Skip to main content

Singapura

Pengilangan makanan SG tidak berdaya saing ikut jumlah & harga, namun nilai tambah, pekerjaan meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
Pengilangan makanan SG tidak berdaya saing ikut jumlah & harga, namun nilai tambah, pekerjaan meningkat

Kulit popiah sejuk beku Tee Yih Jia serta coklat dan salutan koko Barry Callebaut dihasilkan di Singapura. (Gambar: CNA, Facebook/Barry Callebaut)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 30 Apr 2026 08:06AM Dikemas Kini : 30 Apr 2026 08:30AM
SINGAPURA: Bagi pengeluar makanan sejuk beku Tee Yih Jia, pembuatan kulit popiah dan roti prata di Singapura bukan sahaja lambang kebanggaan, tetapi ia juga sebahagian daripada strategi perniagaan.

Selama bertahun-tahun, syarikat tempatan di sebalik jenama Spring Home itu sudah memindahkan sebahagian besar proses pengeluaran yang banyak menggunakan tenaga buruh ke kilang-kilang di China dan Malaysia, di mana struktur kos lebih bersaing dan sesuai untuk pengilangan berskala besar, kata pengurus amnya Laureen Goi kepada Mediacorp.

Namun syarikat tersebut tetap mengekalkan sebahagian pengilangan di Singapura atas sebab strategik - termasuk nilai jenama negara, akses kepada pasaran luar serta sekitaran kawal selia yang stabil.

Alasan-alasan inilah yang mendorong pengeluar makanan menambah pekerjaan berkemahiran tinggi di Singapura walaupun talian pengiangan beralih ke rantau ini, menurut para pemain industri.

Fenomena ini berlaku ketika beberapa nama jenama runcit terkenal mengalami perubahan ketara baru-baru ini.

Pada Mac lalu, pengeluar minuman Yeo Hiap Seng - lebih dikenali sebagai Yeo’s - mengumumkan bahawa mereka akan menutup sebahagian operasi di sini.

Yeo’s memberhentikan 25 pekerja selepas memindahkan semua pengeluaran tin ke Malaysia.

Namun dari 2022 hingga 2025, sektor pembuatan makanan Singapura secara keseluruhan melepasi sasaran 2,500 pekerjaan nilai tambah tinggi, menurut Enterprise Singapore (EnterpriseSG).

Sasaran tersebut dicapai melalui penciptaan peranan baharu, transformasi tenaga kerja serta pengukuhan penyelidikan dan pembangunan (R&D), kata pengarah bahagian pembuatan makanan dan agritek agensi itu, Sharon Tay.

Sektor pembuatan makanan Singapura merangkumi lebih 1,500 syarikat merentasi pelbagai kategori, termasuk minuman. Pada 2024, sektor ini menggajikan sekitar 68,000 pekerja dan menyumbang S$6.8 bilion kepada ekonomi negara, iaitu kira-kira 1 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

Makanan terletak di luar kelompok pembuatan termaju seperti semikonduktor, sains bioperubatan, bahan kimia khusus dan aeroangkasa—enjin pertumbuhan di mana Singapura berhasrat mengekalkan statusnya sebagai hab global.

APA YANG DORONG PERPINDAHAN PENGILANGAN?

Trend struktural jangka panjang yang memperlihatkan pengeluaran makanan berpindah ke rantau sekeliling kini semakin pantas, menurut Chong Ri Jia, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FoodPlant - kemudahan untuk pengeluar makanan kelompok kecil yang diusahakan bersama Institut Teknologi Singapura (SIT), EnterpriseSG dan JTC.

Beliau menekankan perbezaan kos struktur, kedekatan dengan pasaran serantau dan daya tahan rantaian bekalan sebagai pemacu utama.

Memandangkan banyak firma makanan bergantung kepada permintaan serantau, menghasilkan produk lebih dekat dengan pasaran tersebut dapat mengurangkan kos logistik serta meningkatkan respons dan sokongan pengedaran. Mempelbagaikan pengeluaran ke beberapa lokasi turut membantu mengurangkan risiko gangguan.

Yeo’s - yang enggan memberi komen bagi artikel ini - memindahkan pengilangan ke luar negara, manakala fungsi lain seperti logistik dan inovasi kekal di Singapura.

MENGAPA ADA YANG TERUS BERADA DI SINI?

Salah satu faktor Tee Yih Jia kekal di Singapura ialah rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang luas, sekali gus memberikan kelebihan akses pasaran dan kecekapan tarif - cukup untuk mengimbangi sebahagian kos struktur yang lebih tinggi, jelas Cik Goi.

Perancangan jangka panjang juga boleh dibuat dengan yakin kerana sekitaran kawal selia yang telus dan boleh diramal, tambahnya.

Syarikat ini menempatkan fungsi utama - R&D, pembangunan produk, jaminan kualiti dan pengurusan serantau - di bawah satu bumbung di Singapura. Label 'Buatan Singapura' pula membawa kredibiliti tinggi di banyak pasaran, terutama dari segi kualiti, keselamatan makanan dan kebolehpercayaan.

Keputusan mengekalkan pengilangan di Singapura lazimnya berpaksi kepada strategi, bukan kos, kata Cik Chong dari FoodPlant. Beliau merujuk kepada sistem keselamatan makanan Singapura, keupayaan kawal selia dan kemampuan menghasilkan kualiti konsisten dalam persekitaran terkawal sebagai pembeza utama.

Namun, sekitaran kos tinggi mengehadkan persaingan semata-mata berdasarkan jumlah atau harga. Justeru, firma yang kekal perlu memberi tumpuan kepada fungsi nilai lebih tinggi.
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita