Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penghuni Darul Islah berjaya dapat pekerjaan sepenuh masa setelah jalani kursus komputer

Seramai 30 penghuni dan bekas penghuni Darul Islah yang lulus daripada kursus ICDL Microsoft Office tahun ini, berjaya mendapat pekerjaan sepenuh masa dengan pendapatan antara S$1,450 dengan S$2,600.
 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 30 penghuni dan bekas penghuni Darul Islah yang lulus daripada kursus ICDL Microsoft Office tahun ini, berjaya mendapat pekerjaan sepenuh masa dengan pendapatan antara S$1,450 dengan S$2,600.

Perangkaan tersebut diumumkan di Upacara Penyampaian Sijil Tamat Kursus yang diadakan di Rumah Peralihan Jamiyah, Darul Islah pada Sabtu (27 Ogos). 

'RAHIM' TIDAK PERNAH GUNAKAN KOMPUTER, KINI SELESA GUNAKAN PROGRAM UNTUK PEKERJAANNYA

Tempoh lima bulan sebagai penghuni di Rumah Peralihan Jamiyah, Darul Islah mengubah kehidupan 'Rahim' (bukan nama sebenar). 

Sebelum menjadi penghuni di Darul Islah, 'Rahim', 50 tahun, tidak pernah menggunakan sebarang program atau sofwe komputer. 

''

Pada Februari lalu, beliau menjadi antara 15 penghuni yang dipilih untuk menyertai kursus ICDL Microsoft Office. 

"Apabila saya datang kepada Jamiyah, mereka menyuruh saya masuk kursus ini, pada waktu itu saya terfikir beruntung terpilih. Apabila saya masuk kursus ini saya dapat mempertingkatkan diri saya," jelas 'Rahim'.

'Rahim' menambah bahawa kursus tersebut membantu meningkatkan kepercayaan dan keyakinan dirinya. 

"Sebelum ini saya gugup, buka komputer pun tidak tahu. Sekarang saya lebih bermotivasi dan boleh mengaplikasikan kemahiran baru ini di mana-mana. Pengetahuan ini mendorong saya untuk terus meningkatkan kemahiran saya dalam penggunaan komputer," katanya. 

Malah, 'Rahim' juga diiktiraf sebagai peserta terbaik kursus tersebut bagi kohortnya. 

Kejayaan tersebut juga mendorongnya untuk terus mempertingkatkan diri, dan menyertai lebih banyak kursus pengkomputeran agar lebih maju dalam kehidupannya. 

'Rahim' kini seorang pengendali forklift sepenuh masa.

Beliau berkata bahawa kurus ICDL Microsoft Office amat bermanfaat bagi dirinya sewaktu bekerja. 

"Saya bekerja sebagai pengendali forklift di dalam gudang. Kalau perlu ambil barang, kita perlu gunakan komputer dahulu. Jadi sekarang saya tidak kekok, mana nak pergi dan ambil barang semua saya sudah tahu. Sebab saya sudah tahu nak gunakan dan pakai program komputer," ujar 'Rahim'. 

"Rahim' juga bersyukur kerana kursus tersebut juga membantunya dari segi pendapatan. 

"Manfaatnya, saya sertai kursus ini adalah untuk masa depan saya. Apabila saya bekerja, mereka apabila nampak sijil saya, mereka memberikan gaji yang lebih daripada yang lain." 

'Rahim' sudah bekerja sebagai pengendali forklift selama sekitar tiga bulan. 

BANTUAN UNTUK PARA PENGHUNI MENJADI LEBIH CELIK DIGITAL, INTEGRASI SEMULA KE DALAM MASYARAKAT 

Kursus ICDL Microsoft Office merupakan inisiatif Projek Tajaan Bilik Darjah Komputer anjuran Darul Islah, Dana Reben Kuning (YRF) dan syarikat sofwe, Acronis.

Pada Februari dan Mei tahun ini, seramai 30 penghuni Darul Islah menyertai kursus tersebut, dan berjaya meraih 100 peratus kadar kelulusan. 

Kesemua penghuni tersebut juga berjaya meraih pekerjaan, meskipun ada yang masih menjalani program pemulihan di Darul Islah. 

''

Pengerusi Darul Islah, Dr Isa Hassan berkata: "Di Rumah Peralihan Jamiyah, kita melengkapi para penghuni dengan latihan yang relevan untuk mereka berintegrasi semula di dalam masyarakat dan supaya para penghuni memahami erti pembelajaran sepanjang hayat." 

"Mencari pekerjaan selepas pemulihan boleh membantu mereka untuk membina hubungan lebih sihat, memberi sokongan kepada keluarga, serta membantu mereka mengulangi kesalahan berulang," tambah Dr Isa. 

Naib Presiden III Jamiyah, Encik Siraj Salman menambah: "Kami sangat mengalu-alukan sokongan kewangan, kemahiran, kepakaran dan bimbingan daripada semua kelompok masyarakat. Ini penting untuk para penghuni bagi perjalanan mereka dan ini membuktikan berkesan untuk para penghuni mendapat kepakaran dalam bidang kemahiran digital."

''

"Program-program sebegini amat penting untuk para penghuni Darul Islah sebab pada zaman ini, keperluan digital terbukti di mana-mana sahaja diperlukan. Ada penghuni yang belum pernah gunakan komputer riba atau sofwe komputer. Jadi program ini memberikan mereka peluang," kata Encik Siraj.

''

Lagi 30 penghuni Darul Islah akan menyertai kursus ICDL Microsoft Office pada bulan September dan Disember tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan