Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penghuni Darul Islah ceriakan sambutan Tahun Baru Cina warga emas yang hidup sendirian

Tahun Baru Cina ini cukup istimewa bagi Encik Chew Seow Yin, 86 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahun Baru Cina ini cukup istimewa bagi Encik Chew Seow Yin, 86 tahun.

Ini kerana selepas lebih 20 tahun, inilah kali pertama warga emas ini bersedia untuk menyambut tetamu.

Hasil inisiatif 'Project Happiness' Jamiyah, flat dua bilik encik Chew di Circuit Road itu dibersihkan dan diberi wajah baru.

Bekas pemandu yang tinggal bersendirian itu kini lebih bersemangat menyambut tetamu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Saya suka rumah baru, cat baru. Lagi kawan-kawan datang nanti jumpa. Saya gembira Tahun Baru Cina ini pasal semua orang tolong-tolong saya," kata Encik Chew, yang memilih sendiri cat berwarna biru untuk rumahnya.

Dengan bajet sebanyak S$2,000 hasil sokongan para penaja dan derma orang ramai, Jamiyah berjaya memenuhi kesemua perabot dan peralatan rumah yang ingin Encik Chew gantikan seperti katil, lampu, kipas dinding dan sofa.

Encik Chew juga kini ada peti televisyen, peti sejuk dan alat pemanas air yang baru.

CABARAN MASA; BARANG BANYAK

Inisiatif 'Project Happiness ini agak lebih mencabar kerana enam penghuni dan anggota alumni Darul Islah terpaksa mengejar masa untuk menyelesaikan projek ini dalam masa tiga hari.

"Kita tengok dia punya tembok-tembok hitam, barang dia terlalu banyak dan berhabuk. Jadi kita duduk berbincang dulu macam mana nak mengemas rumahnya dan mengecat rumah itu. Jadi kita minta izin dengan tuan rumah, mana yang tidak perlu kita buangkan dulu. Kemudian kita cat rumahnya dahulu. Keesokan harinya baru kita buang barang-barang yang tidak diperlukan," kata Encik 'Ahmad', bukan nama sebenar.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Namun mereka amat berbesar hati kerana dapat menjayakan projek ini.

Encik 'Ahmad' yang akan dibebaskan Disember ini selepas tujuh tahun dalam tahanan akibat penyalahgunaan dadah berasa puas dan bangga kerana dapat menyumbang tenaga.

"Saya tengok macam mana tuan rumah itu,adalah satu cermin pada saya. Mungkin satu hari saya boleh jadi begini kan. Jadi buat baik orang akan balas baik. Jadi dengan membantu orang-orang yang memerlukan ini, tak merugikan kita. Pasal kita tak ada apa-apa. Kita cuma ada tenaga dan semangat kita sahaja," tambah Encik 'Ahmad'.

BUKA PELUANG BEKAS PESALAH INTEGRASI DENGAN MASYARAKAT

Encik Chew menerima tetamu Tahun Baru Cina pertamanya petang tadi, iaitu Anggota Parlimen MacPherson, Cik Tin Pei Ling dan beberapa anggota akar umbi.

Malah Encik Tin melambung 'yusheng' bersama-sama Encik Chew dan para kakitangan Jamiyah dan Darul Islah untuk meraikan kedatangan tahun arnab.

Cik Tin yang sering menziarahi Encik Chew sewaktu mengadakan lawatan dari rumah ke rumahnya juga turut tumpang gembira dengan bantuan yang dihulurkan.

Beliau turut memuji usaha tersebut sebagai membuka peluang kepada bekas pesalah untuk berintegrasi dengan masyarakat.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Ini adalah peluang untuk mereka kembali beraksi, kembali ke dalam masyarakat dan memasuki rumah seseorang. Saya harap ini akan memberi dan menguatkan semangat untuk teruskan momentum tersebut dan terus jangan berputus asa dan memberi semula kepada masyarakat," kata Cik Tin.

'Project Happiness' dimulakan sejak 2019 bagi membantu para penduduk kurang bernasib baiik menyiapkan rumah mereka menjelang perayaan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan