Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penglibatan warga emas dalam pembangunan negara, skim cuti ibu bapa dibincang dalam sesi dialog pasca NDR

Anggaran Waktu Membaca:
Penglibatan warga emas dalam pembangunan negara, skim cuti ibu bapa dibincang dalam sesi dialog pasca NDR

(Gambar: Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA MESRA))

SINGAPURA: Penuaan aktif dan skim cuti ibu bapa merupakan antara isu yang diketengahkan dalam sesi Dialog Pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) yang diadakan pada Khamis (12 Sep).

Dialog anjuran Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA MESRA) itu menyediakan platform untuk para pemimpin masyarakat untuk membincangkan dan berkongsi pandangan tentang NDR tahun ini.

Sesi dialog itu turut disertai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, serta Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.

MEMPERKASA WARGA EMAS DALAM EKOSISTEM SG

Dalam ucaptama sulung Perdana Menteri Wong bagi NDR yang disampaikan 18 Ogos lalu, beliau menggariskan beberapa dasar bagi fasa pembangunan negara yang selanjutnya.

Dalam usaha pembangunan negara, para pemimpin masyarakat yang hadir di sesi dialog tersebut rata-rata berharap golongan warga senja dapat diberikan lebih banyak peluang untuk memainkan peranan dan sama-sama menyumbang kepada usaha itu.

"Aspek (penuaan) yang diutarakan bukan saja cabaran tapi bagaimana mereka boleh menyumbang dalam pembangunan Singapura, bagaimana mereka boleh memperkasakan diri mereka dan ini satu aspek yang saya rasa amat baik di mana ini menunjukkan minda masyarakat kita telah berubah. Minda sangat membangun dan positif," kata Dr Faishal.

Ini juga kata beliau dapat mengukuhkan lagi kompak sosial di negara ini.

"Saya rasa gembira kerana dengan adanya pendekatan tentang kompak sosial yang kita lakarkan dan bincangkan dalam Melakar Hala Tuju SG, ia dapat dilihat pada malam ini di mana, ahli-ahli masyarakat kita sama-sama memikirkan tentang masa hadapan Singapura.

"Apakah yang harus kita lakarkan untuk menyediakan landskap, keupayaan, kemahiran warga kita bersama, supaya jika kita kekal relevan, kita boleh membangunkan diri kita, negara kita dan memperkasakan diri masing-masing supaya kita boleh mengambil peluang menyumbang kepada masyarakat," kongsi Dr Faishal kepada wartawan Nurfazirah Azman.

Beliau yakin masyarakat Melayu/Islam boleh memainkan peranan dan menyumbang kepada pembangunan Singapura dalam era yang baharu.

PESERTA RAIH MANFAAT DARIPADA DIALOG

Platform sebegini juga dialu-alukan para pemimpin masyarakat untuk memahami dasar-dasar yang diumumkan sewaktu NDR dengan lebih mendalam.

Antaranya ialah Anggota Jawatankuasa Akar Umbi East Coast dan Bendahari MAEC Bedok, Mohammad Shiddiq Johar.

"Acara ini penting untuk rakyat mendapat maklumat dan dasar-dasar yang tepat. Jadi, masyarakat akan dapat bantuan daripada pemerintah dan pemerintah juga boleh membantu mereka yang memerlukan. Acara ini banyak memberi kita pengetahuan yang lebih terperinci," kata Encik Shiddiq.

Ini termasuk tentang skim cuti ibu bapa dikongsi yang diumumkan di NDR tahun ini.

A
Bagi anggota MAEC Kampung Chai Chee, Nada Hanisa Abdul Samad pula, beliau mahu berkongsi ilmu yang diraih menerusi sesi itu kepada para penduduk di kawasan Kampung Chai Chee.

"Kita adalah seperti perantaraan antara masyarakat dan pemerintah. Jadi platform seperti ini amat berguna kerana sebagai pemimpin masyarakat kita dapat mendengar masalah atau isu-isu yang menjadi keprihatinan masyarakat," kata Cik Nada.

"Jadi melewati platform seperti ini, saya rasa kita dapat menjalinkan pengetahuan antara pemerintah dengan masyarakat dan ini dapat kita imbangkan atau dapat kita mungkin selesaikan atau cari jalan untuk menyelesaikan (masalah itu)," tambahnya.

Selain meraih pemahaman yang lebih mendalam, beliau juga dapat menyuarakan antara keprihatinan beliau.

"Tahun ini saya lihat di NDR tidak ada topik tentang warga emas dan saya bagi saya ia satu kebimbangan kerana warga emas akan sentiasa ada di Singapura dan seharusnya juga diberi pertimbangan untuk mereka kerana ramai warga emas yang masih dari bahagian fizik atau mental, mereka masih kuat dan saya yakin mereka masih boleh menyumbang kepada
Singapura," kata Cik Nada.

Sebelum ini, sebuah sesi dialog bersama peserta belia diadakan pada 8 September lalu di Kelab Masyarakat Siglap.
Acara yang diadakan di Wisma Geylang Serai (WGS) itu dihadiri lebih 200 peserta yang tergolong dari para anggota Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), M³ dan wakil-wakil dari pertubuhan Melayu/Islam.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan