Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengikut Abdul Somad buat kacau akaun media sosial penjawat politik, agensi pemerintah S'pura

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Akaun media sosial beberapa penjawat politik dan agensi pemerintah dibanjiri para pengikut seorang pendakwah Indonesia, yang dilarang masuk ke Singapura pada Isnin (16 Mei). 

Demikian dikatakan oleh seorang jurucakap Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) pada Rabu (18 Mei). 

Abdul Somad Batubara tiba di Terminal Feri Tanah Merah pada Isnin dan dihantar pulang semula dalam sebuah feri ke Batam pada hari yang sama. 

Semasa menjawab pertanyaan media, jurucakap itu berkata bahawa terdapat gesaan untuk melancarkan serangan siber terhadap akaun-akaun media sosial Pemerintah Singapura dalam kumpulan sembang awam Indonesia. 

Mediacorp difahamkan bahawa antara akaun media sosial yang terjejas adalah akaun-akaun Instagram Presiden Halimah Yacob, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Menteri Kanan Teo Chee Hean dan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan. 

Akaun-akaun Instagram Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) serta Lembaga Pelancongan Singapura (STB) juga dibanjiri oleh pengikut pendakwah tersebut. 

"Selain itu, laman web dua syarikat pengurusan acara turut dibuat kacau. Laman-laman web itu sudahpun berjaya dipulihkan dan SingCERT akan menghubungi syarikat-syarikat berkenaan untuk menghulurkan bantuan," kata jurucakap berkenaan. 

"Pertubuhan-pertubuhan dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah aktif untuk memperkukuh kedudukan keselamatan siber masing-masing, meningkatkan kewaspadaan dan mempertingkatkan benteng pertahanan online mereka untuk melindungi pertubuhan masing-masing terhadap potensi berlaku serangan siber seperti membuat kacau pada lelaman web dan penolakan perkhidmatan yang diedarkan (distributed denial of service atau DDoS)." tambah jurucakap itu. 

Pertubuhan setempat yang terjejas oleh serangan siber atau mempunyai bukti mengenai sebarang kegiatan yang mencurigakan di rangkaiannya harus membuat aduan kepada SingCERT, menurut MCI, sambil menambah bahawa aduan juga boleh dibuat secara online. 

Enam orang yang membuat perjalanan ke Singapura bersama Ustaz Somad juga tidak dinafikan kemasukan ke negara ini, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Selasa malam (17 Mei). 

Somad dikenali dengan ajarannya yang bersifat "pelampau dan pengasingan" yang "tidak boleh diterima dalam masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama," menurut MHA dalam satu kenyataan. 

"Walaupun Somad cuba memasuki Singapura atas sebab lawatan sosial, Pemerintah memandang serius sesiapa sahaja yang menyokong keganasan dan/atau mendukung ajaran pelampau dan memecah belah masyarakat," tegas MHA. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan