Penghuni rumah peralihan Darul Islah ceriakan sambutan Deepavali ibu tunggal ini & anak-anaknya

(Gambar: Jamiyah SG)
SINGAPURA: Setelah bercerai dengan suaminya, Cik Vnilla Subramaniam, 52 tahun tinggal di rumah sewa dan menjaga tiga orang anaknya yang masih bersekolah.
Anak-anak lelaki Cik Vnilla berumur 19, 12 dan 10 tahun.
Dia tidak bekerja dan terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan untuk menanggung kos perbelanjaan mereka sekeluarga.
Sebelum ini keadaan dan perabot di rumahnya dalam keadaan yang teruk dengan kebanyakannya sudah rosak dan pecah.
Bagi membawa keceriaan buat mereka sekeluarga pada Deepavali ini, lima penghuni Darul Islah dan seorang alumni Islahcare bertungkus lumus membersihkan dan menghiasi flat sewa dua bilik Cik Vnilla di Marsiling selama hampir dua minggu.
Usaha murni itu adalah sebuah inisiatif 'Project Happiness' untuk membawa keceriaan kepada mereka yang kurang bernasib baik pada musim perayaan.
"Anak-anak saya sangat gembira dan kami tidak sabar menantikan Deepavali. Sekarang saya boleh tunjukkan kepada saudara-mara dan rakan-rakan saya rumah baru saya.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Jamiyah Singapura dan 'Project Happiness' kerana mereka sudah bekerja keras dan berusaha mengemas rumah kami dan menghiasinya untuk kami," kata Cik Vnilla.
Keseluruhan projek menelan belanja S$3,000 dan ditaja oleh syarikat Peregrine Security Pte Ltd, Intergrated Property Management Pte Ltd, One Best Subcontractor Pte Ltd dan Campaign Complete Solutions Pte Ltd.
Selain mendapat empat lampu siling baharu, keluarga Cik Vnilla juga menerima perabot-perabot baharu seperti katil, set sofa, meja makan, almari pakaian dan ketuhar gelombang mikro.
Cik Vnilla dan anak-anaknya juga dibawa ke Restoran Sakunthala's di Dunlop Street untuk makan malam dan menerima baju baharu bagi Deepavali.
Anak sulung Cik Vnilla yang bercita-cita untuk menjadi pegawai polis kelak juga bakal menerima bimbingan daripada Ketua Operasi sebuah syarikat keselamatan Peregrine yang juga menaja projek ini, Encik Deva. Beliau merupakan veteran Pasukan Polis Singapura (SPF) selama 18 tahun.
Di majlis penyerahan rasmi rumah itu kepada keluarga Cik Vnilla pada Selasa (22 Okt), Anggota Parlimen bagi GRC Marsiling-Yew Tee, Zaqy Mohamad turut hadir.
Beliau juga sempat beramah mesra dengan keluarga Cik Vnilla.
PELUANG SUMBANG KEMBALI KEPADA MASYARAKAT
Rumah Cik Vnilla adalah rumah yang ke-20 yang dibantu di bawah 'Project Happiness' yang dimulakan sejak 2019.
Menurut Naib Presiden III, Jamiyah Singapura, & Pengerusi Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah), Siraj Salman, inisiatif 'Project Happiness' itu juga adalah peluang bagi para penghuni rumah peralihan Jamiyah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
"Ini juga membolehkan mereka mendapat lebih banyak kemahiran agar mereka dapat meningkatkan diri mereka dan ia juga membolehkan penghuni ini dan juga masyarakat yang berbilang bangsa untuk bekerjasama. Ini penting kerana ia membantu mereka merasa dihargai dan berguna," kongsi Encik Siraj.
Menurutnya, usaha itu juga sebagai jambatan untuk menghubungkan pelbagai pihak di dalam masyarakat.
"Penghuni rumah peralihan Jamiyah mendapat peluang untuk menebus diri mereka, belajar kemahiran baru dan merasakan bahawa mereka boleh membuat impak positif untuk keluarga seperti Cik Vnilla. Ini bukan sekadar bantuan dari segi barangan tetapi ia memberi mereka harapan dan semangat baru untuk mereka menyambut Deepavali.
"Bagi sukarelawan dan penaja kita, mereka dapat melihat sendiri bagaimana sumbangan mereka membuat perubahan dalam hidup orang lain dan juga yang paling penting, projek ini menunjukkan bahawa apabila kita semua berganding bahu tidak kira bangsa atau agama, kita boleh melakukan sesuatu yang luar biasa untuk masyarakat kita," kata Encik Siraj.
Dalam pada itu, beliau berharap usaha murni itu dapat diteruskan dan menjadi pemangkin semangat buat para penghuni rumah peralihan Jamiyah untuk lakukan kebaikan apabila mereka keluar dari rumah peralihan itu kelak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.