Penglibatan lebih banyak pihak boleh wujudkan rangkaian lebih padat bagi pembangunan masyarakat: Faishal
Dr Faishal Ibrahim giat mendampingi masyarakat sejak menyandang jawatan selaku Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Beliau amat mengalu-alukan acara itu dan berharap ia dapat diteruskan.
"Pandangan saya, (acara ini) bagus. Kalau ia diadakan sebulan sekali juga kirakan puas hati. Kita boleh berkumpul beramai-ramai dan boleh berkenalan antara satu sama lain. Jika tidak, bagaimana ingin berkenalan? Dalam kumpulan lain juga kita boleh berkenal-kenalan," kongsi beliau kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Bagi acara itu, para peserta dibahagikan kepada 16 pasukan dan memulakan perjalanan mereka di Anjung@WGS.
SINGAPURA: Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim mahu melibatkan lebih banyak pihak dalam pembangunan masyarakat Melayu/Islam di Singapura.
Ini menurutnya antara usaha bagi membangunkan rangkaian yang lebih padat dan berkesan lagi di Singapura.
"Walaupun negara ataupun dunia ini bergolak dengan cabaran ataupun aspek-aspek yang mungkin mencabar bagi kehidupan kita tetapi kita mahu terus membangun dan menuju ke arah kestabilan dan juga bagaimana kita boleh memberikan ruang kepada setiap warga kita termasuk masyarakat Melayu/Islam untuk kita mendengar tentang aspirasi, pandangan dan juga bagaimana mereka boleh memainkan peranan," kongsi Dr Faishal kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Saya mahu melibatkan Anggota-Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam daripada pemerintah dengan lebih mendalam dalam kerja-kerja kemasyarakatan mereka. Bagaimana kita sama-sama secara kumpulan boleh mendekati lebih banyak kumpulan rasmi dan tidak rasmi termasuk badan-badan Melayu/Islam (MMO) supaya kita boleh terus membangunkan bukan sahaja wadah tetapi rangkaian yang lebih ketat dan lebih berkesan supaya kita boleh melayari kehidupan kita di Singapura ini dengan lebih baik," tambahnya.
Antara badan tidak rasmi yang beliau maksudkan ialah seperti kumpulan Temasek Goat Rider yang sama-sama menganjurkan acara 'Cyclation 2025: Jom Berbasikal!' dengan Wisma Geylang Serai (WGS).
Acara berbasikal itu yang dilancarkan Dr Faishal pada pagi Ahad (25 Mei).
BEKERJASAMA, PERKUKUH RANGKAIAN DENGAN KUMPULAN TIDAK RASMI
"Dalam era pembangunan yang sangat mencabar, lebih-lebih lagi dengan kepelbagaian yang ada di negara kita dan di merata dunia, kita mahukan lebih ramai yang tampil ke hadapan dan kita juga memberi ruang kepada mereka untuk berkongsi pandangan dan aspirasi mereka, serta bagaimana kita boleh terus membentuk satu masyarakat Melayu/Islam yang gemilang dan juga memberikan satu perasaan di mana 'stake' atau kepentingan setiap ahli masyarakat kita bukan sahaja dapat dirasakan tetapi dapat memberikan ruang di mana (mereka) ada peranan dalam pembangunan masyarakat kita," ujar Dr Faishal.
"Justeru, saya akan bekerjasama dengan institusi-institusi seperti M³, MMO di Singapura dan kumpulan-kumpulan 'informal' atau tidak rasmi seperti pagi ini (Temasek Goat Rider) untuk memberi ruang kepada mereka dan badan-badan kita bekerjasama dan melihat matlamat ini sebagai matlamat kita bersama, di mana kita mahukan yang terbaik bagi negara kita dan untuk negara kita terus maju," tambahnya.
60 ACARA AKAN DIANJURKAN UNTUK SG60 BERSAMA
Cyclation 2025 merupakan antara 60 acara yang akan dianjurkan di bawah usaha 'SG60 Bersama'.
Melangkah ke hadapan, beliau berharap untuk menyediakan lebih banyak platform sebegini untuk kumpulan-kumpulan rasmi dan tidak rasmi untuk bekerjasama dengan menganjurkan dan meraikan 60 tahun pembangunan negara.
"Kita mahu memberikan ruang sebanyak boleh kepada masyarakat kita dan juga masyarakat Singapura untuk bukan saja meraikan 'SG60 Bersama' tetapi melihat bagaimana kita boleh mengadakan satu pendekatan untuk mengimbas kembali dan memikirkan bagaimana kita telah melayari pembangunan Singapura bersama, dalam konteks di mana negara kecil seperti Singapura yang mempunyai kepelbagaian dari segi cara kehidupan, budaya dan bangsa boleh mencapai kejayaan seperti ini," menurut Dr Faishal.
90 PESERTA SERTAI ACARA CYCLATION 2025
Acara berbasikal 15 kilometer itu menghubungkan tempat-tempat bersejarah di Geylang Serai dengan penghubung taman Marine Parade dan East Coast.
Ia berjaya menarik 90 peserta termasuk Cik Murni Jasni, 44 tahun, yang juga merupakan anggota Temasek Goat Riders.
"Temasek Goat Rider memilih untuk berkolaborasi dengan Wisma Geylang Serai untuk acara ini kerana kita ingin berkongsi cinta kita untuk 'berbasikal'. Jadi kami sudah berbasikal bersama sebagai satu pasukan dan keluarga agak lama. Jadi kita ingin berkongsi cinta kepada berbasikal ini untuk masyarakat sebagai cara untuk memberi kembali kepada masyarakat," kongsi Cik Murni kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Menurut kumpulan itu, mereka membantu untuk merancang laluan bagi acara itu.
PESERTA PALING TUA 75 TAHUN
Dengan tamatnya program itu tadi, Cik Murni melahirkan rasa gembira melihat kejayaannya dengan kesemua peserta berjaya mengayuh bagi 15 kilometer itu dengan selamat.
"Dalam pasukan saya, yang paling tua, kita mempunyai seorang pakcik berusia 75 tahun dan dia masih kuat dan berbasikal dengan kita. Yang paling muda berusia 12 tahun. Jadi berbasikal ini untuk semua orang, mahupun yang muda atau yang tua," ujar Cik Murni.
Peserta paling berusia yang dimaksudkan ialah Encik Tengku Mahmood, 75 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.