Penghubung taman Ulu Pandan dibuka semula jelang Dis, projek BTO berhampiran siap dibina
(Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)
SINGAPURA: Penghubung taman Ulu Pandan yang terjejas kejadian tanah runtuh di Clementi, akan dibuka semula sepenuhnya kepada orang ramai menjelang Disember, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Sabtu (27 Mei).
Kejadian tanah runtuh itu berlaku pada 2 September lalu berhampiran tapak binaan projek Bina Ikut Tempahan (BTO) Clementi NorthArc.
HDB turut mengumumkan, sebanyak 1,179 flat projek BTO itu sudah siap dibina setelah tertangguh akibat pandemik COVID-19.
Dilancarkan pada Februari 2017, projek itu asalnya dijadual siap menjelang pertengahan 2022 tetapi tertangguh sembilan hingga 12 bulan akibat COVID-19.
"HDB bekerja rapat dengan kontraktor untuk mempercepatkan pembinaannya dan berjaya menyiapkan kesemua enam blok antara Disember 2022 dengan Mac 2023 meskipun tanah runtuh berlaku di bahagian barat Clementi NorthArc pada 2 September 2022," menurut HDB.
Setakat 17 Mei, lebih 90 peratus pembeli flat sudahpun menerima kunci flat mereka dengan hampir 98 peratus flat terjual.
KERJA BAIK PULIH
Kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan di mana tembok sedang dibina di kawasan bagi gelanggang bola keranjang dan tempat duduk.
Insiden itu menyebabkan tanah menggelongsor ke dalam Sungei Ulu Pandan dan merosakkan penghubung taman Ulu Pandan berhampiran.
Pemeriksaan yang dijalankan pihak berkuasa mengesahkan struktur blok flat yang sedang dibina selamat.
"HDB bekerja rapat dengan kontraktor kami untuk menjalankan kerja pemulihan dan pembinaan semula di kawasan BTO yang terjejas, serta penghubung taman berdekatan," menurut HDB.
Sebahagian terusan yang terjejas sudah dipulihkan ke kapasiti dan kedalaman asal, manakala tebing sungai di utara taman itu sudah dibuka semula sepenuhnya kepada orang ramai.
Fasa terakhir kerja-kerja termasuk membina semula cerun di kawasan BTO itu dan membaik pulih bahagian penghubung taman yang terjejas.
Kerja-kerja mengukuhkan asas cerun sudah 50 peratus siap dan dijangka selesai menjelang Julai.
Kerja-kerja untuk membina kemudahan di kawasan itu pula serta membaik pulih bahagian penghubung taman terjejas akan bermula selepas itu. Ia dijangka selesai menjelang Disember.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.