Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penghantar makanan tanpa lesen memandu guna kereta isteri, ugut pemandu teksi dengan pisau

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang penghantar makanan enggan membayar tambang teksi dan sebaliknya mengacukan pisau di dada pemandu teksi itu, sambil bertanya: "Kau nak biarkan aku pergi ke tidak?"

Lelaki itu juga menggunakan kereta isterinya untuk menghantar makanan tanpa kebenaran beliau, meskipun dia tidak mempunyai lesen memandu. Lelaki itu ditahan polis trafik kerana menggunakan telefon semasa memandu. 

Mark Teo Sin Yan, 32 tahun, pada Selasa (13 Dis) dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan 22 minggu, denda S$500 dan dilarang memandu selama 12 bulan. 

Dia mengaku bersalah atas beberapa jenayah, termasuk mengugut seorang pemandu teksi dengan pisau, membuat aduan polis palsu, memandu tanpa lesen dan menipu pembeli di Carousell. 

Mahkamah diberitahu bahawa Teo menahan teksi di Eu Tong Sen Street pada 27 Mei 2021. 

Dia menyuruh pemandu teksi berusia 62 tahun itu untuk membawanya ke dua tempat berbeza - pertama, di Ang Mo Kio dan kemudian ke Hougang. 

Di perhentian pertama di Ang Mo Kio, Teo meminta pemandu itu untuk menunggunya dan berkata, dia ingin turun sekejap untuk memberikan barang kepada kawannya. 

Bimbang, Teo mungkin meninggalkan teksi itu tanpa membuat sebarang bayaran, pemandu teksi itu meminta deposit S$10. 

Teo memberitahu pemandu tersebut bahawa dia tidak membawa wang tunai. Pemandu teksi mendapatinya mencurigakan dan mengambil gambar Teo menggunakan telefonnya. 

Setelah tiba di tempat kedua, Teo memberitahu pemandu itu bahawa dia tidak ada duit untuk membayar tambang teksi. Dia mendakwa, sudah menghubungi seseorang untuk datang ke tempat itu untuk membuat bayaran. 

Mangsa meletak teksinya di tempat letak kereta terbuka dan mengirimkan mesej kepada kawannya untuk datang ke lokasi tersebut kerana mensyaki Teo tidak akan membuat bayaran.

Tekaannya tepat, kerana Teo tidak meminta sesiapa pun untuk datang membawa wang. Sebaliknya, dia berbohong kepada mangsa. 

Apabila dia mendapati pemandu teksi itu sedang menghantar mesej, Teo tahu bahawa pemandu itu tidak akan membiarkannya pergi tanpa membuat bayaran. 

Teo mengeluarkan pisau sepanjang 13 sentimeter, dan mengacunya di dada mangsa sambil menekan bahu mangsa untuk menahannya. 

Teo kemudian bertanya kepada mangsa: "Kau nak biarkan aku pergi ke tidak?"

Pemandu itu yang berasa cemas dan bimbang, bergerak cuba menjauhi diri dari pisau itu dan mengalami luka kelaran di bahunya. Teo segera meninggalkan teksi tersebut. 

Teo menyerah diri pada hari yang sama dan kemudian dibebaskan dengan diikat jamin. 

GUNA KERETA ISTERI, DITAHAN POLIS TRAFIK

Pada 18 November 2021, Teo menggunakan kereta isterinya dan bukan basikal elektrik miliknya untuk menghantar makanan kerana sedang hujan. 

Dia menemui kunci kereta itu dalam beg tangan isterinya dan menggunakan kenderaan itu tanpa pengetahuan dan kebenaran isterinya. Teo tahu bahawa isterinya itu tidak akan membenarkannya untuk menggunakan kereta tersebut.

Ketika memandu di Yio Chu Kang Road menghala ke Thomson Road, seorang pegawai polis trafik melihat Teo menggunakan telefon ketika memandu. 

Pegawai tersebut menahan Teo dan dia mengaku tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Dia sedang mendengar mesej audio di aplikasi Telegram ketika ditahan. 

Teo mengaku melakukan beberapa kesalahan lain yang tiada kaitan, termasuk menipu pengguna Carousell dengan memuat naik iklan untuk menjual speaker komputer dan menerima bayaran menerusi PayNow sebanyak S$500 tanpa menghantar barangan tersebut. 

Teo menyerahkan akaun banknya kepada seorang lagi individu, dan akaunnya itu kemudian digunakan untuk kegiatan pengubahan wang haram. 

Dia juga membuat aduan polis palsu, mendakwa bahawa akaun onlinenya, termasuk akaun Carousell, bank, PayNow dan WhatsApp, digodam. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan