Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penghuni Darul Islah ceriakan lagi perayaan Krismas penerima bantuan dengan kerja ubah elok rumah

Girang rasanya hati pasangan Cik Anthony Josephine, 71 tahun dan Encik Robert Patrick Larence, 74 tahun kerana dapat menyambut Krismas tahun ini di rumahnya yang baru diubah elok hasil sumbangan Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Girang rasanya hati pasangan Cik Anthony Josephine, 71 tahun dan Encik Robert Patrick Larence, 74 tahun kerana dapat menyambut Krismas tahun ini di rumahnya yang baru diubah elok hasil sumbangan Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah).

Malah, ruang di rumah mereka kini jauh lebih luas berbanding sebelumnya, dengan perabot-perabot baru yang lebih sesuai.

Usaha di bawah 'Project Happiness' kendalian Darul Islah itu kembali sekali lagi untuk membawa keceriaan sempena musim perayaan kali ini.



Cik Josephine dan suami merupakan penerima "hadiah" kali ini, hasil kerja keras enam bekas pesalah dadah dan alumni rumah peralihan itu membersihkan, menghias semula dan mengubah suai rumah mereka.

Pasangan itu menghidapi beberapa penyakit termasuk penyakit jantung, kencing manis dan tekanan darah tinggi, dengan Encik Patrick mempunyai kesukaran untuk bergerak.

Lantas, usaha itu diharap dapat menyediakan ruang dan suasana yang lebih sesuai buat mereka menjelang perayaan Krismas.



"Saya rasa sepanjang seluruh kehidupan saya, ini (sambutan) Krismas pertama saya yang sangat, sangat menyeronokkan dengan televisyen dan banyak tetamu di sini," luah Cik Josephine, yang merupakan pencari nafkah tunggal sebagai seorang kakitangan pembantu di sebuah tadika.

"Saya sangat, sangat gembira dan juga sangat berterima kasih dengan Jamiyah terutama sekali mereka semua (para penghuni). Saya rasa mereka melakukannya atas kasih sayang," tambah beliau.

RUMAH PENERIMA BANTUAN BERWAJAH BARU HASIL KERJA KERAS PENGHUNI DAN ALUMNI DARUL ISLAH

Sepanjang enam hari, para penghuni dan alumni Darul Islah memeras tenaga untuk menyerikan lagi rumah dua bilik itu.

Antara yang dilakukan termasuk mengecat dan mengemas rumah serta memasang perabot-perabot baru seperti lampu, meja makan dan juga sofa.

Ia sebagai menunaikan "wishlist" atau impian pasangan itu.



Malah, para penghuni itu juga sempat berkongsi pendapat dan nasihat berkenaan perabot dan reka dalaman yang sesuai.

"Saya suka kumpulan ini. Mereka sangat membantu. Apa-apa sahaja yang mereka lakukan, mereka akan bertanya kami dahulu," kongsi Cik Josephine.

"Mereka memberi kami idea juga dan meminta kami untuk berkongsi idea kami juga (tentang rumah). Maksud saya, kami saling berkongsi pendapat," tambahnya lagi.

Misalnya, susunan kerusi dan meja untuk menyediakan lebih banyak ruang, serta cara menghias rumah dirunding dahulu dengan Cik Josephine dan suami.



Sekitar enam penghuni dan alumni Darul Islah menyumbang tenaga dalam usaha ini.

Antaranya ialah "Ali" bukan nama sebenar.

Menurut "Ali", 57 tahun, ini merupakan kali pertama beliau melibatkan diri dalam kerja-kerja ubah suai sebegini.

Kerja-kerja ubah elok dan perabot baru itu ditaja oleh H & S General Services Pte Ltd, One Best Subcontractor dan Tan Brothers & Ben Food.

PENGHUNI RUMAH PERALIHAN DARUL ISLAH "BERSEDIA UNTUK DEKATI DAN KEMBALI KEPADA MASYARAKAT"

Lantaran itu, beliau amat teruja apabila diberi peluang untuk menyumbang kepada masyarakat.

"Saya memang amat gembira dan berbesar hati kerana dapat membantu dan juga mendekati masyarakat dan saya berharap agar badan-badan lain dan juga masyarakat dapat menghulurkan bantuan untuk memberikan senyuman yang kecil (tetapi) yang tiada nilainya," ujarnya.

Usaha itu sekaligus memberi peluang baginya mengenali dan mendekati masyarakat dengan lebih mendalam lagi.

"Kami amat bersedia untuk mendekati dan kembali kepada masyarakat dan kami berharap kami akan diberikan lebih (banyak) peluang untuk menunjukkan yang kami ini juga orang biasa," luah "Ali".

Sepanjang enam hari itu juga, "Ali" dan teman-temannya berpeluang untuk berinteraksi dengan tuan rumah dan mengenali mereka dengan lebih rapat lagi.

SAMA-SAMA MAINKAN PERANAN, TIDAK KIRA AGAMA MAHUPUN KAUM



Setelah kerja-kerja itu selesai, pihak Darul Islah mengadakan upacara menyerahkan rumah "baru" itu dan turut dihadiri Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

"Saya rasa bangga dengan apa yang dilakukan oleh rakan-rakan kita di Rumah Peralihan Jamiyah di mana mereka sudah bekerja keras untuk mengubahsuaikan rumah Cik Josephine sekeluarga dan bagaimana mereka boleh sama-sama membangunkan satu masyarakat di mana tidak kira bangsa agama, ataupun latar belakang kita, kita boleh memainkan peranan, menyumbang dan juga meraikan suasana kebahagiaan," kongsi Dr Faishal.

"Kita boleh meneruskan usaha untuk membangunkan Singapura yang maju tetapi (juga) membawa mereka yang memerlukan dan berisiko untuk membangunkan diri mereka, merasakan kebahagiaan suasana dalam kita menjalankan usaha untuk membangunkan negara kita ini," tambah beliau.

Dalam masa yang sama, Dr Faishal berharap agar masyarakat akan terus memberikan sokongan kepada mereka, bukan sahaja untuk pulang kepada masyarakat tetapi juga "membangunkan keluarga yang kukuh bersama ahli keluarga mereka".

Tahun ini menandakan pusingan ketiga buat "Project Happiness" yang dilancarkan pada tahun 2019.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan