Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penghibur jalanan marah; sekatan ke atas persembahan di Orchard Road untuk kawal orang ramai

Anggaran Waktu Membaca:
Penghibur jalanan marah; sekatan ke atas persembahan di Orchard Road untuk kawal orang ramai

(Gambar: Delvina See)

Diterbitkan : 18 Nov 2022 12:09AM Dikemas Kini : 18 Nov 2022 12:11AM
SINGAPURA: Satu langkah diperkenalkan untuk membataskan kegiatan jalanan semasa waktu-waktu sibuk di Orchard Road dalam menangani kesesakan orang ramai pada musim cuti hujung tahun.

Langkah tersebut mencetuskan rasa marah sesetengah penghibur jalanan yang menyuarakan bantahan mereka.

Penghibur jalanan dimaklumkan minggu ini bahawa mereka tidak akan boleh melakukan kegiatan dari 7.00 malam hingga 10.00 malam pada setiap hari Jumaat dan Sabtu pada bulan Disember di lapan lokasi di Orchard Road. Lokasi-lokasi tersebut adalah tempat popular di luar ION Orchard, Wisma Atria, Ngee Ann City, The Heeren, 313@Somerset, Knightsbridge dan Mandarin Gallery.

Lapan hari yang terjejas, temasuk malam Krismas serta malam Tahun Baru, tetapi bukan pada Krismas.

Langkah tersebut diambil atas "pertimbangan bagi keselamatan awam dan nasihat dari agensi-agensi berkaitan", menurut makluman yang dikirimkan melalui e-mel kepada penghibur jalanan.

Dalam satu kenyataan pada Khamis (17 Nov), Persatuan Penghibur jalanan (Singapura) menggesa Majlis Seni Kebangsaan (NAC) untuk mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

Menurutnya, "ia terkejut selepas mengetahui daripada NAC bahawa penghibur jalanan berpotensi menimbulkan ancaman kepada keselamatan awam".

Seorang jurucakap persatuan itu menjelaskan bahawa penghibur jalanan bekerja rapat dengan pihak pengurusan keselamatan di pusat-pusat beli-belah di kawasan itu bagi memastikan jarak selamat antara penghibur dan penonton. Malah, persembahan-persembahan jalanan sedemikian membantu dalam memeriahkan lagi kawasan membeli-belah itu.

BERGANTUNG PADA PENDAPATAN SEMASA KRISMAS

Persatuan itu juga menekankan bahawa penghibur jalanan banyak bergantung kepada pendapatan yang diraih semasa tempoh perayaan bulan Disember.

"Ini lebih-lebih lagi bagi penghibur jalanan sepenuh masa, yang sangat bergantung kepada pendapatan daripada peningkatan jumlah orang yang lalu-lalang dalam tempoh ini bagi membantu menangani tempoh-tempoh yang diunjurkan kurang rancak iaitu pada bulan Januari, Februari dan Mac," kata persatuan itu.

Menjawab pertanyaan media, NAC menyatakan lebih ramai rakyat Singapura dan pelawat dijangka membanjiri kawasan itu, terutamanya dengan sekatan perjalanan dibatalkan.

"Pasukan Polis Singapura mengutamakan keselamatan awam dan menasihatkan agar kegiatan-kegiatan di lapan lokasi hiburan jalanan digantung, daripada 12 lokasi yang terdapat di sepanjang Orchard Road," kata Cik Elaine Ng, pengarah kanan penglibatan dan penyertaan di NAC.

Cik Ng menambah bahawa penghibur jalanan masih boleh meneruskan kegiatan mereka di Orchard Road dari Ahad hingga Khamis mulai 10.00 pagi hingga 10.00 malam, dan pada hari Jumaat dan Sabtu dari 10.00 pagi hingga 7.00 malam; dan di semua lokasi hiburan jalanan yang lain di sekitar Singapura.

SISTEM TEMPAHAN BARU

Sekatan sedemikian bukan satu kebiasaan. Sebelum ini, makluman dikeluarkan untuk mengingatkan penghibur jalanan mengenai lokasi-lokasi yang mempunyai jumlah tinggi orang ramai yang lalu-lalang.
Sistem tempahan online untuk hiburan jalanan dirintis sejurus sebelum pandemik melanda, tetapi hanya digunakan secara meluas selepas sekatan COVID-19 dimansuhkan.

Dengan adanya tempahan secara online, tapak-tapak hiburan jalanan disenaraikan secara online dan mereka perlu menempah sebelum pergi ke tempat tersebut untuk membuat persembahan.

SEKATAN DI TEMPAT LAIN

Penghibur jalanan juga berkongsi dengan Mediacorp contoh-contoh sekatan yang dikuatkuasakan di tapak-tapak hiburan jalanan yang lain,kadang-kadang disebabkan oleh aduan daripada penduduk mengenai bunyi bising.

Persatuan Penghibur Jalanan menyatakan meskipun pihaknya diberi jaminan oleh NAC bahawa sistem tempahan baru itu akan memudahkan lagi proses, ia malah kewujudan "larangan" sesemikian tanpa sebarang rundingan yang dilakukan dengan penghibur jalanan.

"Kami kini mendapati bagaimana sistem tempahan itu menjadi alat bagi NAC mengawal lokasi-lokasi dan waktu-waktu sibuk mengikut kehendaknya. Ini menjejaskan semangat muhibah antara NAC dengan penghibur jalanan," kata jurucakap persatuan tersebut.

Sementara itu, Cik Ng menjelaskan hasil maklum balas daripada masyarakat penghibur jalanan, pihaknya akan memperhalusi lagi sistem itu termasuk ciri yang membolehkan penghibur jalanan meletakkan minat mereka untuk berkongsi slot tempahan dengan penghibur jalanan yang lain.

Cik Ng menambah bahawa adalah penting bagi masyarakat penghibur jalanan, rakan kongsi tempat, pihak berkuasa, dan pelbagai pihak berkepentingan untuk bekerjasama bagi menjadi jalan-jalan raya di Singapura lebih bertenaga dengan cara yang selamat.

"Kami mohon penghibur jalanan agar terus meneroka lokasi baru termasuk tempat lain yang popular dan mempunyai ramai orang seperti Paya Lebar Square, Hougang Central Court, Clarke Quay Central dan Pusat Beli-belah Taman Jurong, untuk membawa persembahan mereka kepada lebih ramai rakyat Singapura," ujarnya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan