Skip to main content

Singapura

Pengorbanan berbalas kejayaan, dua lulusan ITE diiktiraf pingat emas kecemerlangan

Anggaran Waktu Membaca:
Pengorbanan berbalas kejayaan, dua lulusan ITE diiktiraf pingat emas kecemerlangan

Afiq Anaqi Ramlan (kiri) dan Muhammad Hafiz Abdul Rahman (kanan) menerima anugerah unggul dalam majlis tamat pengajian ITE (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)

Diterbitkan : 22 Jul 2026 09:22PM Dikemas Kini : 02 Aug 2026 12:44PM

SINGAPURA: Jarak bukan penghambat minat.

Itulah yang dicerminkan Afiq Anaqi Ramlan yang sanggup ke ITE Kolej Barat semata-mata untuk mengikuti kursus Pastri dan Membuat Kek walaupun beliau menetap di daerah Timur Singapura.

"Saya betul-betul berminat pastri semasa saya di sekolah menengah semasa subjek Pendidikan Makanan dan Pengguna (FCE).

Selain itu, arwah nenek saya ajar membuat kuih-muih turun-temurun. Jadi daripada situ, minat saya betul-betul telah dipupuk," kongsi beliau bersama wartawan Athirah Karim.

BELAJAR SAMBIL MENYUMBANG KEPADA MASYARAKAT

Selain mengimbangi masa antara sekolah dan kerja sambilannya, Afiq juga aktif dalam aktiviti-aktiviti ko-kurikular.

Antaranya, beliau mengetuai kumpulannya dalam Pertandingan 'Makan Power Snacks' NKF-ITE pada 2024 di mana beliau dan kumpulannya mereka kotak-kotak snek rendah sodium bagi pesakit lanjut usia. Afiq berjaya memimpin kumpulannya untuk meraih tempat pertama.

Related article image
Afiq memimpin kumpulannya kepada kejayaan dengan kotak snek yang mengandungi sajian ini (Gambar: ITE Kolej Barat)

Afiq juga pernah mengambil bahagian dalam sebuah projek perkhidmatan masyarakat di Vietnam, di mana beliau mengajar kanak-kanak di sana kemahiran memasak.

Walau sibuk menyumbang kembali kepada masyarakat, pelajarannya tidak diketepikan.

Afiq kekal komited dalam pengajiannya dan berjaya meraih GPA penuh 4.0.

Usaha Afiq diiktiraf dengan dianugerahkan Pingat Emas Tay Eng Soon dalam majlis tamat pengajian Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada Rabu (22 Julai).

Beliau di antara 21 lulusan terbaik yang diiktiraf dengan anugerah unggul dalam majlis tersebut.

KEMBALI KE BANGKU SEKOLAH DEMI MENINGKATKAN KEMAHIRAN DI TEMPAT KERJA

Seorang lagi penerima anugerah unggul tersebut ialah Muhammad Hafiz Abdul Rahman.

Beliau mengikuti program diploma bekerja sambil belajar (WSDip) dalam sistem Pengangkutan Menegak setelah majikannya menggalakkannya untuk mengikuti program tersebut.

Keputusan untuk mengikuti program tersebut juga, menurutnya, oleh sebab perkembangan industri yang pesat.

"Industri ini sentiasa berkembang (dengan) teknologi baru dan pemodenan dan peraturan kini akan meningkat. Saya harus meningkatkan diri saya dengan ilmu-ilmu di Pengangkutan Menegak supaya saya boleh menggunakannya untuk kerja harian saya," kata beliau.

Related article image
Hafiz dan rakan-rakan sekursus (Gambar: Muhammad Hafiz Abdul Rahman)
Berkat ilmu pengetahuan yang diraih daripada WSDip, beliau yang bermula sebagai juruteknik di Otis Elevator Singapore kini dinaikkan pangkat kepada Jurutera Perkhidmatan yang membimbing sekumpulan juruteknik.
Related article image
Kini, Hafiz memimpin sekumpulan juruteknik (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
"Program ini memberi saya pemahaman yang mendalam terhadap sistem lif, peraturan BCA serta piawaian industri. Ia telah meningkatkan keyakinan saya apabila saya perlu menerangkan perkara teknikal dan keselamatan kepada pelanggan dan rakan sekerja," ujar beliau.

PENGORBANAN SEORANG BAPA DALAM MELANJUTKAN PELAJARAN

Masa yang diimbangi Hafiz bukan sahaja antara kerja dan sekolah. Malah, beliau juga perlu mengimbangi masa tersebut dengan keluarganya.

Bapa seorang anak ini akur sukar baginya mengimbangi masa antara sekolah, kerja dan keluarga.
Related article image
Hafiz bersama keluarganya (Gambar: Muhammad Hafiz Abdul Rahman)
Walau harus bangun seawal 4 pagi untuk mengulangkaji pelajaran sebelum ke kerja, beliau tetap meneruskan perjuangannya dengan sokongan keluarga.

"Ada masanya saya harus mengurangkan waktu rehat saya untuk menyelesaikan tugasan kerja atau untuk membuat persiapan peperiksaan. Ini amat mencabar tetapi isteri saya memberi kata-kata perangsang dan menyokong sepanjang perjalanan ini," ungkap Hafiz lagi.

Hasil kegigihannya, beliau berjaya merangkul Pingat Emas Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura.

Hampir 11,000 penuntut Institut Pendidikan Teknikal (ITE) menamatkan pengajian tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, lebih 500 lulusan menerima Diploma dengan Merit atau Sijil dengan Merit, manakala lebih 200 lulusan menerima Pingat Kursus.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita