Penghuni dormitori yang selesai terima 2 dos suntikan vaksin satu-satunya kes tempatan COVID-19
Satu-satunya kes jangkitan tempatan COVID-19 yang dilaporkan pada Selasa (20 April) sudah selesai menerima vaksinasi COVID-19 sepenuhnya.
(Gambar: MOM)
SINGAPURA: Satu-satunya kes jangkitan tempatan COVID-19 yang dilaporkan pada Selasa (20 April) sudah selesai menerima vaksinasi COVID-19 sepenuhnya.
Pekerja Bangladesh berusia 35 tahun itu menunjukkan gejala koronavirus meskipun sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 12 Mac dan dos keduanya pada 13 Apr.
Beliau adalah antara 14 kes baru COVID-19 yang dilaporkan di Singapura sehingga tengah hari Selasa, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Baki 13 kes adalah kes import yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah setiba mereka di sini.
Tiada jangkitan baru dalam masyarakat dilaporkan hari ini.
KES DORMITORI
Kes dormitori itu, setakat ini tidak ada kaitan dengan kes terdahulu.
Dikenal pasti sebagai Kes 62181, beliau tinggal di dormitori Westlite Woodlands Dormitory di Woodlands Sector 2.
Beliau adalah penyelia binaan yang bekerja di Sembcorp Marine Admiralty Yard di 60 Admiralty Road West.
Pemegang permit kerja itu digajikan oleh syarikat Prosper Environment & Engineering dan sudah bekerja di Singapura sejak Julai 2019.
Beliau mengalami hidung berair pada 16 Apr tetapi tidak melaporkan gejala tersebut, kata MOH.
Pada hari yang sama, lelaki itu diuji bagi COVID-19 sebagai sebahagian ujian rutin berjadual. Hasil ujian berkumpul positif COVID-19 pada 18 Apr.
Menurut MOH, pekerja itu segera diasingkan dan dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit dengan menaiki ambulans.
Ujian individu yang dilakukan pada 18 Apr juga positif COVID-19 pada keesokan harinya.
Hasil ujian rutin berjadual sebelum ini, yang terakhir dijalankan pada 9 Apr semuanya negatif COVID-19.
"Ujian serologinya positif tetapi kami menilainya sebagai kemungkinan jangkitan baru," kata MOH.
Siasatan epidemiologi pekerja itu masih dijalankan, tambah kementerian itu.
KES IMPORT
Seorang warga Singapura dan dua penduduk yang pulang dari India dan Filipina adalah antara 13 kes import hari ini.
Empat lagi kes melibatkan pemegang pas kerja yang tiba dari India dan Malaysia manakala empat jangkitan adalah pemegang permit kerja yang mempunyai sejarah perjalanan dari Bangladesh, India dan Myanmar, termasuk seorang pembantu hijrahan.
Terdapat juga seorang pemegang pas tanggungan yang tiba dari Sri Lanka dan seorang pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari India untuk mengungungi anggota keluarganya yang merupakan warga Singapura.
Dalam pada itu, 37 lagi pesakit dibenarkan pulang dari hospital, menjadikan 60,540 kes yang sudah pulih sepenuhnya.
74 kes masih dirawat di hospital manakala seorang dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.
Sebanyak 221 kes diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.
Sehingga hari ini, Singapura melaporkan 60,865 kes COVID-19 dengan 30 kematian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.