Skip to main content

Singapura

Penghuni rumah jagaan warga tua dihukum penjara 4 minggu, cederakan pekerja dan penghuni lain

Seorang penghuni rumah jagaan warga tua yang berusia 70 tahun dihukum penjara empat minggu pada Rabu (15 Dis) kerana menampar seorang penghuni lain yang menghidap demensia dan mencederakan seorang lagi penghuni berkerusi roda.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang penghuni rumah jagaan warga tua yang berusia 70 tahun dihukum penjara empat minggu pada Rabu (15 Dis) kerana menampar seorang penghuni lain yang menghidap demensia dan mencederakan seorang lagi penghuni berkerusi roda.

Beberapa bulan selepas kejadian tersebut, Mohd Sharifuddin A Hamid menyepak muka seorang pembantu penjagaan kesihatan yang enggan mematikan lampu koridor di rumah tersebut.

Sharifuddin mengaku bersalah di mahkamah daerah atas dua tuduhan mencederakan dengan sengaja individu yang lemah. Satu lagi tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap kakitangan rumah jagaan warga tua itu juga diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Dia ditahan reman sejak 30 November.

Mahkamah diberitahu pada 23 Disember 2020, Sharifuddin mendekati seorang penghuni berusia 79 tahun yang menghidap penyakit demensia di bilik rehat Rumah Jagaan Thye Hua Kwan di Hougang.

Sharifuddin kemudian memarahi lelaki itu sebelum menampar mukanya sebanyak dua kali. Mangsa kelihatan tidak dapat memahami apa yang terjadi, mungkin akibat keadaannya, kata Timbalan Pendakwa Raya Norine Tan.

Sekitar setengah jam kemudian, jururawat menyedari terdapat kesan lebam di sekitar mata kiri mangsa dan warga tua itu dimasukkan ke hospital selama dua hari.

Enam hari kemudian, Sharifuddin memukul seorang lelaki berkerusi roda yang berada di tandas untuk mencuci muka dan memberus giginya.

Sharifuddin membuka pintu dan menjerit ke arah lelaki berusia 82 tahun itu kerana marah tidak dapat menggunakan tandas untuk mengambil wudhu.

Beberapa kakitangan bergegas ke tempat kejadian dan menahan Sharifuddin sebelum dia bertindak ganas.

Namun, beberapa minit kemudian, dia membuka pintu tandas itu lagi untuk memarahi mangsa sebelum memukul belakang leher mangsa.

Sekitar empat bulan kemudian, Sharifuddin mendekati dan meminta seorang pembantu penjagaan kesihatan untuk mematikan lampu di koridor. Apabila pekerja itu memberitahunya mereka tidak boleh berbuat demikian, Sharifuddin bertengkar dengannya sambil mencabarnya untuk bergaduh sebelum tiba-tiba menampar mukanya.

Sebelum kejadian-kejadian tersebut, rumah jagaan tersebut pernah merujukkan Sharifuddin ke Institut Kesihatan Mental (IMH) atas sebab bertindak ganas dan ada rancangan atau niat untuk membunuh diri.

Dia dirujukkan sekali lagi selepas melakukan kesalahan berkenaan, namun, didapati tidak mengalami sebarang penyakit mental. Dia juga tidak perlu mendapatkan rawatan susulan.

Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan terhadap orang lemah, Sharifuddin boleh dipenjara sehingga enam tahun, didenda hingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita