Penghuni dormitori Toh Guan akan jalani ujian COVID-19 lebih kerap untuk kesan kes lebih awal
Penghuni di dormitori Toh Guan akan menjalani ujian rutin tambahan COVID-19 sebagai sebahagian daripada program rintis untuk memahami bagaimana menjalani ujian secara lebih kerap dapat membantu mengesan lebih awal kes-kes tanpa gejala.
SINGAPURA: Penghuni di dormitori Toh Guan akan menjalani ujian rutin tambahan COVID-19 sebagai sebahagian daripada program rintis untuk memahami bagaimana menjalani ujian secara lebih kerap dapat membantu mengesan lebih awal kes-kes tanpa gejala.
Buat masa ini, semua pekerja asing yang tinggal di dormitori menjalani ujian rutin berjadual setiap 14 hari.
Sepanjang tempoh empat minggu mulai Jumaat (25 Sep), pihak berkuasa akan merintis ujian tambahan di samping ujian rutin berjadual yang dilakukan setiap minggu bagi penghuni di dormitori Toh Guan.
"Ini akan meningkatkan kekerapan ujian kepada kitaran selama tujuh hari," menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan bersama pada Rabu (23 Sep).
"Kes jangkitan baru dapat dikesan lebih awal dan penularannya dapat dibendung dengan lebih cepat."
Percubaan itu akan dijalankan di kawasan dormitori bagi mengurangkan kesan terhadap jadual kerja pekerja, kata MOM dan MOH.
Menurut kedua-dua kementerian kaedah uijan swab "yang lebih selesa" akan digunakan. Ujian swab biasa dilakukan terhadap rongga hidung namun kaedah ujian swab baru ini akan dilakukan pada belakang anak tekak.
Kedua-dua kementerian juga menyatakan dengan pengesanan lebih awal kes jangkitan, MOM mungkin tidak perlu kurantin seluruh blok di sebuah dormitori jika kes COVID-19 yang dikesan, selagi langkah penginapan selamat dipatuhi.
"Ini membolehkan pendekatan kuarantin yang lebih tertumpu dan dapat mengurangkan sebarang gangguan kepada pekerja dan majikan," menurut kedua-dua kementerian berkenaan.
Ujian rutin yang berjadual selama 14 hari kekal sebagai "ciri utama" dalam strategi MOM membendung COVID-19 di dormitori pekerja asing, kata Menteri Kedua Tenaga Manusia Tan See Leng sebelum ini pada September.
Beliau menambah strategi itu "lebih tepat" dalam mengenal pasti pekerja yang dijangkiti virus itu.
Sehingga Jumaat lalu (18 Sep), seramai 5,700 pekerja dikatakan tidak dapat kembali bekerja kerana belum menjalani ujian wajib.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.