Penghantaran daging korban JKMS kepada 3,200 orang mula dijalankan 24 Jul
Daging korban yang ditempah menerusi masjid-masjid Singapura sudahpun tiba di sini pada Jumaat (23 Jul) dan pengagihannya mula dilakukan hari ini (24 Jul).
SINGAPURA: Daging korban yang ditempah menerusi masjid-masjid Singapura sudahpun tiba di sini pada Jumaat (23 Jul) dan pengagihannya mula dilakukan hari ini (24 Jul).
Namun berlaku sedikit kelengahan pada hari pertama penghantaran. Ada yang meluahkan rasa kecewa kerana daging korban mereka tidak jadi dikirimkan ke depan pintu rumah walaupun mendapat kiriman mesej bahawa ia dijadualkan hari ini.
Seorang pembaca malah memberitahu BERITAmediacorp bahawa dia hanya dimaklumkan penghantaran "perlu dijadualkan semula" kira-kira tiga jam kemudian dari waktu yang mereka sepatutnya menerima daging korban mengikut jadual asal.
Mengulas tentang insiden ini, Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS) menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat pengendalinya untuk melaksanakan kesemua penghantaran secepat mungkin.
BERITAmediacorp difahamkan, JKMS mendapatkan khidmat tiga syarikat pengendali untuk menguruskan proses pemotongan dan pembungkusan daging korban. Syarikat-syarikat itu juga yang akan melakukan penghantaran daging korban kepada mereka yang membuat tempahan.
"Jumlah tempahan daging meningkat tetapi kita harus membuat penyesuaian dengan keadaan COVID-19 dan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat). Operasi kami terbatas dan perlu dilakukan secara berhati-hati. Hanya kumpulan-kumpulan kecil seramai dua orang akan bergerak ke rumah-rumah untuk penghantaran," jelas Pengerusi JKMS, Mohamad Rafi Eusope.
Jumlah kambing korban yang ditempah menerusi JKMS tahun ini melonjak 54 peratus kepada lebih 3,800 ekor berbanding tahun lalu.
"Dianggarkan penghantaran (akan) berterusan sehingga minggu hadapan (bagi para sohibul korban). Seramai 3,200 orang akan menerima daging tersebut," tambah Encik Rafi.
4,800 KELUARGA AKAN DAPAT NIKMATI DAGING KORBAN
Sungguhpun demikian, ada satu perkembangan baik. Jumlah daging yang didermakan bagi golongan memerlukan - seperti para penerima zakat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) - "sangat menggalakkan".
"Tahun ini kita menjangkakan lebih 4,800 keluarga (kesemuanya) akan sama-sama menikmati daging korban insya-Allah," dedah Encik Rafi sambil menambah, pengagihan kepada golongan memerlukan akan dilakukan hanya selepas semua sohibul korban sudah menerima daging korban masing-masing.
Sebelum ini, JKMS mendedahkan bahawa lebih 55 peratus daging korban yang ditempah kali ini akan disedekahkan. Ini setelah lebih 90 peratus orang yang membuat tempahan menyatakan hasrat mereka untuk menderma sebahagian atau kesemua daging korban masing-masing.
Tempoh pengagihan bagi daging korban yang diuruskan JKMS akan berlangsung sehingga pertengahan Ogos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.