedua saya kerap dimasukkan ke wad di KKH, saya dan suami menemui seorang anak kecil berusia 3 tahun lebih yang ditempatkan di katil bertentangan," kata Cik Radhiyah.

"Kami kemudian mengetahui bahawa disebabkan situasi sulit yang dihadapi ibu bapanya, hak penjagaan mereka ditarik,” jelasnya lagi.

Kanak-kanak itu telah tinggal hampir setahun di hospital sebagai tempat perlindungan.

Sepanjang tempoh itu, keluarga Cik Radhiyah sering melawat, bermain, dan membelikan permainan kecil untuknya.

Walaupun pada mulanya tidak berniat menjadi pengasuh, permintaan bapa kanak-kanak itu mengubah takdir hidup mereka.

“Pada ketika itu, anak saya rebah dan perlu diberi CPR selama 27 minit. Alhamdulillah, dia berjaya diselamatkan dan perlahan-lahan pulih di rumah. Semasa tempoh pemulihan itu, kami menerima berita bahawa kami telah diluluskan sebagai penjaga utamanya,” jelas Cik Radhiyah.

Kini, mereka diberi hak penjagaan oleh mahkamah sehingga salah seorang ibu bapanya dianggap berupaya untuk menjaga anak mereka.

Kisah keluarga kanak-kanak itu membakar semangat Cik Radhiyah untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

Beliau kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang kaunseling dengan harapan dapat membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

Kisah pengorbanan ini menjadikan Cik Radhiyah penerima Anugerah Ibu Muda Teladan 2025, yang mengiktiraf keberanian ibu muda di bawah usia 40 tahun, menongkah cabaran besar demi kebajikan anak-anak dan masyarakat.

"Saya rasa anugerah ini adalah suatu penghargaan kepada bukan saja saya tetapi kepada ibu-ibu di luar sana yang berjuang," kata Cik Radhiyah yang merupakan ibu kepada lima orang anak.

Selain plak, pemenang Ibu Teladan Jamiyah menerima wang tunai $6,000 sementara pemenang Ibu Muda Teladan menerima wang tunai $2,000.
Sumber : BERITA Mediacorp/NF/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita