Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penghuni Darul Islah ceriakan lelaki sebatang kara sempena Tahun Baru Cina

Sejak ibunya meninggal dunia empat tahun lalu, Encik Koh Hock Choon hidup sebatang kara dalam flat sewa dua biliknya di Toa Payoh. Tidak hanya hidup kesunyian, masalah kesihatan menghambatnya daripada mencari mata pencarian.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak ibunya meninggal dunia empat tahun lalu, Encik Koh Hock Choon hidup sebatang kara dalam flat sewa dua biliknya di Toa Payoh. Tidak hanya hidup kesunyian, masalah kesihatan menghambatnya daripada mencari mata pencarian.

Encik Koh, 52 tahun, beberapa tahun lalu disahkan tidak boleh bekerja akibat masalah jantung yang dihidapinya selama sekitar 24 tahun. Ke mana sahaja beliau pergi sekarang, Encik Koh membawa satu beg yang diisi alat-alat yang memastikan jantungnya terus stabil.

"Saya memang hidup sendiri. Kalau ada orang melihat saya mereka akan lari. Sebab apa? Mereka takut saya akan meminjam duit mereka," cerita Encik Koh.

Namun, Tahun Baru Cina kali ini menyuntik semangat dan membawa keceriaan kepada penganggur itu.

Rumahnya yang serba sederhana dibersihkan para penghuni Rumah Peralihan Darul Islah - iaitu pusat pemulihan Jamiyah bagi para pesalah dadah.

Sepanjang lebih seminggu, seorang relawan dan lima penghuni pusat itu memerah keringat untuk mengecat dan memasang peralatan seperti sistem pemanas air, kipas dan lampu siling baru di rumah Encik Koh.

Perkara paling dihargai Encik Koh adalah jubin getah yang baru dipasang. Lebih-lebih lagi, sepanjang 22 tahun menduduki rumah sewa itu, beliau tidak pernah dapat melakukan kerja-kerja ubah elok.

Rumah Encik Koh sebelum 'Project Happiness'. 

"Lantai rumah sebelum ini sudah teruk. Tetapi anda semua melakukan ini untuk saya. Cantik," puji beliau.

SAMBUT TETAMU ISTIMEWA

Lebih manis lagi, hari ini (22 Jan) Encik Koh menyambut kedatangan Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pendidikan Encik Chee Hong Tat sebagai tetamu 'rumah barunya' itu.

Bersama-sama Encik Chee dan para penghuni Darul Islah, Encik Koh bahkan dapat melambungkan yusheng. Tradisi 'lo hei' menjadi simbol harapan Encik Koh agar terus diberi kesihatan baik dan diberkati.

Melihat keceriaan pada wajah Encik Koh, Encik Chee, yang juga Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh melahirkan penghargaan kepada Darul Islah dan memuji inisiatif yang dijalankan di bawah 'Project Happiness' (Projek Keceriaan).

"Saya benar-benar ingin mengucapkan terima kasih kepada Jamiyah, para relawan dan penaja kerana membawa keceriaan kepada penduduk saya, Encik Koh. Paling penting adalah, semua ini menunjukkan bahawa kita sebuah masyarakat penyayang. Ia sesuatu yang menyatukan masyarakat kita," kata Encik Chee.

DARUL ISLAH RANCANG PERLUAS PROJECT HAPPINESS

Sebenarnya, Encik Koh adalah keluarga keempat yand menjadi penerima bantuan 'Project Happiness'. Sebelum ini, Darul Islah juga menjalankan usaha murni serupa bagi penerima bantuan Islam, Hindu dan Kristian sempena sambutan Hari Raya, Deepavali dan Krismas.

"Para penghuni (Darul Islah) yang terlibat dalam 'Project Happiness' sungguh gembira dapat mencurahkan bakti kepada masyarakat kerana selama ini, sepanjang perjalanan pemulihan, mereka mendapat sokongan masyarakat. Jadi inilah cara terbaik untuk mereka menyumbang bakti mereka," kata Encik Faizal Abas, Ketua Rumah Peralihan Darul Islah.

BERITAmediacorp difahamkan, sekitar 20 penghuni sudah menyertai Project Happiness. Jamiyah merancang untuk memperluaskan lagi inisiatif itu agar dapat melibatkan lebih ramai penghuni. Pusat itu kini mempunyai hampir 80 penghuni.

"Kami akan meneruskan tiga lagi projek pada tahun 2020. Kami juga berhasrat untuk membantu lebih daripada satu keluarga untuk setiap perayaan (kali ini) supaya kami boleh libatkan lebih ramai penghuni untuk Projek Happiness ini," dedah Encik Faizal.

Rumah Encik Koh selepas dibersihkan dan dicat. 

Namun, tambah beliau, rancangan mereka bergantung kepada dana dan tajaan yang diterima.

"Kami berharap Projek Happiness ini menjadi satu projek 'signature' Darul Islah."

Semua kos mencantikkan rumah Encik Koh ditampung Yayasan Tan Chin Tuan dan syarikat Cosy Cool Pte Ltd. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan