Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penghuni RKM luangkan cuti sekolah pertengahan buat amal jariah sepanjang Ramadan

Rumah tumpangan itu bergabung tenaga dengan pelbagai pertubuhan demi menggalak para penghuninya menjinak-jinakkan diri dalam kerja-kerja sukarela.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Bulan Ramadan tahun ini, yang jatuh bertepatan dengan musim cuti sekolah pertengahan tahun, dimanfaatkan sebaiknya oleh Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) khusus untuk memperkasa anak-anak di bawah naungannya.

Rumah tumpangan itu bergabung tenaga dengan pelbagai pertubuhan demi menggalak para penghuninya menjinak-jinakkan diri dalam kerja-kerja sukarela.

KERANA MEMBERI LEBIH BAIK DARIPADA MENERIMA

Lazimnya, tangan mereka sekadar menerima. Tetapi kali ini, para penghuni RKM mahu menjadi pemberi pula.

Itu dilakukan, buat julung-julung kalinya, sepanjang bulan Ramadan ini menerusi program 'Berbakti Kembali' yang dikendalikan wisma di mana mereka berteduh.

Biarpun musim cuti sekolah penggal belum bermula, anak-anak dan remaja berisiko RKM sudah gigih menyumbang tulang empat kerat mereka untuk kerja-kerja amal.

Gedung The Food Bank Singapore, menjadi tempat mereka 'bermain'. Masa diluangkan untuk membantu badan kebajikan itu menyediakan habuan makanan untuk dihantar ke pertubuhan-pertubuhan kebajikan lain di merata negara.

(Gambar-gambar: RKM)

"Sebagai perusahaan tidak meraih keuntungan, kami bergantung kepada tenaga-tenaga sukarelawan. Jadi Food Bank sangat bahagia dapat bekerjasama dengan RKM di mana mereka dapat membantu kami dari segi inventori dan membahagi-bahagikan makanan itu untuk dihantar," kata Cik Jessica Vania, yang menjadi pembantu gedung di The Food Bank Singapore.

PENDEDAHAN MENYELURUH, MEMBINA BUAT ANAK-ANAK RKM

Bahkan, kegiatan-kegiatan sukarelawan turut diperluas merangkumi pelbagai aspek agar para penghuni RKM berpeluang bergaul dengan masyarakat dari pelbagai latar belakang.

Misalnya, sambil beribadah di Masjid Al-Ansar, mereka juga bergotong-royong di dapur untuk membantu menyiapkan juadah iftar selain mengagih-agihkan bubur kepada para jemaah.

"Dengan melakukan kerja-kerja serupa ini, mereka akan bergaul dengan sukarelawan yang lain. Kalau anak-anak yang dari Muhammadiyah ini,mereka muda-muda dan mereka dapat bergaul dengan muslimah kami, muslimin kami dan juga anak-anak remaja daripada kumpulan remaja di Al-Ansar," ujar Cik Salamah Abdoll, Ketua Perhubungan Masayarakat di Masjid Al-Ansar.

(Gambar-gambar: RKM)

Di pihak RKM pula, inisiatif sebegini dianjurkan untuk memberi pemerkasaan kepada para penghuni agar mereka yakin betapa khidmat yang dihulurkan itu amat bermakna untuk orang lain.

"Jadi contoh, kita selalu menasihatkan mereka supaya berubah dan cara memberi ini adalah satu wadah untuk mereka sedar dan itulah cara untuk berubah," terang superintenden RKM, Cik Rahmatunissa Abdul Majeed.

Kegiatan lain sepanjang kempen Ramadan RKM ini termasuk membersihkan rumah tumpangan warga emas serta menggembleng tenaga di 'soup kitchen' di mana mereka menghidangkan makanan kepada golongan memerlukan dan gelandangan.

Sama ada di luar atau dalam bulan Ramadan, tujuannya hanya satu - membekalkan diri para penghuni RKM dengan nilai-nilai murni agar mereka terus menjadi insan berguna yang menabur bakti kepada masyarakat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan