Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penghidap barah, Afif Yusli tetap cekal jalani kehidupan meski diberi tempoh hingga 24 bulan untuk hidup

Apabila wartawan Mediacorp bertemu dengan Encik Afif Yusli buat kali pertama, sukar untuk dipercayai bahawa beliau sakit, apatah lagi menghidap penyakit akhir hayat.

Anggaran Waktu Membaca:
Penghidap barah, Afif Yusli tetap cekal jalani kehidupan meski diberi tempoh hingga 24 bulan untuk hidup
Diterbitkan : 25 Nov 2024 01:16PM Dikemas Kini : 25 Nov 2024 01:18PM
SINGAPURA: Apabila wartawan Mediacorp bertemu dengan Encik Afif Yusli buat kali pertama, sukar untuk dipercayai bahawa beliau sakit, apatah lagi menghidap penyakit akhir hayat.

Malah, Encik Afif yang berusia 27 tahun masih dapat bergerak dengan lincah, tanpa sebarang rasa sakit atau kurang selesa.

Tidak seperti apa yang ramai jangkakan bagi seorang pesakit barah, Encik Afif masih mempunyai rambut yang lebat dan tidak menggunakan sebarang peranti perubatan.

Apabila wartawan Mediacorp menemu bual Encik Afif, pada awalnya beliau agak pemalu namun beliau lebih peramah selepas itu.

Namun apabila perbualan semakin menjadi rancak, dapat dilihat bagaimana Encik Afif akan berhenti di pertengahan ayat dan cuba mencari perkataan yang betul.

"Apa perkataan itu? Yang mereka letakkan anda apabila membawa anda keluar masuk ambulans?"

"Sejak kebelakangan ini, saya rasa... apa perkataan itu? Bukan 'gembira', ia seperti 'okay-okay sahaja'."

Pelajar bidang perfileman itu didiagnos menghidap glioblastoma pada April lalu, iaitu tumbuhan pada otak gred empat, di mana ia jenis paling serius dan agresif dan mempunyai kadar pemulihan yang rendah.

Menurut Pertubuhan Kajian Glioblastoma, para pesakit lazimnya dianggarkan dapat hidup selama 12 hingga 18 bulan selepas didiagnos dengan penyakit itu.

Doktornya memberikannya tempoh selama 18 hingga 24 bulan untuk hidup.

Bagi seseorang yang sedang meniti saat-saat akhir dalam kehidupannya, Encik Afif lebih redha terhadap nasibnya.

Dalam temu bual bersama Mediacorp, Encik Afif dapat berbual dengan tenang dan hanya menunjukkan emosi apabila mengenang arwah neneknya dan hakikat bahawa beliau terpaksa meninggalkan ibu bapanya yang telah meningkat usia.

"Kadangkala, di tengah-tengah malam, apabila ia sunyi sepi, ia terlintas dalam fikiran bahawa saya akan mati," katanya.

"Ia sangat menjengkelkan dan saya harap dapat hentikan pemikiran itu, tetapi saya tidak dapat melakukan demikian dan saya rasa sedih kerana saya akan mati."

"Perkara yang paling menakutkan adalah betapa cepat dan rambang penyakit ini... saya tidak tahu sama ada saya akan mengalami sawan sekali lagi. Ia seperti satu permainan.

"Saya boleh jatuh dan tidak sedarkan diri dengan begitu sahaja saya boleh meninggal dunia. Ia menakutkan."
Encik Afif posing bergambar dengan adik perempuan dan bapanya setelah menjalani pembedahan otak pada Februari lalu.
"RASA BERAT SANGAT"

Beberapa petunjuk berlaku seawal tujuh tahun lalu, apabila beliau sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

"Saya mengalami sakit kepala dan mula lupa-lupa beberapa perkara," katanya.

"Saya rasa seperti seseorang sedang menikam kepala saya dan bilik saya sentiasa gelap kerana saya tidak sanggup melihat sebarang cahaya."

Simptom yang dialaminya itu bertambah teruk sehingga ia berada di tahap yang Encik Afif tidak sanggup lalui, iaitu sebelum beliau mulakan pengajian diploma di Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) pada 2021.

Sungguhpun begitu, Encik Afif menganggap simptom yang dialami itu disebabkan oleh demam atau tekanan yang dialami.

Hanya selepas beliau mengalami sawan buat pertama kali pada Disember 2023 - iaitu kira-kira empat hingga lima tahun selepas beliau mengalami pening kepala - baru beliau memutuskan untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Imbasan MRI menunjukkan terdapat tumbuhan dalam otaknya.

Encik Afif menjalani pembedahan untuk mengeluarkan tumbuhan itu namun selepas beliau sedarkan diri, beliau hilang keupayaan untuk bercakap dan berjalan.

Beberapa hari selepas itu, beliau menjalani satu lagi pembedahan untuk mengeluarkan darah beku dalam otak yang disyaki menyebabkan beliau hilang keupayaan untuk bercakap.
Encik Afif Yusli di rumahnya pada 18 November 2024. (Gambar: CNA)
Dengan bantuan seorang ahli terapi pertuturan dan sesi fisioterapi biasa, Encik Afif dapat bercakap dan berjalan semula.

Namun beliau menerima satu lagi berita buruk: keputusan ujian mengesahkan beliau menghidap glioblastoma.

"Saya tidak dapat mempercayainya kerana saya menjalani gaya hidup aktif pada ketika itu dan apabila saya membaca lebih lanjut tentang glioblastoma, ia seolah-olah hanya individu berusia yang akan mendapatnya," katanya.

Doktornya bahkan menganggarkan beliau mempunyai masa sekitar 18 hingga 24 bulan untuk hidup.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk bertindak balas jadi saya hanya katakan 'damn'," kata Encik Afif.

"Saya tidak pandang wajah doktor atau ayah saya, kerana beliau berkemungkinan sedang menangis... berat sangat perasaannya."

Ia juga detik yang mencabar untuk beliau sekeluarga: Ayahnya perlu menjalani pembedahan pintasan jantung pada waktu itu - dan neneknya, yang sangat rapat dengan beliau, baru meninggal dunia.

"Beliau tahu saya sakit dan beliau berasa sangat sedih," ujar Encik Afif mengenai arwah neneknya.

"Namu beliau tidak menunjukkan perasaannya, beliau akan bertanya khabar saya dan jikalau saya okay.

"Saya rasa beliau tidak mahu menambah perasaan takut yang sedang saya alami.

"Selepas beliau meninggal dunia, terdapat satu hari di mana saya menangis dan ia pertama kali saya menghidap sawan. Doktor beritahu ia mungkin disebabkan oleh emosi dan kesedihan yang terpendam," kata Encik Afif.

"Apabila saya berasa sedih atau tertekan, saya dapat merasakan tubuh saya menjadi tegang, jadi saya cuba untuk tidak menangis. Namun kadangkala, perasaan sedih kerana kehilangan nenek masih mencengkam saya pada waktu malam."

"Jadi saya cuba kawal berapa kerap saya fikirkan tentang nenek jadi saya tidak rasa terlalu terbelenggu. Ia sukar... tetapi jika saya biarkan diri saya berasa sedih, saya mungkin mengalami sawan sekali lagi."

LEPASKAN SEGALA PERASAAN NEGATIF

Dua bulan pertama selepas beliau didiagnos dengan penyakit itu adalah waktu yang paling sukar, katanya.

Encik Afif mengalami kemurungan dan hilang keyakinan bahawa beliau dapat melawan barah itu.

"Pada awalnya, saya menghitung hari sebelum saya meninggal dunia," katanya.

"(Saya) akan memikirkan tentang barah yang dihidapi dan tentang kematian... Saya akan berasa takut kerana fikiran tentang kematian menyebabkan saya berasa trauma."

Beliau juga mula menghisap rokok sekali lagi.

"Kerana saya fikir 'akhirnya saya juga akan mati'," kata Encik Afif.
 
Namun dengan sokongan keluarga dan teman-temannya, serta beliau menanam azam baharu untuk mendalami agama, Encik Afif dapat mengatasi perasaan negatif itu.

"Saya menjadi lebih bertakwa, menjadi solat dan cuba menjalani hidup seperti biasa walaupun saya tidak tahu apa yang normal lagi," katanya.

"Namun dengan adanya sokongan dan suntikan semangat baharu daripada keluarga dan teman-teman seperti ada sinar harapan, jadi saya lebih redha terhadap diagnosis penyakit dan lepaskan semua perasaan negatif."

"Daripada berasa bimbang tentang apa yang akan berlaku seterusnya, saya kini lebih bersyukur.

"Contoh, Tuhan memberikan saya peluang kedua kerana saya tidak fikir saya dapat berjalan lagi selepas pembedahan saya, namun saya kini masih boleh berjalan," katanya.

"Saya juga kini lebih positif mengenai kehidupan."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan