Skip to main content

Singapura

Penghormatan mencurah selepas Dr Koh Poh Koon lepaskan jawatan politik

Anggaran Waktu Membaca:
Penghormatan mencurah selepas Dr Koh Poh Koon lepaskan jawatan politik

Dr Koh Poh Koon di parlimen.

Diterbitkan : 22 May 2026 08:47PM Dikemas Kini : 22 May 2026 08:49PM
  • Dr Koh Poh Koon mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Kerja dan Kesihatan, berkuat kuasa 1 Jun, atas sebab keluarga.
  • Beliau akan terus berkhidmat sebagai Anggota Parlimen GRC Tampines, dengan keutamaan kini diberikan kepada keluarganya.
  • Perdana Menteri Lawrence Wong dan beberapa menteri lain memberi penghormatan atas dedikasi, kepimpinan, dan sumbangan Dr Koh dalam memperjuangkan kebajikan pekerja serta dasar kesihatan.
  • Dr Koh dikenang atas usaha memperkukuh perlindungan pekerja platform, memperkasakan warga emas, dan membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Beberapa orang menteri memberikan penghormatan kepada Menteri Negara Kanan, Dr Koh Poh Koon, menyusuli keputusan beliau untuk meletakkan jawatan daripada pejabat politik.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan pada Jumaat (22 Mei) bahawa Dr Koh akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Kerja dan Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan berkuat kuasa bermula 1 Jun.

PMO menambah bahawa Dr Koh meminta untuk meninggalkan jawatan awam tersebut atas "sebab-sebab keluarga". Beliau bagaimanapun akan terus berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Tampines.

Dr Koh, yang merupakan seorang pakar bedah usus besar, menyatakan bahawa keluarganya memerlukan perhatian beliau dalam satu keadaan yang "sukar dibahagikan" dengan tugas berat sebagai seorang anggota politik. Beliau menambah bahawa ini adalah masa yang sesuai untuk "menyokong isterinya dengan lebih baik" dan "melakukan apa yang betul" demi keluarganya.

Perdana Menteri Lawrence Wong mengetuai barisan menteri dalam memberikan penghormatan pada Jumaat, dengan menyifatkan Dr Koh sebagai seorang penjawat awam yang berdedikasi dan ikhlas, serta telah "membawa perubahan kepada kehidupan ramai rakyat Singapura".

Dalam satu catatan di Facebook, Encik Wong berkata beliau melihat sendiri "pendekatan Dr Koh yang teliti dan mendalam terhadap sesuatu isu" serta "betapa mendalamnya beliau mengambil berat tentang usaha meningkatkan taraf hidup rakyat kita".

Menteri Tenaga Kerja, Dr Tan See Leng, menyifatkan Dr Koh sebagai seorang pemimpin yang boleh dipercayai dan fokus, sentiasa tenang dalam keadaan tertekan, serta komited untuk meningkatkan kebajikan bagi para pekerja dan rakyat Singapura.

Dr Tan juga bercakap tentang penghormatan menjalin persahabatan dan sokongan Dr Koh sejak beliau mula menceburi bidang politik pada tahun 2020.

Beliau mengatakan sejak pelantikan Dr Koh pada tahun 2021 sebagai Menteri Negara Kanan di Kementerian Tenaga Kerja (MOM), beliau menjadi pejuang bagi pekerja platform dan pekerja senior, serta persekitaran tempat kerja yang merangkumi pelbagai generasi.

"Beliau memperjuangkan perlindungan yang lebih kuat untuk pekerja platform dan memainkan peranan penting dalam perbincangan bersama kesatuan sekerja serta syarikat platform untuk memperkukuh perlindungan bagi penunggang penghantaran dan pemandu kereta sewa privet. Ini merupakan peruntukan penting yang memberikan jaminan dan keselamatan jangka panjang untuk pekerja platform," tambah Dr Tan.

Dr Tan turut menarik perhatian tentang usaha Dr Koh dalam inisiatif seperti Kumpulan Kerja Perikatan Tiga Pihak mengenai Pekerjaan Warga Emas dan Perikatan bagi Tindakan (AfA) dalam Memperkasa Kerjaya Pelbagai Peringkat untuk Pekerja Matang.

"Usaha-usaha ini membantu membentuk dasar bagi meningkatkan kebolehpasaran warga emas yang ingin terus bekerja lebih lama dan menggalakkan tempat kerja yang lebih inklusif tanpa mengira usia," tambah beliau.

"Memandangkan teknologi dan AI (Kecerdasan Buatan) kini membentuk semula tenaga kerja, Poh Koon juga memperjuangkan dengan penuh semangat tentang usaha membantu para pekerja menyesuaikan diri dan mempelajari kemahiran baharu dengan yakin," kata Dr Tan.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, menyatakan beliau berasa sedih dengan keputusan Dr Koh untuk meletak jawatan.

“Saya tahu perkara ini sudah lama berada dalam fikiran beliau. Saya gembira kerana beliau telah mencapai satu keputusan, dan menghormati beliau kerana melakukan apa yang dirasakan terbaik untuk keluarganya,” kata Encik Ong dalam satu catatan Facebook pada Jumaat.

Encik Ong menambah bahawa beliau akan merindui Dr Koh sebagai seorang “rakan sekerja yang rapat”, serta “nasihatnya yang jujur” di Kementerian Kesihatan (MOH).

“Sebagai seorang doktor, seorang AP yang rajin, dan seorang yang merendah diri, beliau sentiasa mempunyai pandangan yang berguna mengenai isu-isu penjagaan kesihatan,” katanya.

Encik Ong juga menyatakan beliau gembira kerana Dr Koh akan terus berkhidmat sebagai Anggota Parlimen dan penasihat kepada kawasan undinya, serta mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan keluarga.

“Beliau telah mengekalkan kemahiran klinikalnya dengan baik, dan saya berharap beliau akan dapat berkhidmat sebagai doktor dalam sistem penjagaan kesihatan awam untuk merawat pesakit. Namun ini hanyalah harapan saya, dan saya tidak mahu memberikan sebarang tekanan kepada beliau,” katanya.

Menteri Negara bagi Tenaga Kerja, Dinesh Vasu Dash, berkata beliau akan merindui kehadiran Dr Koh di kementerian tersebut.

"Saya telah mengenali Dr Koh Poh Koon selama bertahun-tahun, pertamanya ketika saya berada di MOH dan baru-baru ini sebagai rakan sekerja di MOM," tulis Encik Dinesh di Facebook, sambil menambah beliau juga mengenali Dr Koh sebagai seorang anggota Perkhidmatan Negara (NSman) yang komited dan "banyak menyumbang" kepada unit perubatan NS beliau.

"Sebagai seorang individu, beliau adalah seorang yang pemurah, ceria, dan seorang pemain pasukan yang hebat," kata Encik Dinesh, yang juga merupakan Menteri Negara di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

"Beliau sentiasa meletakkan kepentingan orang lain mendahului kepentingannya sendiri."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita