Pengimport didenda kerana import secara haram 250kg sayuran segar
Sebuah syarikat pengimport didenda S$3,500 kerana mengimport secara haram sayur-sayuran segar untuk dijual, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Jumaat (28 Mei).
(Gambar: SFA)
SINGAPURA: Sebuah syarikat pengimport didenda S$3,500 kerana mengimport secara haram sayur-sayuran segar untuk dijual, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Jumaat (28 Mei).
Pada Ogos tahun lalu, para pegawai SFA menemui 250 kilogram sayur bayam yang tidak diisytiharkan dalam muatan yang diimport dari Malaysia oleh Pang Hoi, pemegang lesen Pang Hoi Vegetables and Fruits Traders.
Kesemua muatan yang dibawa masuk secara haram dirampas.
"Di Singapura, import makanan mesti memenuhi peraturan SFA," menurut agensi itu.
"Makanan hanya boleh diimport oleh pengimport berlesen dan setiap muatan mesti diisytiharkan dan disertai permit import yang sah."
Sayur-sayuran yang diimport secara haram tidak diketahui sumbernya dan boleh menimbulkan risiko keselamatan makanan, kerana ia mungkin mengandungi racun perosak pada kadar tinggi atau tidak terkawal.
"Pengambilan sisa racun perosak untuk jangka masa panjang menerusi pemakanan sayur-sayuran yang dibubuh racun perosak boleh menyebabkan kesan buruk pada kesihatan," menurut SFA.
Sesiapa yang didapat mengimport buah-buahan dan sayur-sayuran segar secara haram boleh didenda sehingga S$10,000, dihukum penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.