Penghuni Rumah Kebajikan Muhammadiyah seronok dapat berbuka bersama keluarga
(Gambar: Rumah Kebajikan Muhammadiyah)
SINGAPURA: Selepas tiga tahun, Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) kembali mengadakan acara tahunannya, 'Iftar bersama Keluarga' pada Jumaat (31 Mac) lalu.
Acara itu dihadiri 150 orang termasuk para penghuni RKM dan keluarga mereka, untuk memberi para penghuni peluang untuk berbuka puasa dengan keluarga mereka dan menekankan betapa pentingnya ikatan kekeluargaan.
Ia juga satu usahasama dengan kempen 'Dadah Itu Haram' di mana beberapa penghuni diberi peluang untuk berkongsi aspirasi mereka untuk Ramadan ini.

(Gambar: Rumah Kebajikan Muhammadiyah)
Antara penghuni yang berkongsi aspirasinya buat Ramadan ini termasuk "Alif", bukan nama sebenar.
"Saya harap saya dapat cuti rumah jadi dapat berjumpa nenek saya. Rindu nenek," kongsi Alif, 17 tahun.
"Saya rindukan nenek, atuk dan adik beradik. Dulu, saya selalu temankan nenek apabila berbuka. Nenek suka masak rendang yang sangat sedap," tambahya.

(Gambar: Rumah Kebajikan Muhammadiyah)
Seperti Alif, "Halim" bukan nama sebenar juga rindu dengan neneknya.
Meskipun berjauhan dengan keluarga, penghuni 14 tahun itu tetap bersyukur dengan kehadiran rakan-rakan di RKM.
"Kami menggalak satu sama lain. Saya rasa gembira sebab ada kakitangan dan ada kawan-kawan," kongsi Halim.
PELBAGAI PROGRAM SEPANJANG RAMADAN TERSEDIA BUAT PARA PENGHUNI
.jpg)
(Gambar: Rumah Kebajikan Muhammadiyah)
Menurut RKM, terdapat pelbagai program Ramadan yang boleh dijangkakan buat para penghuni.
Antaranya termasuk pelbagai rancangan untuk membawa para penghuni ke masjid sekurang-kurangnya sekali sehari.
"Ia mendekatkan mereka kepada masyarakat dan mereka rasa selesa untuk pergi sendiri bila sudah keluar dari RKM nanti," kongsi Ketua Rumah, Cik Rahmatunnisa Abdul Majeed.
"Juga untuk program 'Giving Back' - kami mendapatkan para penghuni untuk bersukarela di akar umbi Pasir Ris untuk membantu dengan pengagihan makanan. Para penghuni kami juga bersukarela di ibu pejabat Muhammadiyah untuk bantu persiapan buka puasa buat jemaah," tambahnya.
Beliau berharap para penghuni dapat menjiwai semangat bulan Ramadan dan terus ambil peluang itu untuk belajar menjadi "seorang yang lebih baik".
CUBA BUAT RAMADAN ISTIMEWA BUAT PENGHUNI

(Gambar: Rumah Kebajikan Muhammadiyah)
Menurutnya lagi, meskipun para penghuni berjauhan dengan keluarga, RKM cuba untuk membuat Ramadan dan Hari Raya ini istimewa buat mereka.
"Kami bersahur dan berbuka bersama. Kami ada makanan istimewa buat para penghuni kami daripada penderma ikhlas yang mereka suka," ujar Cik Rahmatunnisa.
Untuk program 'Ewah-Ewah Raya' pula yang sedang dirancang, makanan istimewa seperti ketupat dan rendang juga akan disediakan buat para penghuni.
"Kakitangan mengambil alih untuk bertugas supaya mereka merasa suasana keluarga dan rasa kami semua ambil berat terhadap perasaan dan kebajikan mereka," dedah Cik Rahmatunnisa.
Majlis iftar di RKM itu turut dihadiri Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.