Penghawa dingin ditetapkan pada suhu 25°C: Laporan baharu pemerintah perincikan usaha sektor awam kurangi pelepasan karbon

Gambar fail: iStock
SINGAPURA: Tidak lagi sediakan air botol secara beransur-ansur semasa mesyuarat dan mengekalkan suhu dalam bangunan pada 25 darjah Celsius adalah antara usaha sektor awam untuk mengurangkan kesan ke atas alam sekitar. Usaha itu diperincikan dalam laporan GreenGov.SG, kad laporan kemampanan pertama pemerintah, yang diterbitkan oleh Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Jumaat (15 Dis).
Sektor awam Singapura mencatat pelepasan karbon dioksida sebanyak 3.7 juta tan pada tahun kewangan 2022, yakni 5.3 peratus lebih rendah daripada tanda aras pada tahun kewangan 2020 apabila data sedemikian pertama kali dikumpulkan.
Loji Pembakaran Sampah Tuas yang ditutup pada awal 2022 merupakan sebab utama paras pelepasan yang lebih rendah itu. Ia jauh mengatasi penggunaan elektrik yang lebih tinggi dan pelepasan karbon di sektor awam ekoran pembukaan semula ekonomi selepas pandemik COVID-19.
Meskipun pelepasan karbon di sektor awam merosot, pembinaan infrastrukur bermakna pelepasan mungkin mencatat kenaikan dalam dua tahun akan datang.
Pemerintah menjangkakan pelepasan karbon melonjak dan mencapai kemuncak sekitar 2025 dengan lebih banyak projek infrastruktur awam siap dibina. Ini termasuk lapan poliklinik baharu yang dijadual siap menjelang 2030 serta Laluan Daerah Jurong dan Laluan Rentas Pulau.
Jumlah pelepasan karbon kemudian dijangka berkurangan dan kekal menepati matlamat sektor awam untuk mencapai sifar bersih sekitar 2045, mendahului sasaran nasional Singapura, iaitu 2050.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu berkata laporan GreenGov.SG itu menekankan komitmen pemerintah untuk menjadi sebahagian daripada agenda iklim negara.
"Seperti sektor swasta dan masyarakat lebih luas, kami belajar sedang kami memulakan perjalanan kemampanan kami," katanya, sambil menggalakkan individu, perniagaan, masyarakat sivil dan kumpulan masyarakat untuk menyertai usaha itu.
Ketua pegawai kemampanan pertama pemerintah Lim Tuang Liang turut berkata bahawa ketelusan menerusia laporan yang dibuat akan mendorong agensi sektor awam untuk mengurangkan kesan sekitaran mereka.
Aset sektor awam yang disertakan dalam laporan GreenGov.SG itu termasuk bangunan pejabat, kemudahan jagaan kesihatan, sekolah, kemudahan awam, infrastruktur pengangkutan awam dan kenderaan.
Selain maklumat mengenai pelepasan karbon, data yang dikumpul Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) itu juga meliputi penggunaan elektrik dan air.
Sektor awam menetapkan sasaran unutk mengurangkan penggunaan tenaga dan air sebanyak 10 peratus menjelang 2030, daripada paras purata antara 2018 dan 2020.
Namun pada tahun kewangan 2022, indeks penggunaan tenaga yang digunakan untuk mengukur sasaran tersebut, meningkat sebanyak 1.3 peratus. Secara keseluruhannya, penggunaan elektrik mencecah kira-kira 5,600 gigawatt jam, meningkat 1.7 peratus.
Indeks kecekapan air yang digunakan untuk menjejak sasaran pula mencatat 0.8 peratus lebih tinggi. Penggunaan air secara keseluruhan meningkat kepada 33 bilion liter, naik sebanyak 1.2 peratus.
Menurut MSE keadaan itu disebabkan pembukaan semula ekonomi dan adanya kemudahan jagaan kesihatan baharu.
Penggunaan elektrik yang lebih tinggi pula disebabkan projek peluasan rangkaian pengangkutan awam, manakala penggunaan air yang lebih tinggi dikaitkan dengan meningkatnya penggunaan prasarana sukan sekolah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.