Penghuni serumah individu dikuarantin kini perlu jalani pengasingan kendiri di rumah: MOH
Semua orang yang tinggal serumah dengan invididu-individu dikenakan kuarantin perlu menjalani pengasingan kendiri di rumah dan mengurangkan pergaulan sosial dengan serta-merta, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (31 Mei).
(Gambar fail: Caroline Chia/Reuters)
SINGAPURA: Semua orang yang tinggal serumah dengan invididu-individu dikenakan kuarantin perlu menjalani pengasingan kendiri di rumah dan mengurangkan pergaulan sosial dengan serta-merta, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (31 Mei).
"Oleh kerana kami menyaksikan jangkitan yang meningkat dalam kalangan penghuni serumah dengan individu dijangkiti, kami mengambil langkah waspada tambahan dengan meluaskan tindakan kesihatan awam berhubung kes-kes itu," menurut MOH.
"Berkuat kuasa serta-merta, semua anggota isi rumah yang sama dengan individu di bawah kuarantin perlu menjalani pengasingan kendiri di rumah dan menghadkan interaksi sosial sehingga individu dikuarantin itu mendapat keputusan negatif bagi ujian tindak balas berantai polimerase (PCR) COVID-19 pada permulaan kuarantin atau jika individu itu tidak lagi menjalani kuarantin."
Mereka yang dikuarantin perlu mendapatkan rawatan perubatan jika mereka berasa tidak sihat ketika menunggu keputusan ujian mereka, menurut MOH.
"Kami mendapati berdasarkan pengalaman bahawa kerana jenis varian baru ini sangat berjangkit, ia cenderung menular dengan pantas dalam kalangan mereka yang tinggal serumah," kata Menteri Kewangan Lawrence Wong, yang juga ialah pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 dalam sidang media pada Isnin.
"Inilah sebabnya sebagai langkah waspada tambahan, kami menyeru kepada semua penghuni serumah kontak-kontak rapat apabila salah seorang penghuni dikenakan kuarantin, kami akan memaklumkan anda segera untuk duduk di rumah."
Menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, yang juga bercakap di sidang media itu, hampir 70 peratus daripada semua kes baru yang berkaitan disebabkan penularan dalam kalangan penghuni serumah.
Pada masa ini, individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kes-kes COVID-19 yang disahkan akan diberikan perintah kuarantin. Mereka akan diasingkan di kemudahan kuarantin pemerintah atau di rumah selama 14 hari daripada tarikh terakhir mereka terdedah kepada individu yang dijangkiti itu.
"Ini mengasingkan sebarang individu yang mungkin dijangkiti dalam masyarakat, yang menghadkan penularan virus dalam masyarakat," menurut MOH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.